RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Primer Safety Nets

Memahami keresahan veteran

Pengenalan kepada isu kebajikan mereka

By Edwin Goh, Khairil Ahmad & Ooi Kok Hin15 February 2023


Othman Bashah adalah seorang veteran Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang pernah melawan ancaman komunis dari tahun 1970 hingga 1990. Kini, pada usia 75 tahun, veteran tentera ini menerima pencen sebanyak RM900 dan bekerja di kedai makan dengan gaji harian untuk menampung hidup. Bilamana kisah kehidupan sebegini dilaporkan, reaksi masyarakat berkisar kepada perasaan  kagum dan berterima kasih orang ramai atas khidmat bakti anggota tentera kepada negara. Namun satu lagi persoalan sering juga ditimbulkan – apakah nasib mereka setelah mereka bersara daripada khidmat ketenteraan?

Ramai veteran tentera telah bersara tanpa bayaran pencen yang mencukupi. Mereka juga telah bergelut dengan ketiadaan pekerjaan yang membayar gaji kehidupan yang dapat membantu mereka untuk terus menyumbang kepada masyarakat. Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) melaporkan bahawa hampir 60% veteran tentera berpencen hidup di bawah garis kemiskinan – iaitu kira-kira dua daripada tiga anggota, yang rata-ratanya berpangkat rendah. Menurut PVATM, sehingga Disember 2021, terdapat lebih daripada 350,000 veteran tentera* di Malaysia, dengan kadar persaraan sekitar 4,500 hingga 5,000 anggota setiap tahun. Juga, bukan semua akan menjadi veteran berpencen; kira-kira satu daripada tiga anggota tidak layak mengambil pencen.

*Nota: Bilangan yang dilaporkan PVATM ini adalah rekod tidak rasmi dan ianya adalah lebih tinggi daripada bilangan yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) yang berjumlah 207,017 veteran sehingga Disember 2022.

Disebabkan ramai anggota tentera yang bersara dalam kemiskinan, kumpulan-kumpulan yang mewakili golongan veteran kebelakangan ini telah lantang menyeru agar kebajikan mereka lebih diberi perhatian oleh kerajaan. Pihak kerajaan sendiri telah mengakui bahawa dasar-dasar berkenaan kebajikan veteran perlu disemak semula. Namun apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memenuhi hasrat ini?

Untuk menambah baik kebajikan golongan veteran, adalah penting bagi kita untuk memahami dua permasalahan yang mendasari cabaran hidup yang sedang mereka lalui, iaitu isu sistem pencen dan peluang kerja pasca-persaraan. Primer ini meneliti isu-isu tersebut dengan mendalam dan membincangkan jalan ke hadapan bagi menangani krisis kebajikan veteran tentera di Malaysia.

Kadar pencen yang tidak mencukupi dan berbeza

Seperti yang telah dinyatakan di atas, tidak semua veteran tentera di Malaysia menerima pencen perkhidmatan. Menurut maklumat daripada laman web Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), hanya Pegawai, Pegawai Tidak Tauliah dan Anggota Lain-Lain Pangkat yang telah berkhidmat selama sekurang-kurangnya 20 dan 21 tahun layak menerima pencen perkhidmatan* (lihat Rajah 1 untuk maklumat tentang kategori pangkat ATM). Pengecualian hanya diberikan untuk anggota-anggota yang dibersarakan atas sebab kesihatan. 

*Nota: Secara perbandingan, penjawat awam dan ahli parlimen masing-masing layak menerima pencen kerajaan setelah 10 dan 3 tahun perkhidmatan.

Rajah 1: Kategori Pangkat Angkatan Tentera Malaysia

Sumber: Portal Rasmi Tentera Darat Malaysia, Portal Rasmi Tentera Laut Diraja Malaysia, Portal Rasmi Markas Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV)

Mereka yang berkelayakan akan menerima pencen perkhidmatan berdasarkan gaji terakhir dan jumlah tempoh perkhidmatan mereka. Kerajaan menokok kadar pencen sebanyak 2% setiap tahun. Selain pencen perkhidmatan, veteran juga menerima ganjaran perkhidmatan secara sekaligus, Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR), dan caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengikut kelayakan masing-masing. JHEV juga menawarkan Skim Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 sebulan kepada veteran yang berumur 60 tahun ke atas atau yang hilang upaya.

Bagi mereka yang tidak layak menerima pencen, mereka diberikan bayaran sebanyak RM3,000 secara sekaligus setahun bagi yang berumur bawah 60 tahun atau elaun bulanan sebanyak RM500 bagi yang berumur lebih 60 tahun. Golongan ini merangkumi veteran yang berkhidmat kurang daripada tempoh perkhidmatan minimum yang dikehendaki. Rekod awam veteran tidak berpencen ini berjulat antara 27% daripada semua veteran tentera seperti yang dipetik dalam kenyataan bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada tahun 2021 sehingga 35% menurut JHEV sehingga 37% menurut kenyataan PVATM pada tahun 2021. Dalam erti kata lain, secara kasarnya satu daripada setiap tiga veteran tidak menerima pencen perkhidmatan.

Sejak beberapa tahun yang lalu, golongan veteran semakin vokal dalam menyuarakan kebimbangan ekonomi mereka. Pada bulan Jun 2022, seramai 2,000 veteran telah berhimpun di Tugu Negara di Kuala Lumpur bagi menggesa kerajaan untuk meluaskan perlindungan pencen kepada mereka yang berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan yang telah diberhentikan atas sebab disiplin. Tiga bulan kemudian, satu lagi kumpulan telah berjalan dari Perak ke Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertahanan bagi menuntut semakan pencen bagi veteran yang bersara sebelum 2013.

Peluang pekerjaan pasca-persaraan yang terhad

Selain daripada isu pencen, veteran juga menghadapi cabaran dalam menjana pendapatan setelah mereka bersara daripada perkhidmatan. Kerajaan telah menubuhkan JHEV pada tahun 2000 dan sebelumnya Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) pada tahun 1994 sebagai langkah untuk menambah baik kebajikan sosioekonomi golongan veteran.

Pada masa ini, veteran boleh mengakses latihan peralihan yang dikendalikan JHEV untuk mendapatkan kemahiran kerjaya sebagai persediaan sebelum besara dan beralih ke bidang awam. PERHEBAT pula menawarkan kursus kemahiran dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan mekanikal dan elektrikal, hospitaliti, pembinaan, automotif, pengurusan perniagaan kecil dan sederhana, dan banyak lagi. Anggota-anggota yang berkelayakan boleh mendaftar dalam latihan peralihan pra-kerjaya PERHEBAT secara sukarela seawal dua tahun sebelum tarikh persaraan dan dalam mana-mana latihan kemahiran dan kerjaya selepas tarikh persaraan.

Selain daripada kursus-kursus latihan yang ditawarkan badan dalaman ATM seperti PERHEBAT, veteran juga boleh menyertai latihan-latihan pembangunan kerjaya yang dikelolakan oleh institusi-institusi awam dan swasta sebagai persediaan untuk beralih ke bidang kerjaya yang baru, seperti rakyat Malaysia yang lain. Primer kami mengenai sistem pembangunan kemahiran di Malaysia memberikan gambaran keseluruhan tentang peluang kemahiran semula (reskilling) dan cara membiayai penyertaan dalam kursus-kursus tersebut di negara ini.

Walaupun lanskap pembangunan kemahiran pada masa ini adalah meluas, peralihan kerjaya masih menjadi cabaran yang sangat hebat kepada ramai rakyat Malaysia, seperti yang kami dapati dalam tinjauan pekerja tidak formal bukan graduan yang telah kami jalankan pada tahun 2020.

Dalam isu veteran, ramai yang telah bersara dalam usia 40-an terpaksa bersaing dengan graduan yang lebih muda atau yang baru menamatkan pengajian untuk mendapatkan pekerjaan. Graduan-graduan baru tersebut berkemungkinan besar telah menerima khidmat bimbingan kerjaya di universiti sebagai persediaan untuk mereka melangkah ke alam pekerjaan. Dalam persekitaran yang penuh persaingan ini, langkah-langkah lanjut harus diambil oleh pembuat dasar selain hanya bergantung kepada penawaran kursus-kursus kemahiran secara sukarela bagi membantu veteran mengemudi kehidupan pasca-persaraan mereka.

Sepertimana kisah Ruslan, yang setelah ditamatkan perkhidmatan atas sebab kesihatan telah hidup sebagai gelandangan di Kuala Lumpur. Meskipun beliau kini telah tinggal bersama keluarga angkat, keperitan hidup yang dilalui sebelum ini – beliau terpaksa bergantung kepada pencen hilang upaya yang sedikit dan tidak mampu menampung kos kehidupan seharian – adalah satu contoh cabaran yang dihadapi oleh sesetengah veteran. Peralihan kerjaya atau latihan semula mungkin adalah impian yang sukar digapai oleh sebab mereka terpaksa bergelut dengan realiti kemiskinan.

Jalan ke hadapan

Kemiskinan tidak harus menjadi harga kepada patriotisme. Pada masa ini telah wujud keperluan untuk mereformasikan perlindungan kebajikan veteran di Malaysia. Reformasi ini perlu merangkumi semakan semula sistem pencen dan juga penambahbaikan dari segi sokongan peralihan kerjaya untuk membantu golongan veteran meneruskan kelangsungan hidup. Namun, sehingga isu pencen telah menemui penyelesaian yang bermakna, memperbaiki sokongan peralihan kerjaya adalah isu yang lebih segera yang perlu diselesaikan oleh pembuat dasar.

Memandangkan kerajaan sedang berhadapan dengan kadar hutang fiskal yang tinggi, perluasan dan peningkatan jumlah pencen berpotensi untuk menimbulkan kebimbangan yang baru kepada pihak kerajaan, tanpa semestinya menyelesaikan isu-isu yang lama. Semakan semula gaji anggota tentera pada tahun 2007, 2013 dan 2016 telah mewujudkan kohort veteran yang pelbagai, yang digolongkan dalam kategori-kategori pencen yang berbeza. Walaupun pengemaskinian tersebut memberi sedikit kelegaan kepada veteran, ia tidak menyelesaikan isu pencen yang tidak mencukupi dan berbeza yang telah kami bincangkan di atas, dan tidak juga membantu mereka untuk mengenalpasti peluang menjana pendapatan pasca-perkhidmatan secara efisien.

Anggota yang telah bersara daripada khidmat ketenteraan dan memasuki pasaran kerja awam sebagai tenaga kerja memerlukan sokongan untuk mengkonseptualisasikan semula identiti sosial mereka, mengenalpasti laluan kerjaya yang sesuai, belajar semula kemahiran kerjaya, dan mengadaptasikan diri dalam pasaran kerja. Menurut sebuah kajian, sokongan peralihan kerjaya yang intensif untuk membantu golongan veteran bekerja dapat meningkatkan prospek kerjaya, tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Pembuat dasar perlu berpandangan lebih jauh dalam usaha untuk membantu veteran mengemudi perjalanan kerjaya pasca-persaraan mereka. Inisiatif-inisiatif di negara lain boleh dirujuk sebagai contoh dan diterima pakai sekiranya dapat disesuaikan dengan konteks Malaysia. Amerika Syarikat misalnya telah menubuhkan Pusat Peralihan Veteran dan Anggota Tentera (Veteran and Military Transition Center), menyediakan pusat-pusat sehenti Pelayar Pekerjaan (Employment Navigator), menawarkan khidmat Terapi Pemulihan Pekerjaan (Compensated Work Therapy), dan banyak lagi. Pendekatan sebegini, yang lebih proaktif dan menyeluruh, pada akhirnya berupaya untuk membolehkan mereka untuk terus memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat. 

Emel pandangan atau cadangan anda ke editorial@centre.my.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS