RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Research Public Goods

Setahun Bersama COVID-19

Bahagian 2: Bagaimana Keterasingan dan Bekerja dari Rumah Memberi Kesan kepada Kesihatan Mental Rakyat Malaysia

Sepanjang setahun yang lalu, rakyat Malaysia telah meluangkan banyak masa di dalam rumah dan mengharungi pelbagai kekangan sosial. Kami meninjau kesan keadaan ini kepada kesejahteraan mental.

By Aziff Azuddin, Ziad Razak & Nelleita Omar15 December 2021


Read English Version

Nota: Artikel ini adalah terjemahan bagi artikel kami dalam Bahasa Inggeris yang diterbitkan pada 8 April 2021.

Dalam Bahagian 1 kajian COVID-19 dan kesejahteraan ini, kami telah mendapati bahawa lebih daripada separuh para responden telah melaporkan bahawa mereka mengalami keadaan kesejahteraan mental yang semakin teruk sepanjang tempoh setahun yang lalu, iaitu setelah bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 (PKP 2.0). Golongan wanita dan anak muda di bawah umur 35 tahun adalah yang paling terkesan akibat daripada kesihatan mental yang negatif dalam tempoh masa ini, dan penemuan ini adalah selari dengan pelbagai  kajian di peringkat global. Bahagian 1 juga turut menyerlahkan hubung kait yang jelas di antara kesejahteraan fizikal dan juga mental; mereka yang melaporkan kesejahteraan mental yang semakin teruk sepanjang tempoh setahun yang lalu adalah lebih berkemungkinan untuk turut melaporkan kesejahteraan fizikal yang merudum. 

Dalam Bahagian 2 bagi siri kajian ini, kami menyelidiki kesan keadaan hidup ‘norma baharu’ terhadap kesihatan mental. Khususnya, kami mendapati bahawa jumlah orang yang menghuni dalam rumah yang sama serta kekerapan bekerja dari rumah memberi kesan yang signifikan terhadap kesihatan mental seseorang.

Nota: Kesihatan atau kesejahteraan mental para responden telah dinilai menerusi jawapan mereka terhadap soal selidik DASS-21. Bagi mendapatkan lebih maklumat tentang bagaimana soal selidik DASS-21 telah digunakan, sila lihat Bahagian 1.

Kehidupan Bersendirian dan Kesejahteraan Mental

Secara keseluruhannya, para responden yang hidup bersendirian mengalami keadaan kesihatan mental yang lebih teruk berbanding mereka yang hidup bersama orang lain dalam rumah yang sama (Rajah 1). Majoriti daripada golongan yang hidup bersendirian, iaitu seramai 78%, telah melaporkan bahawa mereka mengalami kemurungan, berbanding 52% hingga 60% daripada mereka yang hidup bersama orang lain. Dari segi keterukan, 38% daripada mereka yang hidup bersendirian telah melaporkan tahap kemurungan yang teruk atau amat teruk, berbanding tahap yang lebih rendah, iaitu 23% hingga 28%, bagi mereka yang hidup bersama orang lain.

Corak ini turut dapat dilihat di kalangan mereka yang mengalami perasaan tertekan;  60% daripada mereka yang hidup bersendirian telah melaporkan perasaan tertekan, berbanding 32% hingga 46% bagi mereka yang hidup bersama orang lain. Dari segi keterukan, 28% daripada para responden yang hidup bersendirian telah melaporkan perasaan tertekan yang teruk atau amat teruk, berbanding hanya 13% hingga 20% bagi mereka yang hidup dengan orang lain. 

Perlu juga dinyatakan bahawa corak ini berbeza sedikit bagi mereka yang melaporkan perasaan gelisah. Dari segi keseluruhan, para responden yang hidup bersendirian didapati tidak menunjukkan tahap kegelisahan yang ketara berbanding dengan responden yang hidup bersama orang lain. Bagaimanapun, dari aspek keterukan, didapati bahawa 44% daripada responden yang hidup bersendirian telah melaporkan tahap kegelisahan yang teruk atau amat teruk, berbanding hanya 24% hingga 33% bagi mereka yang hidup bersama orang lain.

Rajah 1: Jumlah Orang dalam Isi Rumah dan Kesejahteraan Mental 

Penemuan ini adalah selari dengan kajian di peringkat global yang mendapati saling hubung kait di antara kehidupan bersendirian dan tekanan psikologikal. Persatuan Psikologi Amerika (APA) menyabitkan hakikat ini kepada fenomena keterasingan sosial, yang didapati dapat mengakibatkan kesan kesihatan yang ketara seperti peningkatan risiko masalah jantung dan tahap kemurungan yang tinggi. 

Adalah penting untuk diambil kira bahawa kehidupan bersendirian tidak semestinya bererti bahawa seseorang itu akan mengalami kesunyian atau keterasingan sosial, namun ia mungkin membawa risiko kesihatan mental yang lebih tinggi bagi golongan tertentu. Kajian yang dijalankan oleh pakar sosiologi Eric Klinenberg berkenaan keterasingan sosial dan kesannya terhadap kesihatan awam mendapati bahawa beberapa kumpulan demografi seperti lelaki, golongan tua, dan mereka yang berada dalam kalangan berpendapatan rendah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami perasaan keterasingan atau kesunyian sekiranya mereka hidup bersendirian.  

Kekerapan Bekerja dari Rumah dan Kesejahteraan

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada tahun 2020, kerajaan telah melaporkan bahawa 33.5% daripada rakyat Malaysia telah mula bekerja dari rumah. Perubahan dalam cara bekerja bagi ramai rakyat Malaysia ternyata telah memberi kesan terhadap kesejahteraan mental (Rajah 2). Para responden yang bekerja dari rumah setiap hari telah melaporkan tahap kemurungan dan tekanan yang lebih tinggi berbanding mereka yang bekerja cuma beberapa hari dalam seminggu di rumah, ataupun langsung tidak bekerja dari rumah.

64% daripada para responden yang bekerja dari rumah setiap hari telah melaporkan perasaan murung, berbanding hanya 53% hingga 55% di kalangan mereka yang kurang kerap bekerja dari rumah, ataupun langsung tidak bekerja dari rumah. Dari segi keterukan, 30% daripada responden yang bekerja setiap hari di rumah telah melaporkan tahap kemurungan yang teruk atau amat teruk, berbanding 20% hingga 26% responden yang bekerja di rumah secara kurang kerap, ataupun langsung tidak bekerja dari rumah. 

Corak yang sama dapat dilihat bagi fenomena tekanan, di mana 50% daripada mereka yang bekerja dari rumah setiap hari telah mencatatkan perasaan tertekan berbanding cuma 35% hingga 38% daripada para responden yang bekerja dari rumah secara kurang kerap, atau langsung tidak bekerja dari rumah. Walau bagaimanapun, dari segi keterukan, perbezaan di antara keterukan perasaan tertekan di kalangan responden yang bekerja dari rumah setiap hari, berbanding mereka yang bekerja dari rumah secara kurang kerap atau langsung tidak bekerja dari rumah, adalah kurang ketara. 

Perbezaan dari segi kegelisahan di antara mereka yang bekerja dari rumah setiap hari, berbanding mereka yang bekerja dari rumah secara kurang kerap atau langsung tidak bekerja dari rumah adalah agak tipis. Sepertimana penemuan dalam hubung kait di antara kehidupan bersendirian dan kegelisahan, perasaan gelisah berkemungkinan lebih didorong oleh faktor-faktor lain berbanding aturan kerja dari rumah. 

Rajah 2: Kekerapan Bekerja dari Rumah dan Kesejahteraan Mental

Apakah cabaran bagi mereka yang bekerja dari rumah setiap hari? Pakar psikologi dari Singapura, Jeanette Lim, telah menyatakan bahawa semasa pandemik COVID-19, terdapat trend isu kesihatan mental yang boleh diperhatikan yang berpunca daripada bekerja terlalu kuat dan keterasingan akibat bekerja dari rumah. Sungguhpun aturan bekerja dari rumah mungkin digemari oleh sesetengah pekerja, kesannya terhadap kesihatan mental perlu diambilkira apabila syarikat dan juga kerajaan menimbangkan dasar untuk membenarkan aturan kerja yang lebih fleksibel dalam era pasca-pandemik nanti. 

Pertimbangan Dasar

Penemuan di atas menunjukkan kesan keterasingan sosial terhadap kesihatan mental bagi rakyat Malaysia sepanjang tempoh setahun yang lalu, sepertimana yang dapat dilihat dalam laporan kemurungan dan tekanan di kalangan mereka yang hidup bersendirian dan bekerja dari rumah setiap hari. Sungguhpun terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada kesihatan mental seseorang, peri pentingnya pergaulan sosial dalam kehidupan seharian mungkin tidak diberi perhatian sepenuhnya berbanding faktor lain yang lebih tampak, seperti status pekerjaan dan perubahan dalam pendapatan. 

Baru-baru ini, kesihatan mental secara amnya telah dibincangkan secara meluas oleh kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO), dan tokoh umum. Sungguhpun demikian, bagi menangani kesan COVID-19 terhadap kesihatan mental, perlu ada kesedaran yang lebih tinggi di kalangan pembuat dasar dan masyarakat umum berkenaan risiko yang khusus dan tidak terlihat seperti keterasingan sosial. Usaha seperti kempen awam boleh dianjurkan untuk memaklumkan rakyat tentang cara-cara untuk menangani keterasingan sosial, seperti mengingatkan para individu yang hidup bersendirian agar berhubung dengan insan yang tersayang ataupun mencari kesempatan pergaulan sosial dalam komuniti masing-masing, di samping terus patuh kepada tatacara pengendalian piawai (SOP) berkaitan pandemik yang telah ditetapkan.

Kempen kesihatan awam juga harus dilaksanakan ke atas syarikat-syarikat untuk mendidik mereka tentang cabaran bekerja dari rumah secara seharian. Sungguhpun syarikat boleh melaksanakan aturan kerja yang lebih fleksibel, sokongan lanjut juga perlu disediakan, contohnya dengan melaksanakan dasar dan amalan yang boleh menjamin penjagaan berterusan dan pemeliharaan kesejahteraan bagi setiap pekerja. 

Di samping meningkatkan kesedaran tentang keterasingan sosial di kalangan masyarakat awam dan juga di peringkat korporat, perlu juga diwujudkan ruang fizikal yang menggalakkan kegiatan riadah luar rumah dan yang membolehkan pergaulan sosial yang selamat. Dalam sebuah editorial yang kami terbitkan pada tahun 2020, kami telah membincangkan tentang bagaimana perekayasaan ruang bandar boleh difikirkan semula untuk menjamin kesejahteraan mental, khususnya melalui ruangan pro-masyarakat seperti gelanggang futsal yang dapat menyokong gaya hidup fizikal dan hubungan sosial dalam komuniti setempat. 


Dalam bahagian ketiga kajian ini, kami akan membentangkan penemuan kami berkaitan impak COVID-19 terhadap kesihatan mental akibat daripada keadaan kewangan dan pekerjaan di kalangan rakyat Malaysia.

Sekiranya anda mengalami kesukaran emosi atau mental, sila dapatkan bantuan dan sokongan daripada talian yang berikut: Mercy Malaysia dan talian sokongan psikososial Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis di Kementerian Kesihatan iaitu 03-29359935. Talian Kasih yang dikendalikan oleh Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga juga boleh dihubungi di 15999 atau Whatsapp di 019-2615999.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS