RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Editorial Societal Contracts

Perlukah Cubaan Bunuh Diri Terus Dijenayahkan di Malaysia?

Kami menyeru agar satu kerangka yang empatetik dan berasaskan rawatan diwujudkan bagi menangani isu bunuh diri di negara kita.

By Aziff Azuddin & Idlan Zakaria18 August 2021


Read English Version

Amaran: Artikel ini mengandungi perbincangan mengenai isu bunuh diri yang mungkin mengganggu perasaan pembaca.

Adakah cubaan bunuh diri suatu perbuatan jenayah? Seksyen 309 Kanun Keseksaan mengiyakan persoalan ini. Walau bagaimanapun, mengambil kira pemahaman semasa yang lebih mendalam mengenai kesihatan mental, undang-undang ini mungkin tidak lagi sesuai untuk masyarakat kita hari ini. Waktunya telah tiba untuk kita memikirkan semula implikasi respons perundangan yang mengabaikan konteks kesihatan mental yang mendorong seseorang untuk mengambil atau cuba mengambil nyawa mereka sendiri.

Kami menyeru agar undang-undang ini dimansuhkan dan digantikan oleh pendekatan yang fokusnya ialah untuk menangani penyebab utama bunuh diri, iaitu masalah kesihatan mental. Bagi kami, pendekatan yang berasaskan rawatan, yang cuba menangani masalah kesihatan mental sejak dari peringkat awal, akan dapat menurunkan kadar bunuh diri dalam masyarakat.

Tapi sebelum itu, apa itu Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan apakah sejarahnya?

Seksyen 309 Kanun Keseksaan
Barang siapa mencuba melakukan kesalahan membunuh diri, dan melakukan apa-apa perbuatan pada melakukan kesalahan itu, hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Cubaan Bunuh Diri Sebagai Satu Jenayah

Seksyen 309 Kanun Keseksaan digubal di Malaya pada tahun 1936 dan merupakan sebahagian daripada warisan zaman kolonial yang masih diguna pakai dalam sistem perundangan Malaysia. Akta ini berasal dari Kanun Keseksaan India yang berdasarkan Common Law British. Pada masa itu, isu kesihatan mental serta punca atau rawatannya belum difahami dengan baik.

Pada masa kini, pengetahuan tentang kesihatan mental telah berkembang dengan signifikan: pemikiran bunuh diri telah dikenal pasti berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk tekanan kewangan, kesedihan, kehilangan orang yang tersayang dan banyak lagi. Terdapat pemahaman secara meluas pada hari ini bahawa kemerosotan kesihatan mental seseorang merupakan reaksi terhadap keadaan sosial dan ekonomi mereka.

Sejumlah negara yang lain juga telah menerima pakai Kanun Keseksaan India dalam perundangan mereka. Namun negara-negara tersebut, contohnya Singapura dan Sri Lanka, telah pun memansuhkan atau meminda versi Seksyen 309 masing-masing. Banyak negara di ASEAN juga tidak lagi melihat cubaan bunuh diri sebagai suatu perbuatan jenayah. Walau bagaimanapun, Malaysia masih belum menyusuli langkah perubahan seperti ini.

Pada ketika ini, respons kerajaan Malaysia terhadap cubaan bunuh diri memberikan isyarat yang kurang jelas tentang pendirian mereka tentang isu ini. Di satu pihak, terdapat pandangan (yang sememangnya patut kita ikuti) bahawa cubaan bunuh diri  merupakan satu isu kesihatan mental yang perlu dirawat: Dasar Operasi Rawatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa jika seseorang dirujuk untuk menerima rawatan perubatan kerana cubaan bunuh diri, mereka akan diletakkan di bawah pengawasan yang ketat sehingga mereka disahkan telah berada dalam keadaan stabil dan tidak akan membahayakan diri mereka sendiri.

Sementara itu, kaedah perundangan pula nampaknya tidak mengambil kira aspek kesihatan mental: bagi mereka yang didakwa di bawah Seksyen 309, adalah tidak jelas jika mereka dirujuk untuk menerima rawatan perubatan atau psikologi setelah atau semasa dijatuhkan hukuman. Apabila undang-undang menjenayahkan cubaan bunuh diri, kita akan berdepan dengan situasi di mana orang ramai enggan tampil ke hadapan untuk meminta pertolongan walaupun ia telah tersedia, kerana mereka bimbang akan dihukum jika mereka meminta pertolongan.

Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri di Malaysia

Walaupun seruan untuk mendekriminalisasikan cubaan bunuh diri semakin kuat, tiada tindakan yang substantif telah diambil. Pada tahun 2012, Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang kerajaan Malaysia telah mencuba untuk mengkaji semula Seksyen 309. Pada tahun yang sama juga, Menteri Kesihatan telah menyatakan bahawa undang-undang tersebut tidak lagi relevan kerana ia tidak mengambil kira isu kesihatan mental.

Sejak itu, beberapa badan dan NGO seperti Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM), dan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental telah berulang kali mendesak kerajaan untuk memansuhkan undang-undang tersebut.

Pada tahun 2019, kerajaan Pakatan Harapan telah menyatakan komitmen untuk meminda Kanun Keseksaan supaya cubaan bunuh diri tidak lagi dikira sebagai suatu perbuatan jenayah. Namun, tiada perbincangan lanjut telah berlaku selepas itu. Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini tuntutan dekriminalisasi telah dihidupkan semula apabila seorang penganggur dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 309 dan didenda sebanyak RM3,000 kerana cubaan bunuh diri. Walaupun hukuman yang dikenakan ‘hanya’ denda, kes ini tetap menimbulkan persoalan jika bunuh diri patut dianggap sebagai perbuatan jenayah dan bukannya suatu tragedi yang menimpa seseorang.

Keperluan sokongan kesihatan mental

Selaras dengan dekriminalisasi cubaan bunuh diri, kita juga perlu mewujudkan struktur-struktur untuk membantu mereka yang mempunyai pemikiran bunuh diri dan yang menghadapi masalah kesihatan mental. Sekiranya Malaysia ingin mengambil langkah ini, apakah yang kita perlukan? Di sini kami melihat kerangka kesihatan mental yang sedia ada di negara lain yang sama ada telah melaksanakan langkah ini, atau telah mengambil pendekatan yang lebih progresif terhadap kesihatan mental.

Pada awal tahun lepas, Singapura telah mendekriminalisasikan cubaan bunuh diri dengan meminda akta Mental Health (Care and Treatment) Act. Pindaan ini menetapkan bahawa individu yang memerlukan bantuan dirujuk kepada ahli professional kesihatan mental, dan pakar-pakar dari pelbagai sektor – kesihatan mental, kesihatan fizikal dan perkhidmatan sosial boleh membuat intervensi kesihatan mental dengan sokongan undang-undang.

Di Ireland, National Office for Suicide Prevention membiayai National Self Harm Registry. Pangkalan data ini membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti kejadian mencederakan diri sendiri yang berulang dan menyalurkan rawatan kesihatan mental yang sesuai kepada individu yang terbabit. Model ini sesuai untuk dibangunkan di Malaysia, memandangkan ia akan membolehkan pelbagai agensi dan NGO serta pihak berkuasa mengenal pasti individu yang berisiko serta memantau dan menyediakan bantuan secara berterusan.

Sementara itu, sistem penjagaan kesihatan Thailand menggunakan satu sistem pengawasan dan perawatan. Ini adalah kerangka pelbagai langkah yang merangkumi pemeriksaan, perawatan dan tindakan susulan. Sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2009 sehingga tahun 2016, sistem ini telah dapat diakses oleh 48.5% individu yang mengalami gangguan kemurungan. Sebelum sistem ini diperkenalkan, hanya 3.7% individu yang mengalami gangguan kemurungan telah dapat mengakses perkhidmatan kesihatan mental Thailand.

Mengambil pengajaran daripada pendekatan penjagaan kesihatan mental komuniti seperti di atas, kami berharap suatu sistem di mana individu yang cuba untuk membunuh diri dirujuk oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan kesihatan mental dapat diwujudkan di Malaysia. Dari sini, haruslah juga ada pemantauan yang meluas dan berterusan – ini adalah langkah yang penting kerana risiko cubaan bunuh diri untuk berulang adalah tinggi jika individu terlibat tidak mengikut rawatan yang diterima dengan sepenuhnya. Untuk menjayakan usaha sebegini, penyediaan sumber seperti  dana yang lebih tinggi untuk pekerja sosial dan daftar yang selamat bagi individu yang berisiko mirip National Self-Harm Registry di Ireland harus dipertimbangkan oleh kerajaan.

Program Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) oleh Kementerian Kesihatan, yang berfokuskan komuniti, mungkin merupakan platform paling sesuai untuk melaksanakan kerangka seperti ini. Selain menawarkan sokongan kesihatan mental dan jangkauan kesedaran, pusat-pusat MENTARI yang wujud di seluruh negara juga memberi perhatian kepada pengurusan kes-kes yang berisiko untuk membunuh diri. Kajian kes di Timur Tengah telah menunjukkan bahawa pendekatan berasaskan komuniti lebih efektif dalam menangani isu kesihatan mental dan boleh meringankan beban sistem kesihatan yang sedia ada.

Ke Arah Pemansuhan Seksyen 309

Undang-undang baharu dan perubahan kepada undang-undang yang sedia ada boleh menjadi asas bagi perubahan budaya. Sistem perundangan dapat memberi isyarat kepada masyarakat tentang cara yang kerajaan ingin gunakan untuk menangani isu-isu tertentu. Ia juga dapat menjadi barometer penerimaan masyarakat. Lapan tahun telah berlalu sejak Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang berbicara untuk mengkaji semula Seksyen 309 – bilakah pembuat dasar akan memajukan perbincangan ini?

Juga, tidak cukup untuk kita hanya sekadar bercakap tentang bagaimana cubaan untuk membunuh diri didorong oleh masalah kesihatan mental: pada akhirnya, kita perlu memastikan sistem perundangan mencerminkan aspek ini. Apabila cubaan bunuh diri didekriminalisasikan, kerajaan akan memberi isyarat kepada masyarakat bahawa bunuh diri bukan lagi topik yang tabu, bahawa ia bukan satu jenayah tetapi sebaliknya ialah isu kesihatan mental, dan bahawa cubaan bunuh diri ialah satu jeritan meminta pertolongan. Individu penderita pemikiran bunuh diri dan yang pernah cuba untuk membunuh diri bukanlah mereka yang perlu dihantar ke penjara atau didenda. Sebaliknya mereka ternyata mengalami masalah kesihatan mental yang patut dirawat dengan sebaiknya. Kita boleh menyediakan rawatan yang terbaik jika satu kerangka yang efektif yang berasaskan sifat empati dan rawatan dapat diwujudkan.

Sekiranya anda mengalami tekanan emosi, anda boleh mendapatkan khidmat sokongan daripada Befrienders (24 jam) di talian 03-76272929 secara percuma.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS