RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Research Public Goods

Setahun Bersama COVID-19

Bahagian 1: Bagaimana Pandemik Memberi Kesan kepada Kesejahteraan Mental dan Fizikal Rakyat Malaysia

Setahun yang lalu, kami telah meninjau kesan PKP 1.0 terhadap kesihatan mental rakyat Malaysia. Setahun kemudian, adakah pandangan masyarakat tentang kesejahteraan mereka telah berubah?

By Aziff Azuddin, Ziad Razak & Nelleita Omar4 November 2021


Read English Version

Nota: Artikel ini adalah terjemahan bagi artikel kami dalam Bahasa Inggeris yang diterbitkan pada 4 Mac 2021.

Sejak bermulanya pandemik COVID-19, kehidupan ramai rakyat Malaysia telah amat berubah. Ribuan telah merasai kesan langsung akibat jangkitan COVID-19. Jutaan lagi ditimpa masalah kesihatan mental dan fizikal. 

Tahun lepas, kami telah menyelidik tentang bagaimana pandemik dan PKP yang pertama telah memberi kesan terhadap kesihatan mental rakyat Malaysia. Kami mendapati bahawa lebih separuh daripada mereka yang ditinjau telah mengalami kesan negatif dari segi kesihatan mental mereka. Apakah keadaan ini telah berubah, hampir setahun sejak tinjauan tersebut? Untuk menjawab persoalan ini, kami telah ulangi kajian tahun lepas dan meluaskan ruang lingkupnya untuk merangkumi soalan berkaitan kesejahteraan fizikal dan kewangan.  

Dalam Bahagian 1 bagi siri kajian ini, kami kemukakan dapatan tentang bagaimana pandemik ini telah memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan fizikal bagi rakyat Malaysia secara keseluruhan. Bahagian 2 pula akan mengongsikan dapatan berkaitan kesan  daripada keadaan hidup serta aturan kerja dari rumah, manakala Bahagian 3 pula akan membincangkan penemuan berkenaan kesejahteraan dari sudut kewangan.

Tentang Kajian Ini 

Kajian ini telah dilaksanakan melalui suatu survei dalam talian yang telah diedarkan melalui kaedah pensampelan bola salji (snowball sampling) antara 4 Februari sehingga 14 Februari 2021. Survei tersebut telah diedarkan dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Mandarin. 

Memandangkan kaedah pensampelan bola salji telah digunakan, dapatan bagi kajian ini tidaklah mewakili suatu sampel berstrata nasional (nationally stratified sample). Oleh yang demikian, kami menasihatkan para pembaca agar mentafsir hasil kajian ini dengan had yang sewajarnya. Sepertimana kajian tahun lepas, soal selidik DASS-21 telah digunakan bagi mengukur kesejahteraan mental, khususnya berkenaan kehadiran dan keterukan kemurungan, kegelisahan, dan tekanan. 

Soal selidik DASS-21 (ringkasan daripada soal selidik asal yang mempunyai 42 soalan) telah dirangka oleh para penyelidik di University of New South Wales di Australia. Soal selidik ini mengukur kesejahteraan mental berdasarkan penilaian kendiri oleh para responden terhadap keadaan mental mereka.

Kemurungan adalah dinilai melalui laporan kendiri terhadap tahap am bagi ketidakpuasan, perasaan tiada harapan, dan kekurangan rasa minat. Kegelisahan pula dipastikan melalui laporan kendiri terhadap tahap reaksi kepada keadaan fizikal dan pengalaman rasa gelisah secara am. Tekanan pula diukur melalui laporan kendiri terhadap tahap kesukaran untuk berehat, rasa gementar, kehilangan rasa sabar, dan tindak balas yang melampau. 

*Jadual bagi soal selidik DASS-21 yang digunakan dalam kajian kami: https://forms.gle/cTryAn9sx6gvh63U8

Soal selidik DASS-21 tidak bertujuan untuk mendiagnosis kemurungan, kegelisahan atau tekanan sebagai masalah perubatan. Penilaian hasil daripada soal selidik DASS-21 boleh digunakan oleh mereka yang bukan merupakan pakar psikologi bagi kajian yang terhad, namun sebarang keputusan klinikal berdasarkan kepada skor soal selidik ini hanya boleh dibuat oleh pakar yang berpengalaman, besertakan pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya. 

Skor daripada soal selidik DASS-21 boleh dikelaskan kepada tahap keterukan yang berjulat daripada normal, ringan, sederhana, teruk hinggalah ke tahap amat teruk (lihat Rajah 1 berikut).

Rajah 1: Skala DASS-21 

Sumber: PsyToolkit

936 respons telah dikumpul semasa kajian ini, yang mana 2 telah ditolak akibat respons yang berulang, menjadikan jumlah sampel kajian sebanyak 934 respons.

52% daripada para responden terdiri daripada golongan wanita, yang menunjukkan imbangan jantina yang baik. 50% daripada responden adalah di bawah umur 35 tahun. Dari sudut kaum, sebanyak 76% daripada responden adalah Melayu / Bumiputera. Dari segi geografi, sebanyak 74% daripada responden adalah dari negeri-negeri Tengah Semenanjung, yang mengakibatkan hasil kajian ini sedikit miring ke arah keadaan mereka yang hidup di kawasan bandar. 

Rajah 2: Demografi Responden

Kesejahteraan Mental Secara Keseluruhan

NOTA PENTING: Respons terhadap soal selidik DASS-21 mengukur keamatan bagi perasaan murung, gelisah dan tertekan secara am, sebagaimana yang dilaporkan oleh para responden. Kajian ini tidak bertujuan untuk mendapatkan sebarang penemuan atau diagnosis bagi keadaan kesihatan seseorang. Sebarang taksiran klinikal bagi tahap kesihatan mental atau penyakit jiwa haruslah dilakukan oleh seorang profesional yang berkelayakan. 

Kajian ini dimulakan dengan tinjauan terhadap keadaan kesejahteraan mental yang dilaporkan secara kendiri oleh para responden melalui soal selidik DASS-21. Sepertimana yang dipaparkan dalam Rajah 3, tahap kemurungan dan kegelisahan adalah jelas lebih tinggi secara keseluruhan berbanding dengan tahap tekanan.

58% daripada para responden melaporkan bahawa mereka mengalami kemurungan, dengan 26% pada tahap teruk dan amat teruk. 56% daripada para responden pula melaporkan kegelisahan, dengan 31% melaporkan tahap kegelisahan yang teruk dan amat teruk, iaitu tahap yang tertinggi di antara tiga emosi yang dikaji. Skor terendah dicatat bagi insiden responden yang mengalami tekanan. 42% mengalami tekanan, dengan 19% melaporkan tahap tekanan yang teruk dan amat teruk.

Rajah 3: Skor Keseluruhan bagi Kemurungan, Kegelisahan dan Tekanan

Perbandingan langsung dengan kajian kami pada tahun lepas menunjukkan bahawa skor bagi tahap kemurungan, kegelisahan dan tekanan telah meningkat pada tahun ini (lihat Rajah 4 di bawah). 58% daripada responden melaporkan rasa kemurungan pada tahun ini, berbanding dengan 48% responden pada tahun lepas. 56% responden pula melaporkan rasa gelisah pada tahun ini, berbanding dengan 45% responden pada tahun lepas. Dalam kategori perasaan tertekan, 42% responden melaporkan berasa sedemikian berbanding 34% pada tahun lepas. Rasa kemurungan, kegelisahan dan tekanan yang ‘teruk’ dan ‘amat teruk’ juga meningkat dengan mendadak berbanding pada tahun lepas. 

Rajah 4: Perbandingan Skor DASS-21, 2021 berbanding 2020

Perbandingan di atas perlulah dibaca dengan berhati-hati, memandangkan komposisi sampel bagi kajian tahun ini adalah sedikit berbeza berbanding sampel tahun lepas, sepertimana yang lazim bagi kaedah pensampelan bola salji. Walau bagaimanapun, sungguhpun kajian ini bukanlah suatu kajian membujur (longitudinal study), perbandingan yang telah dibuat menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa kesejahteraan mental secara keseluruhannya telah merosot di kalangan awam sejak tahun lepas.

Nota: Jumlah responden dalam kajian tahun lepas adalah seramai 1,084 orang, berbanding 934 responden pada tahun ini. Sampel bagi kajian ini mempunyai jumlah responden wanita yang sedikit berkurang, iaitu 52% berbanding dengan 66% dalam kajian tahun lepas, dan juga jumlah golongan Melayu / Bumiputera yang juga sedikit rendah, iaitu 76% berbanding dengan 81% pada tahun lepas.

Di samping soal selidik DASS-21, kami juga telah bertanya kepada para responden tentang tanggapan mereka terhadap kesejahteraan mental mereka berbanding tahun lepas. Suatu jumlah yang ketara, iaitu seramai 43%, telah melaporkan tiada perubahan bagi tahap kesejahteraan mental mereka, tetapi pada masa yang sama, suatu jumlah yang agak sama, iaitu 42%, telah merasakan bahawa tahap kesejahteraan mental mereka telah merosot. Hanya 15% yang menjawab bahawa kesejahteraan mental mereka telah bertambah baik berbanding tahun lepas.

Rajah 5: Tanggapan Kendiri Para Responden Terhadap Kesejahteraan Mental Berbanding Pada Tahun Lepas 

Kami mendapati bahawa tanggapan kendiri para responden terhadap perubahan dari segi kesihatan mental adalah berkait rapat dengan skor DASS-21 masing-masing. Sepertimana yang ditunjukkan dalam Rajah 6 di bawah, kadar kejadian dan keterukan bagi tahap kemurungan, kegelisahan dan tekanan adalah jauh lebih tinggi bagi golongan responden yang merasakan bahawa tahap kesejahteraan mental mereka telah merosot, berbanding dengan para responden yang merasakan bahawa tahap kesejahteraan mental mereka telah meningkat, ataupun tidak berubah dalam masa setahun yang lalu. 

Rajah 6: Kesejahteraan Mental dan Hubungan dengan Skor DASS-21

Suatu perkara yang menarik untuk diperhatikan adalah tahap kemurungan, kegelisahan dan tekanan yang dialami oleh mereka yang melaporkan bahawa kesejahteraan mental mereka ‘meningkat’ atau ‘tidak berubah’ sejak tahun lepas. 39% daripada para responden tersebut melaporkan rasa kemurungan, 39-47% merasakan kegelisahan, dan 22-23% melaporkan perasaan tertekan. Ini menunjukkan bahawa bagi mereka yang merasa bahawa kesejahteraan mental mereka lebih baik bagi tahun lepas, perasaan murung, gelisah dan tertekan masih wujud. Suatu kajian membujur adalah perlu bagi mengkaji sama ada ini merupakan kesan daripada pandemik yang kini melanda dunia, ataupun sekadar suatu tahap yang lazim bagi kesejahteraan mental di kalangan rakyat Malaysia.

Perbezaan Demografi 

Perbezaan yang agak ketara dapat dilihat bagi kesihatan mental untuk golongan demografi yang berbeza. Satu perbezaan yang jelas adalah dalam kategori jantina; lebih ramai wanita berbanding lelaki yang melaporkan tahap kesihatan mental yang negatif. Satu lagi perbezaan demografi yang jelas adalah dalam kategori umur. Mereka yang berada dalam golongan muda, iaitu umur di antara 18 hingga 34, telah melaporkan tahap kesejahteraan mental yang lebih teruk berbanding dengan mereka yang lebih berumur.

Jantina

Rajah 7 menunjukkan perbezaan dari segi jantina bagi tahap kemurungan, kegelisahan, dan tekanan. Dalam hal ini, golongan wanita dilihat mengalami tahap kesejahteraan mental yang agak teruk apabila dibandingkan dengan golongan lelaki. 

Rajah 7: Perbezaan dalam Kesejahteraan Mental Mengikut Jantina

Lebih ramai wanita, iaitu 64% daripada jumlah responden, yang melaporkan rasa kemurungan berbanding hanya 52% daripada golongan lelaki. Dari segi keterukan, 32% daripada golongan wanita melaporkan rasa murung yang teruk atau amat teruk, berbanding hanya 20% daripada golongan responden lelaki. 

Begitu juga bagi aspek kegelisahan, di mana 61% daripada responden wanita telah melaporkan rasa gelisah berbanding hanya 50% daripada golongan lelaki. Dari sudut keterukan, 37% daripada responden wanita telah melaporkan kegelisahan yang teruk atau amat teruk, berbanding 24% daripada golongan lelaki.

Dari segi rasa tertekan, 50% daripada responden wanita telah melaporkan rasa tertekan berbanding 34% daripada responden lelaki. Dari aspek keterukan, 22% daripada golongan wanita telah mencatatkan tahap tekanan yang teruk dan amat teruk, berbanding hanya 15% daripada responden lelaki. 

Terdapat juga perbezaan dari sudut jantina dalam laporan kendiri berhubung tahap kesihatan mental bagi tahun ini berbanding tahun lepas. Sepertimana yang dipaparkan dalam Rajah 8 di bawah, 45% daripada responden wanita telah melaporkan perasaan bahawa tahap kesihatan mental mereka telah merosot, berbanding dengan 39% di kalangan lelaki. Bagaimanapun, lebih sedikit golongan wanita yang telah melaporkan tahap kesejahteraan mental yang lebih baik berbanding tahun lepas, sedangkan cuma 13% daripada golongan lelaki yang melaporkan perkara yang sama.

Rajah 8: Perbezaan dalam Tanggapan Kendiri bagi Kesejahteraan Mental Berbanding Tahun Lepas, Mengikut Jantina

Umur

Golongan yang lebih muda telah melaporkan tahap emosi negatif yang lebih tinggi berbanding golongan yang lebih berumur. Sepertimana yang dapat dilihat dalam Rajah 9a, suatu jumlah yang amat tinggi, iaitu 70% hingga 72% daripada responden di bawah umur 35 tahun, telah melaporkan rasa murung, berbanding 28% hingga 49% bagi mereka yang berumur lebih daripada 35 tahun. Dari segi keterukan, mereka yang berada dalam golongan di bawah umur 35 tahun telah melaporkan tahap kemurungan yang teruk atau lebih teruk pada kadar dua hingga tiga kali ganda berbanding mereka yang berumur 35 tahun ke atas. Di sini perbezaan di antara generasi adalah amat ketara: sejumlah 40% daripada para responden dalam kelompok umur 18 hingga 24 tahun telah melaporkan tahap kemurungan yang teruk atau amat teruk, berbanding cuma 9% di kalangan responden yang berumur 55 tahun ke atas. 

Rajah 9a: Perbezaan dalam Tahap Kemurungan yang Dilaporkan Mengikut Kelompok Umur

Rajah 9b menunjukkan tahap perbezaan yang serupa bagi kegelisahan, di mana 66% hingga 70% daripada responden yang berumur di bawah 35 tahun telah melaporkan rasa gelisah, berbanding 34% hingga 48% bagi mereka yang lebih berumur.  Dari sudut keterukan, responden di bawah umur 35 tahun melaporkan tahap kegelisahan yang membimbangkan, di mana 40% hingga 49% daripada mereka melaporkan rasa gelisah yang teruk atau amat teruk, yang merupakan dua hingga empat kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang berumur 35 tahun ke atas.

Rajah 9b: Perbezaan bagi Tahap Kegelisahan yang Dilaporkan Mengikut Kelompok Umur

Corak ini dapat dilihat sekali lagi dalam kategori tekanan, di mana 56% hingga 61% daripada responden yang berumur di bawah 35 tahun telah melaporkan tahap tekanan yang merupakan dua hingga tiga kali ganda berbanding tahap tekanan bagi mereka yang lebih berumur. Dari segi keterukan, sekali lagi dapat dilihat bahawa 25% hingga 31% daripada para responden yang berada dalam kelompok umur di bawah 35 tahun melaporkan tahap tekanan yang teruk atau amat teruk, berbanding hanya 8% hingga 13% bagi mereka yang berada dalam kelompok umur 35 tahun ke atas.

Rajah 9c: Perbezaan dalam Tahap Tekanan yang Dilaporkan Mengikut Kelompok Umur

Perbezaan dari segi umur ini juga dapat dilihat dalam laporan kendiri bagi keadaan mental bagi para responden untuk tahun ini berbanding tahun lepas. 51% hingga 55% daripada para responden yang berumur di bawah 35 tahun telah melaporkan tahap kesejahteraan mental yang lebih teruk berbanding 22% hingga 37% bagi mereka yang berumur 35 tahun ke atas. Kelompok umur yang lebih tua, khususnya mereka yang berumur 45 tahun ke atas, didapati dapat menyesuaikan diri dengan agak baik, di mana 73% hingga 78% daripada mereka melaporkan tiada perubahan ataupun peningkatan dalam tahap kesihatan mental mereka.

Rajah 10: Perbezaan dalam Tanggapan Diri bagi Kesejahteraan Mental berbanding Tahun Lepas Mengikut Umur 

Faktor Penyumbang

Kami telah meminta setiap responden untuk menamakan 3 faktor utama yang telah memberi kesan mutakhir kepada keadaan mental mereka. Kami dapati bahawa satu faktor telah dinamakan dengan lebih kerap, tanpa mengira sama ada tahap kesejahteraan mental mereka telah berubah dalam jangka masa setahun yang lalu: renungan tentang masa hadapan (lihat Rajah 11 di bawah). Malah, ketidaktentuan berkenaan masa hadapan tampak mempunyai kesan yang lebih ke atas mereka yang melaporkan kesejahteraan mental yang lebih teruk dalam tempoh setahun yang lalu, berbanding mereka yang melaporkan tiada perubahan mahupun peningkatan dalam kesihatan mental mereka.

Tidak menghairankan juga apabila didapati bahawa keadaan kewangan merupakan satu lagi faktor yang  berada dalam tiga tangga teratas bagi semua responden, tanpa mengira tahap kesejahteraan mental mereka. Yang lebih menarik, halatuju ekonomi dan politik negara turut dinamakan dalam tiga tangga teratas sebagai satu lagi faktor pendorong bagi para responden yang melaporkan tahap kesihatan mental yang semakin teruk atau tidak berubah. Dalam hal ini, bolehlah dirumuskan bahawa ketidakstabilan ekonomi dan politik negara telah memberi kesan kepada tahap kesihatan di peringkat nasional. Namun, kajian yang lebih lanjut adalah diperlukan untuk mendapatkan kesimpulan yang lebih jelas.

Rajah 11: Tiga Faktor Penyumbang Utama bagi Kesejahteraan Mental 

Perubahan Tahap Kesihatan Fizikal Sewaktu Pandemik COVID-19

Di samping melihat kepada tahap kesejahteraan mental, kami juga telah mengkaji perubahan terhadap tahap kesihatan fizikal rakyat Malaysia dalam setahun yang lalu. 49% daripada para responden telah melaporkan tiada perubahan, manakala 32% pula telah melaporkan bahawa tahap kesihatan fizikal mereka bertambah teruk dalam tempoh setahun yang lalu. Hanya 19% responden melaporkan peningkatan dalam tahap kesihatan jasmani mereka.

Daripada kelompok 32% responden yang melaporkan penurunan dalam tahap kesihatan fizikal mereka dalam setahun yang lalu, faktor penyumbang yang kerap dipilih dalam tiga tangga tertinggi adalah jumlah pengambilan makanan dan minuman yang kurang sihat (65%). Faktor-faktor lain yang turut tersenarai dalam tiga tangga tertinggi, dari segi urutan menurun, adalah jumlah rokok yang dihisap (55%), jumlah tempoh tidur (54%), kekerapan kegiatan fizikal (52%) dan kualiti tidur (51%).

Rajah 12: Tanggapan Kendiri Para Responden terhadap Kesejahteraan Fizikal berbanding Tahun Lepas

Rajah 13 menunjukkan corak hubungan yang berkadar langsung di antara tahap kesihatan mental dan fizikal bagi para responden. Mereka yang melaporkan tahap kesejahteraan mental yang lebih baik turut melaporkan tahap kesejahteraan fizikal yang lebih baik, dan begitulah sebaliknya – ramai daripada para responden yang melaporkan kesejahteraan mental yang lebih teruk turut juga melaporkan kesejahteraan  jasmani yang lebih teruk (59%).

Rajah 13: Corak Hubungan di antara Kesejahteraan Fizikal dan Mental bagi Responden

Untuk memahami dengan lebih mendalam tentang bagaimana kesihatan jasmani di kalangan rakyat Malaysia telah berubah, kami juga telah meminta para responden untuk melaporkan sebarang perubahan dalam gaya hidup mereka. Tempoh serta kualiti tidur dan kekerapan kegiatan fizikal jasmani didapati adalah dua perkara yang mengalami kemerosotan yang paling ketara.

Rajah 14: Perubahan dalam Gaya Hidup dan Kesihatan

Nota: ‘Jumlah rokok yang dihisap’ hanya dinyatakan oleh para responden yang mengaku sebagai perokok. Para responden yang mengaku sebagai perokok hanyalah 13% daripada jumlah sampel.

Gaya hidup juga mempunyai kaitan rapat dengan markah DASS-21 yang dilaporkan oleh responden. Misalnya, bagi kualiti tidur (sepertimana Rajah 15 di bawah), kita dapat lihat bahawa kemurungan, kegelisahan dan tekanan meningkat dengan ketara bagi para responden yang melaporkan kemerosotan dalam mutu masa tidur mereka, berbanding dengan para responden yang melaporkan tiada perubahan atau peningkatan dalam kualiti masa tidur mereka. Corak yang sama dapat diperhatikan dalam markah DASS-21 merentasi semua tingkah laku gaya hidup yang digariskan di atas.

Rajah 15: Hubungkait Antara Kualiti Tidur dan Kesejahteraan Mental

Pertimbangan Dasar

Kajian ini telah menyerlahkan suatu penemuan yang walaupun mudah untuk diduga masih agak membimbangkan, iaitu kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya telah  merosot sejak setahun dilanda pandemik global. Sungguhpun sampel yang diambil tidaklah mewakili kependudukan negara setepatnya, ia jelas menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa keadaan mental dan jasmani rakyat Malaysia telah merosot secara keseluruhan, dan bahawa ramai di kalangan rakyat yang kini mengalami tahap kemurungan, kegelisahan dan tekanan yang teruk dan amat teruk. Walau bagaimanapun, kesan ini tidaklah dialami secara saksama di kalangan rakyat: golongan wanita dan mereka yang berumur di bawah 35 tahun telah terkesan secara tidak proporsional dan memerlukan sokongan yang khusus.

Ketidaktentuan tentang masa hadapan tampak merupakan faktor penyumbang utama kepada tahap kesejahteraan mental, dan walaupun keadaan mungkin akan bertambah baik bagi segolongan rakyat pada bulan-bulan yang bakal mendatang, sesetengah kelompok demografi mungkin mengalami tahap ketidaktentuan yang lebih tinggi dari yang lain, misalnya mereka yang baharu sahaja menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah atau universiti, ataupun mereka yang kehilangan kerja akibat proses pendigitalan yang semakin dipacu oleh keadaan pandemik semasa.

Hubungkait di antara kesihatan mental dan kesihatan fizikal juga jelas kelihatan, dan ini perlu diiktiraf dan diberi perhatian sewajarnya dari segi dasar. Suatu corak yang tekal dapat dilihat di antara markah DASS-21 dan maklumat berkaitan tingkah laku gaya hidup: corak yang negatif dalam kualiti tidur, kegiatan fizikal jasmani dan kualiti pemakanan mempunyai kesan yang besar ke atas keadaan mental bagi para responden (dan kemungkinan juga sebaliknya).

Pada waktu ini, perbincangan yang berkaitan dengan pandemik sering berlegar di sekitar program pemvaksinan yang baharu sahaja dilancarkan, dan juga usaha untuk memulihkan ekonomi negara.  Bagaimanakah caranya untuk kita menyokong mereka yang telah – dan mungkin sekali akan berterusan – mengalami kesan mental dan jasmani akibat pandemik ini?

Capaian yang lebih bersasar bagi sokongan dan kemudahan kesihatan mental adalah mustahak, terutamanya bagi golongan yang sudah dikenalpasti sebagai kelompok yang lebih terdedah, contohnya mereka yang lebih muda, serta golongan wanita. Gerakan akar umbi untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan mereka yang terkesan untuk mendapatkan pertolongan seharusnya diberi dorongan, dan sumbangan dana sekiranya perlu.

Program jangkauan (outreach) juga sepatutnya digalakkan bagi meningkatkan tingkah laku kesihatan yang bersifat mencegah, dengan cara menampakkan kaitan di antara kesihatan mental dan fizikal. Ini bolehlah merangkumi usaha untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan tidur, pemakanan yang sihat, dan kegiatan fizikal, serta cara-cara untuk meningkatkan faktor-faktor tersebut. Di samping itu, adalah penting juga agar sumber sokongan kesihatan mental dapat disampaikan kepada mereka yang kini terbeban dengan rasa ketidaktentuan tentang masa hadapan mereka. 


Dalam Bahagian 2 bagi kajian ini, kami memberikan tumpuan kepada kesan keadaan penghidupan dan aturan kerja-daripada-rumah (“work-from-home”) sewaktu pandemik, manakala Bahagian 3 pula akan memaparkan penemuan kami tentang bagaimana pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada keadaan kewangan dan pekerjaan bagi ramai rakyat Malaysia. 

Sekiranya anda mengalami kesukaran emosi atau mental, sila dapatkan bantuan dan sokongan daripada talian yang berikut: Mercy Malaysia dan talian sokongan psikososial Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis di Kementerian Kesihatan iaitu 03-29359935. Talian Kasih yang dikendalikan oleh Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga juga boleh dihubungi di 15999 atau Whatsapp di 019-2615999. 


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS