RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Editorial Societal Contracts

Penularan COVID-19 dalam Penjara yang Sesak dan Peranan Undang-Undang Dadah di Malaysia

Akibat daripada respons sistem perundangan negara terhadap kesalahan kecil berkaitan dadah

By Jia Vern Tham & Nelleita Omar2 July 2021


Read English Version

Daripada enam penjara di Malaysia yang dilanda wabak Covid-19 Oktober tahun lalu, empat telah didapati beroperasi dengan kapasiti berlebihan. Sehingga 3 November 2020, penjara-penjara di Malaysia dilaporkan menampung lebih dari 40% daripada kapasiti yang disyorkan, iaitu 46,420 orang. Beberapa penjara berada dalam situasi yang genting. Penjara Alor Setar, misalnya, telah dilaporkan beroperasi dengan kapasiti dua kali ganda.

Wabak COVID-19 telah mendedahkan pelbagai permasalahan jangka panjang dalam masyarakat, termasuk isu kesesakan di dalam penjara-penjara kita. Penularan virus ini di dalam penjara, yang telah digambarkan ibarat bom jangka (ticking timebombs) oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah, telah membawa kepada pengetahuan umum dua lagi isu yang berkaitan: penjara-penjara kita berada dalam keadaan tidak sanitari dan usang

* Sebelum ini kami telah menulis mengenai kesan kesesakan tempat tinggal kepada pekerja asing di Malaysia, yang boleh dibaca di sini.

Untuk mengawal kluster COVID-19 di dalam penjara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengumumkan pada 15 Disember 2020 bahawa 10,000 penghuni telah dihantar ke pusat pemulihan manakala 11,000 pendatang tanpa izin akan dihantar pulang ke negara asal tahun ini. Isu ini juga telah menarik perhatian Parlimen. Akhir tahun lepas, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Reformasi Penjara Dan Tempat Tahanan Awam (KRPPM), satu usaha bersama antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara, telah dibentuk khusus untuk menangani isu kesesakan penjara.

Kesesakan penjara ialah suatu isu yang rumit dan merangkumi pelbagai aspek. KRPPM dan KDN dijangka akan meneliti pelbagai jalan penyelesaian, termasuk peruntukan tambahan untuk membaik pulih infrastruktur penjara. Walau bagaimanapun, kita harus berwaspada jika ada kemahuan dalam kalangan penggubal dasar untuk menambah bilangan penjara sebagai solusi. Sebaliknya, cadangan kami ialah supaya pihak penggubal dasar menyelesaikan satu isu yang mendesak dan sangat relevan, iaitu hukuman keterlaluan bagi kesalahan kecil berkaitan dadah yang telah menjadi penyumbang besar kepada kesesakan penjara.

Perlukah penjara disesakkan dengan pesalah kecil?

Pakar-pakar kesihatan awam telah memberi amaran mengenai risiko yang boleh ditimbulkan oleh COVID-19 dan penjara yang sesak. Menurut Sandra Chu, Pengarah Penyelidikan Research and Advocacy at the Canadian HIV/AIDS Legal Network, pemenjaraan pesalah bagi dakwaan memiliki kuantiti dadah yang kecil akan mencetuskan bahaya dalam musim pandemik. Atas kebimbangan ini, Dainius Pūras, seorang Pelapor Khas (Special Rapporteur) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), telah mencadangkan tindakan sejauh penguatkuasaan moratorium pelaksanaan undang-undang yang menjenayahkan penggunaan dan pemilikan dadah bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Situasi di Malaysia, di mana wujud populasi penjara yang tinggi, menyokong kebimbangan di atas. Populasi pesalah dadah yang ramai di penjara juga bukanlah suatu perkara yang baharu dan memeranjatkan. Hal ini disebabkan oleh undang-undang dadah yang keras di Malaysia. Dianggarkan dua pertiga tahanan di penjara Malaysia adalah mereka yang disabitkan atas kesalahan berkaitan dadah.

Pada masa ini, pesalah dadah yang dipenjarakan merangkumi pelbagai kumpulan, dari pengedar, hingga individu yang disabitkan kerana memiliki dadah, hingga mereka yang kebetulan didapati positif dadah dalam ujian air kencing. Pakar psikiatri Dr Sivakumar Thurairajasingam apabila di temubual oleh CodeBlue menyatakan bahawa pegawai perubatan awam akan dengan segera menganggap suspek pengguna dadah sebagai seseorang yang ‘bergantung’ kepada dadah jika keputusan ujiannya positif, walaupun itu adalah kali pertama suspek tersebut mencuba bahan narkotik. Hal ini menunjukkan bahawa pada masa ini ianya agak mudah untuk seseorang disabitkan kesalahan berkaitan dadah. Kesalahan memiliki dadah tidak tegar seperti ganja dalam kuantiti yang kecil juga boleh menyebabkan seseorang dihantar ke penjara.

Hukuman untuk kesalahan kecil berkaitan dadah di Malaysia

Pemilikan dadah:
Di bawah Akta Dadah Berbahaya, seseorang yang didapati memiliki kuantiti dadah di bawah 5-gram biji popi atau ganja boleh dikenakan hukuman penjara hingga 5 tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

Penggunaan dadah: Terdapat dua undang-undang pada masa ini memperuntukkan hukuman bagi penggunaan dadah, iaitu Akta Dadah Berbahaya dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan). Di bawah Akta Dadah Berbahaya, pengguna dadah dikenakan denda maksimum RM5,000 dan hukuman penjara hingga dua tahun, sementara di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan), pengguna dadah dikenakan pemulihan wajib serta pengawasan untuk empat tahun.

Menurut Seksyen 38 (B) Akta Dadah Berbahaya, pengguna dadah terlebih dahulu harus menjalani hukuman di bawah Seksyen 15 akta yang sama, sebelum menjalani pengawasan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan).

Penularan wabak COVID-19 di penjara nampaknya telah mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan untuk membetulkan masalah pemenjaraan berlebihan pesalah dadah di Malaysia. Jabatan Penjara telah menyusun langkah-langkah mitigasi termasuk memindahkan 2,800 pesalah kecil berkaitan dadah ke fasiliti sementara, dan telah memohon supaya yang lain ditempatkan di perimeter penjara agar mereka dapat dipulihkan, atau direhabilitasi.

Langkah-langkah ini jelas adalah solusi yang sementara. Selain daripada pemindahan tahanan ke kemudahan sementara secara ad hoc, apa yang diperlukan adalah kaedah untuk menangani kesesakan penjara yang lebih tersusun. Penyelesaian yang lebih mantap dan berteraskan objektif jangka panjang adalah diperlukan untuk pesalah jenayah kecil, terutamanya yang berkaitan dadah. Harus diingatkan di sini bahawa kira-kira dua pertiga dari populasi penjara di Malaysia sekarang terdiri dari pesalah dadah. Untuk ilustrasi, jika kita menganggap hanya separuh daripada jumlah itu terdiri daripada pesalah kecil berkaitan dadah (jumlahnya mungkin lebih tinggi; pada tahun 2017, 56% banduan dilaporkan dipenjara kerana kesalahan ini), dengan hanya menyingkirkan bahagian tersebut kita boleh mengurangkan kepadatan penghuni di empat buah penjara yang telah menjadi kluster penularan wabak COVID-19 seperti yang digambarkan dibawah:

Sumber: Jawapan Parlimen oleh Menteri Dalam Negeri pada 17 Jun 2019; Kenyataan Media oleh Ketua Pengarah Penjara Malaysia pada 6 Oktober 2020. Pengiraan mudah oleh The Centre. Populasi Penjara di Malaysia sehingga Jun 2019.

Perjalanan yang panjang ke arah sistem pemulihan

Rasional dan keberkesanan undang-undang dadah Malaysia telah mula dipersoalkan, terutamanya untuk kesalahan kecil. Sebelum pandemik COVID-19 melanda setiap pelusuk dunia, telah pun wujud permintaan untuk mengkaji undang-undang dadah Malaysia dan mengambil pendekatan berasaskan rawatan dan rehabilitasi terhadap penagihan dadah. Tokoh-tokoh terkenal, termasuk pakar penyakit berjangkit Prof Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman, Ketua Program Pemulihan Ketagihan Dadah Spiritual (SEDAR) Dr Rusdi bin Abdul Rashid, dan Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Vicknasingam Kasinather telah lama menyokong langkah untuk merawat secara perubatan dan merehabilitasi pengguna dadah di Malaysia.

Sementara itu, usaha ke arah reformasi dasar dan undang-undang berkaitan dadah telah mengambil masa yang panjang. Pada tahun 2017, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, YB Datuk Seri Azalina Othman telah mencadangkan buat pertama kali supaya satu kajian dijalankan untuk menilai semula hukuman-hukuman dadah berdasarkan tahap keseriusan pemilikan dan pengedaran. Pada tahun 2019, sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah ditubuhkan dan dilaporkan telah bersetuju untuk mengusahakan langkah-langkah ke arah meringankan hukuman jenayah terhadap pesalah kecil dadah.

Baru-baru ini, kerajaan Perikatan Nasional dikatakan telah mencadangkan undang-undang baru untuk menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) menjelang akhir tahun ini. Undang-undang baharu ini dirancang untuk memperuntukkan penempatan pengguna dadah dalam program rehabilitasi dan rawatan tanpa pemenjaraan. Walau bagaimanapun, penggunaan dadah masih ditadbir di bawah bidang kuasa Akta Dadah Berbahaya dan sehingga peruntukan yang relevan di bawah Akta ini dipinda, keberkesanan undang-undang baharu ini akan menjadi tanda tanya.

Tambahan pula dan perkara yang paling utama, isu kesalahan pemilikan dadah dalam kuantiti kecil masih belum selesai. Hukuman yang tidak seimbang dan penjara yang sesak mungkin akan terus berkekalan sehingga hal ini dapat diselesaikan.

Dekriminalisasi Dadah merujuk kepada penghapusan tuduhan dan hukuman jenayah seperti hukuman penjara kerana memiliki dan/atau menggunakan bahan narkotik dalam jumlah yang kecil.

Konsep ini telah mendapat sokongan yang kuat dan juga kritikan. Aktivis seperti Malaysian Drug Policy Reform Alliance menyokongnya dan telah memetik kajian tempatan yang menunjukkan perbandingan kos dan keberkesanan penjara berbanding pemulihan dadah. Pihak lain pula, seperti mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Musa Hassan dan peguam jenayah, Datuk Rosal Azimin Ahmad berpendapat bahawa langkah ini akan mendorong penggunaan dadah dan membebankan penguatkuasa undang-undang.

Adakah COVID-19 akan mengubah pendekatan kita?

Pandemik ini telah menjadi peringatan kepada kita tentang satu isu yang telah lama berlegar tetapi selalu dilupakan. Reformasi undang-undang dadah amat diperlukan, bukan hanya kerana kesesakan di penjara, tetapi juga atas sebab yang lebih mudah: keberkesanan undang-undang tersebut. Antara lain, dasar-dasar berkaitan dadah yang progresif terbukti telah dapat meringankan beban sistem keadilan jenayah dan mengurangkan penggunaan dadah. Sebagai contoh, di negara Portugal, setelah pelaksanaan dekriminalisasi dadah pada tahun 2001, kes-kes overdos dadah, jangkitan HIV, dan jenayah yang berkaitan dengan dadah telah dilaporkan menurun. Manfaat serupa juga dilihat di Switzerland; hampir tiga dekad setelah dekriminalisasi dadah, negara tersebut mencatatkan penurunan pengguna heroin baharu sebanyak 80%.

Sejumlah sistem perundangan lain di serata dunia juga telah mula bergerak ke arah penggubalan dasar dadah yang lebih progresif. Contohnya, dekriminalisasi ke atas semua jenis dadah telah dilaksanakan di negeri Oregon di Amerika Syarikat pada akhir tahun lalu. Australia telah memperkenalkan draf rang undang-undang pada Disember tahun lalu untuk menghapuskan hukuman ke atas pemilikan dadah untuk penggunaan peribadi. Pihak yang menyokong telah menyambut baik rang undang-undang tersebut dan menyatakan bahawa pengguna dadah akan mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang lebih baik sambil mengurangkan tekanan pada sistem keadilan jenayah di Australia.

Ketika Malaysia memerangi penularan wabak COVID-19, amatlah penting untuk kita merancang secara lebih konkrit untuk meminda undang-undang dadah yang bersifat punitif ke arah satu pendekatan yang yang mengutamakan rehabilitasi. Sistem rehabilitasi tidak hanya akan dapat meringankan jumlah pesalah dadah yang tinggi di penjara, tetapi juga akan melahirkan kaedah yang lebih berkesan untuk menangani isu kebergantungan dadah di negara kita.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS