Editorial| Legal Reform

Malaysia Perlu Pendekatan Baru Untuk Tangani Masalah Ucapan Kebencian

Cadangan kami untuk dasar penyelesaian yang lebih menyeluruh.

By Editorial Team | 25 November 2019


Masalah ucapan kebencian di Malaysia makin meningkat dari hari ke hari, baik dalam entri media sosial, komen kepada artikel berita atau ucapan oleh personaliti ternama. Hakikatnya, bukan masyarakat Malaysia sahaja yang berasa begitu; masyarakat di seluruh dunia turut berdepan cabaran yang sama.

Dalam pada itu, adakah kita kini sedang berusaha ke arah penyelesaian yang sesuai dengan keadaan di Malaysia? Jika tidak, apakah mungkin bentuk penyelesaian yang wajar bagi masyarakat kita? Artikel ini mencadangkan satu kerangka bagi menangani ucapan kebencian di Malaysia, seiring dengan usaha kami untuk mengkaji topik penting ini dengan lebih lanjut.


Era polarisasi

  • Pada Ogos lalu, seorang lelaki muda berusia 21 tahun membunuh 22 orang di El Paso, Amerika Syarikat, sebagai tindakbalas terhadap persepsi "pencerobohan golongan Hispanik di Texas". Insiden serangan tembakan di Christchurch, New Zealand tahun ini juga adalah respon sama terhadap ketakutan terhadap ‘genosid kulit putih‘. Mengikut Pusat Kajian Pew, polarisasi politik dan ekstremisme kini berada di tahap kemuncak di seluruh dunia.
  • Pendedahan berterusan kepada ucapan kebencian dan hasutan menjadi pemangkin keadaan ini. Dalam satu kajian, penyelidik di Jerman telah mendapati bahawa ucapan kebencian dalam talian terhadap golongan pelarian berkait rapat dengan kejadian serangan fizikal terhadap kumpulan itu. Beberapa kajian turut mengenal pasti pertindihan di antara retorik Presiden Donald Trump dengan laporan kejadian jenayah kebencian di beberapa tempat merentasi Amerika Syarikat. Selain kaitan dengan keganasan dan jenayah kebencian, pelbagai kajian juga menunjukkan bahawa pendedahan berulang terhadap ucapan kebencian meningkatkan perasaan ketidakpercayaan dan prejudis antara komuniti, sekali gus melemahkan keharmonian masyarakat.
  • Malaysia belum pernah menyaksikan jenayah atau insiden kebencian pada skala seperti El Paso atau Christchurch, namun bibit-bibit pendorong atau pemangkin kepada peristiwa berunsur kebencian sudah kelihatan. Pelbagai nada jelik lagi menyakitkan tentang perkauman dan keagamaan kerap kedengaran, seperti dalam respon kepada isu pengenalan tulisan khat dalam kurikulum kebangsaan, kemarahan terhadap mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang mengkritik Naib Canselor UM berhubung kenyataannya di Kongres Maruah Melayu, Kongres Maruah Melayu itu sendiri dan beberapa lagi situasi dalam tahun ini sahaja.
  • Hala tuju ucapan politik juga kelihatan semakin menumpu kepada pertembungan budaya bangsa. Dalam kempen-kempen pilihan raya kecil (PRK) lalu, pemimpin pembangkang telah mendesak pengundi supaya tidak menyokong kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui ‘puak Kristian’ atau ‘puak kafir’. Pada masa sama, ahli Parlimen kerajaan pula meminta pengundi supaya tidak memilih ‘acuan Taliban’. PRK Tanjung Piai yang baru berlalu juga tidak menunjukkan penyusutan kecenderungan ini — baik ahli politik pihak kerajaan mahupun pembangkang saling menuduh masing-masing sebagai dalang kebencian dan perkauman.


Persoalan yang dihadapi hari ini

  • Bagi rakyat Malaysia, tarikh 13 Mei 1969 kekal sebagai peringatan tentang kemudaratan keterlaluan dalam membuat ucapan berbaur perkauman. Namun begitu, sama ada detik hitam tersebut kekal sebagai pendinding daripada insiden kebencian di masa depan kini menjadi tanda tanya. Baru-baru ini, syarikat kajian persepsi, Vase.ai, mendapati 54% daripada responden tinjauan percaya tragedi 13 Mei 1969 boleh berulang lagi berdasarkan iklim politik semasa negara.
  • Memandangkan kekerapan dan kepelbagaian ucapan kebencian yang dapat dibaca hari ini, bolehkah kita akui bahawa kita sebagai masyarakat sedang berusaha untuk menanganinya dengan cara yang bijak dan wajar? Berdasarkan undian ringkas dalam talian kami minggu lalu, sebahagian besar responden menjawab ‘tidak’.
  • Malaysia mempunyai beberapa undang-undang bagi menangani aspek-aspek berbeza ucapan kebencian dan hasutan, termasuk Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, selain peruntukan-peruntukan di bawah Kanun Keseksaan. Beberapa individu pernah didakwa di bawah undang-undang ini untuk ucapan berbaur hasutan yang menyentuh aspek kaum dan agama.
  • Masyarakat umum juga mempunyai pilihan untuk menyalurkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Bagaimanapun, sukar untuk dipastikan sama ada siasatan terhadap aduan sedemikian membawa kepada tindakan terhadap pelaku.

Bagi mendapatkan pandangan menyeluruh mengenai undang-undang berkaitan ucapan kebencian dan hasutan, sila klik di sini.

  • Adakah undang-undang kita mencukupi, atau adakah kita memerlukan kerangka dasar yang lebih menyeluruh bagi menangani ucapan kebencian? Bagaimana patut kita tangani ucapan yang ‘cuma sekadar’ tidak sensitif berbanding ucapan yang menjelikkan atau menyakitkan berbanding ucapan yang menghasut? Dan yang paling utama: siapa yang berhak mentakrifkan apa yang dianggap sebagai ucapan kebencian?


Spektrum pengurusan ucapan kebencian

  • Bagaimana dan sejauh mana masyarakat bertindak ke atas ucapan kebencian bergantung kepada nilai-nilai masyarakat tersebut. Masyarakat yang lebih liberal, dengan sokongan ahli teori liberal, percaya bahawa undang-undang ucapan kebencian mencabuli kebebasan bersuara dan adalah sejenis penapisan atau censorship. Dari sudut sebaliknya, masyarakat yang lebih konservatif berpandangan bahawa undang-undang ucapan kebencian diperlukan untuk melindungi kumpulan-kumpulan yang lemah
  • Dengan meningkatnya dapatan kajian yang mengaitkan ucapan kebencian dengan polarisasi dan insiden keganasan, besar kemungkinan bahawa sebahagian besar masyarakat akan mendesak untuk pendekatan yang lebih sistematik bagi menangani ucapan kebencian. Kebanyakan negara mendakwa perilaku hasutan, khususnya ucapan atau aktiviti yang dianggap menggesa atau mendesak tindakan ganas. Bagaimanapun, ada juga negara yang bertindak lebih tegas dengan mendakwa bukan sahaja perilaku hasutan tetapi juga kenyataan berunsur kebencian.
  • Sebagai contoh, Jepun dan Perancis telah meluluskan undang-undang bagi mengongkong ucapan kebencian. Malah, ahli politik di Jepun sedang mendesak pengenalan undang-undang baharu untuk mengharamkan ucapan kebencian kerana peruntukan sedia ada tidak melarang atau menghukumnya secara khusus. Sementara itu, setiap negeri di Australia mempunyai undang-undang sivil sendiri bagi ucapan kebencian yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa negeri seperti Lembaga Anti-Diskriminasi New South Wales atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Australia. Mengikut Artikel 19, sebuah organisasi hak asasi manusia, beberapa negara dalam Kesatuan Eropah turut membenarkan mangsa ucapan kebencian mendapat pembelaan di bawah undang-undang sivil.

Rujukan undang-undang ucapan kebencian negara terpilih dalam rencana kami di sini.

Apa perbezaan antara undang-undang jenayah dan undang-undang sivil?

Undang-undang sivil dan undang-undang jenayah adalah entiti berlainan dengan peruntukan serta hukuman berbeza.

Undang-undang sivil bertujuan memperbetulkan keadaan bagi mangsa dengan mendapatkan pampasan daripada pesalah. Matlamat undang-undang jenayah ialah menghukum pesalah dan memberi isyarat jelas kepada masyarakat supaya menghindari daripada melakukan jenayah tersebut.

Kaedah undang-undang sivil telah diperakui sebagai aspek positif dalam perundangan terhadap ucapan kebencian.

  • Mengambil kira situasi dan sejarah masyarakat berbilang kaum di Malaysia, kami berpendapat bahawa respon berbentuk menghukum dan yang menumpu kepada hasutan sudah agak terlambat. Pendedahan berulang kali terhadap kenyataan jelik atau membenci bukan sahaja meningkatkan kebarangkalian berlakunya insiden yang tidak dimahui, tetapi ianya menjejaskan kepercayaan dan sikap saling memahami di kalangan kita. Justeru, pelbagai tahap ucapan kebencian harus ditangani — persoalannya bagaimana.


Cadangan: Respon dasar yang lebih menyeluruh

  • Kami mencadangkan bahawa bukan semua ucapan kebencian perlu ditangani dengan pendekatan punitif atau menghukum, sebaliknya pendekatan memulih dan berunsur kemasyarakatan wajar diambil kira. Hujah kes: Tahun lalu di Lubnan, dua remaja Muslim yang merosakkan patung Virgin Mary tidak dihantar penjara tetapi dihukum untuk mempelajari rujukan terhadap Mariam yang terdapat dalam al-Quran. Perintah ini dipuji sebagai ‘tonggak keadilan’ yang saling memperakui sejarah dan silaturrahim antara golongan Muslim dan Kristian di Lubnan.
  • Pendekatan punitif melalui tindakan undang-undang juga adalah terlalu sukar sebagai penyelesaian kepada semua jenis kesalahan. Pada 2015, penyelidik mendapati mekanisme aduan ucapan kebencian di Australia amat membebankan mangsa. Juga didapati bahawa si mangsa jarang mengambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang atas faktor kos yang tinggi serta tempoh prosiding. Sepatutnya ada kaedah lebih mudah untuk membantu dan bertindak terhadap ucapan kebencian yang tidak terlalu serius.
  • Masyarakat Malaysia memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh tapi telus supaya:

    (i) takrifan tahap-tahap ucapan kebencian diperjelas dan dipersetujui. Apakah ucapan kebencian yang ‘hanya’ tidak sensitif berbanding yang lebih menyakitkan dan serius? Apakah ucapan yang menjelikkan berbanding yang menghasut? Tahap-tahap ini harus dibincang dan dijelaskan bagi situasi di Malaysia, mungkin berpandukan klasifikasi ucapan kebencian Rabat Plan of Action oleh Bangsa-Bangsa Bersatu.

    (ii) respon yang wajar diperuntukkan bagi setiap kategori ucapan kebencian. Respon yang lebih membina dan yang merapatkan jurang pemahaman perlu dicuba, seperti khidmat komuniti atau pengisytiharan memohon maaf. Hukuman yang lebih berat atau punitif boleh ditujui kepada ucapan kebencian yang lebih serius atau berulang.

    (iii) cara membuat aduan dan melapor ucapan kebencian dipermudahkan. Daripada bergantung kepada pihak polis dan mahkamah semata-matanya untuk mengadili setiap kes ucapan kebencian, satu entiti awam seperti suruhanjaya atau jawatankuasa parlimen boleh dilantik sebagai tempat pelaporan utama, terutamanya bagi kes-kes ucapan kebencian yang belum mencapai ke tahap serius. Prosedur dan panduan yang jelas lagi ringkas juga diperlukan.

    (iv) takrifan ucapan kebencian dikemas kini dari semasa ke semasa selari dengan perubahan masyarakat oleh, sebagai contoh, sebuah Jawatankuasa Parlimen yang bertanggungjawab atas penambahbaikan undang-undang.
  • Pada April tahun ini, Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial P. Waytha Moorthy telah mengatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbang penubuhan Suruhanjaya Perdamaian dan Keharmonian Negara. Dilaporkan, suruhanjaya ini akan menyiasat segala aduan mengenai penindasan (discrimination) tetapi segala rangka kerja, bidang kuasa dan aspek pelaksanaannya belum diperincikan setakat ini. Belum jelas lagi jika suruhanjaya tersebut akan juga merangkumi isu ucapan kebencian.
  • Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, kerajaan juga turut mengumumkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan yang bakal berfungsi sebagai forum rasmi bagi mengenal pasti isu berkaitan perpaduan yang berupaya mengancam keselamatan negara. Jawatankuasa berkenaan dikatakan bakal bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mengenai isu penting berkaitan kaum, raja dan agama supaya penguatkuasaan serta pemantauan berupaya dilaksana mengikut perundangan sedia ada. Namun, maklumat lanjut berhubung pelaksanaannya belum jelas setakat rencana ini ditulis.
  • Sementara kita nantikan maklumat lanjut tentang langkah-langkah terbaru ini (jangan lupa, Malaysia juga sudah mempunyai Majlis Perundingan Perpaduan Negara), The Centre akan terus berusaha menyediakan kerangka cadangan berhubung pengurusan ucapan kebencian dengan menjalankan kajian yang relevan. Setakat ini, kami berpegang kepada pendirian bahawa kes di peringkat awal belum lagi menerima perhatian yang secukupnya. Peringkat ini harus bersandarkan prinsip pemuliharaan, manakala yang kronik boleh ditangani menerusi tindakan menghukum.


Tetapi akhir sekali, apakah sebenarnya ucapan kebencian di Malaysia?

  • Pelan Tindakan Rabat oleh Pejabat Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) memperincikan perbezaan antara tiga jenis ucapan: ucapan yang dianggap sebagai kesalahan jenayah; ucapan yang tidak boleh dihukum sebagai tindakan jenayah tetapi boleh disaman atau dikenakan sekatan pentadbiran; dan ucapan yang tidak wajar mendapati sekatan pentadbiran, saman atau tindakan jenayah, namun masih menimbulkan isu yang bersangkut-paut dengan toleransi, kemasyarakatan dan sifat saling menghormati hak orang lain.
  • Garis panduan ini perlu disesuaikan dengan konteks masyarakat kita. Ucapan kebencian banyak berkait dengan emosi dan setiap orang mempunyai konsep tersendiri, justeru apa yang boleh dianggap sebagai pelbagai tahap ucapan kebencian perlu mengambil kira latar belakang sejarah negara dan pandangan pelbagai pihak. Ini sudah semestinya mengundang perdebatan hangat — hanya berdasarkan tinjauan ringkas dalam talian kami, majoriti berpandangan bahawa di kalangan masyarakat Malaysia tiada persefahaman bersama mengenai apa itu ucapan kebencian.
  • Walaubagaimanapun, kita harus terus mencuba. Sejajar ujian tahap-tahap ucapan kebencian yang dicadangkan OHCHR, Malaysia mesti melakukan ujian sama yang bersesuaian dalam menangani keadaan di negara kita. Ini mesti merangkumi maklum balas semua kumpulan terhadap pelbagai contoh ucapan kebencian, termasuk golongan minoriti. Ucapan yang dianggap tidak begitu sensitif oleh satu kumpulan mungkin dirasa amat menyakiti atau membakar jiwa bagi kumpulan lain.
  • Kepentingan takrifan ucapan kebencian tidak terbatas kepada isu kaum dan agama sahaja. Ucapan kebencian atau insiden kebencian bagi isu menyentuh jantina atau kecenderungan seksual amat kritikal namun lompangnya amat ketara. Susulan pembunuhan remaja ‘lembut’ berusia 18 tahun, Nhaveen pada 2017 dan wanita transgender di Klang tahun lalu, laporan Pemerhati Hak Asasi Manusia menegaskan kekurangan perakuan terhadap pandangan kebencian yang mendorong kepada tindakan ganas begini. Perkara sama turut disuarakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Naib Presiden Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye.
  • Sudah tiba masanya kita meneliti makna ucapan kebencian dalam masyarakat Malaysia, bukan sahaja untuk menentangnya tetapi lebih penting, untuk memahami fikiran dan perasaan mereka yang daripada kumpulan yang berbeza. Kita bukan sahaja perlu mengurangkan kebencian, kita juga perlu mengukuhkan tahap kepercayaan sesama kita.

Interested to work with us on this research topic? Email us at editorial@centre.my.