Primer| Social Protection

Panduan kepada Perlindungan Sosial di Malaysia

Gambaran umum tentang perlindungan sosial bagi setiap rakyat Malaysia.

By Editorial Team | 21 October 2019



Apakah perlindungan sosial?

  • Pada amnya, perlindungan sosial merangkumi dasar, program dan langkah-langkah yang bertujuan (a) memastikan taraf hidup mimima untuk para penduduk, dan (b) melindungi masyarakat daripada kejutan atau peristiwa malang seperti penyakit serius, kecederaan dan pemberhentian kerja.


Apakah jenis-jenis perlindungan sosial bagi memastikan taraf hidup minima?

Sokongan pendapatan

  • Bantuan Sara Hidup (BSH), program utama yang merupakan pemberian wang tunai kepada individu-individu yang layak. Ditadbir oleh LHDN. Keluarga berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan dan individu berpendapatan RM2,000 ke bawah sebulan tergolong dalam kategori penerima yang layak.
  • Skim Bantuan Kebajikan iaitu program sokongan pendapatan (antara lain) yang ditadbir Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). Isu rumah yang dikategorikan sebagai miskin oleh JKM layak menerima bantuan kewangan serta bantuan-bantuan lain di bawah skim ini.
  • Isu utama: Ramai rakyat Malaysia bukan sahaja mahukan BSH diteruskan, malahan diperluaskan. Lebih 900,000 permohonan telah diterima sejak bantuan ini dibuka semula pada 2018.

Bagaimanakah BSH harus distrukturkan? Persoalan ini dan persoalan-persoalan lain akan dibincangkan dalam editorial kami yang akan datang.


Simpanan Hari Tua/Persaraan

  • Kesemua pekerja sepenuh masa sektor swasta di Malaysia termasuk dalam skim ini. Mengikut undang-undang, para pekerja dan majikan perlu menyumbang masing-masing sebanyak 11% dan 12%/13% daripada gaji pekerja kepada sebuah dana pelaburan yang diuruskan oleh badan berkanun Persekutuan KWSP.
  • Rakyat Malaysia yang bekerja sendiri dan bukan warganegara Malaysia juga boleh menyertai skim tersebut secara sukarela.
  • Para pencarum KWSP boleh mengeluarkan 30% daripada simpanan mereka apabila mencecah umur 50 tahun; mereka yang berumur 55 tahun ke atas boleh mengeluarkan keseluruhan daripada simpanan tersebut.


Kawalan harga barangan dan subsidi petrol juga adalah sebahagian daripada langkah perlindungan sosial bagi memastikan taraf hidup minima tercapai. Kemudahan awam seperti pendidikan, penjagaan keselamatan, perumahan kos rendah dan pengangkutan awam juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial.


Apakah jenis-jenis perlindungan sosial bagi menghadapi kecemasan atau peristiwa malang?

Sistem Kesihatan Awam

  • Malaysia mempunyai skim kesihatan awam yang meluas, di samping hospital serta klinik swasta. Caj untuk pesakit luar bagi penyakit-penyakit tidak kritikal di hospital dan klinik kerajaan adalah di bawah RM10 sementara rawatan yang sama di kemudahan swasta boleh mencecah RM100.
  • Malaysia tidak mempunyai skim perlindungan insurans kesihatan untuk setiap rakyat. Bagaimanapun, satu versi terhad iaitu MySalam disediakan untuk kumpulan-kumpulan yang layak.
  • Skim perintis bernama PeKa B40 telah juga dilancarkan April tahun ini, iaitu satu program yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta bantuan kewangan tertentu untuk penyakit-penyakit kritikal tertentu bagi kumpulan berpendapatan rendah.
  • Isu utama: Kemampanan kewangan bagi menampung kos sistem kesihatan awam negara semakin mencabar, lebih-lebih lagi dengan peningkatan penyakit kronik seperti kanser, pengiktirafan kesihatan mental sebagai isu arus perdana dan juga penuaan penduduk. Sebuah skim insurans kebangsaan telah dicadangkan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) tetapi sehingga kini, masih belum dapat kepastian bila ia akan diperkenalkan. Sementara itu, pembiayaan serta bentuk program MySalam telah dipersoalkan sebagai penyelesaian jangka pendek sahaja.


Insurans Kecedaraan dan Hilang Keupayaan

  • Semua pekerja sepenuh masa yang mendapat gaji bulanan RM3,000 ke bawah diwajibkan membuat caruman melalui potongan gaji kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi dua jenis insurans iaitu (i) perlindungan atas kecederaan atau kecacatan akibat kemalangan di tempat kerja dan (ii) penyediaan pencen untuk hilang keupayaan atau kematian yang tidak disebabkan pekerjaan. Caruman PERKESO pekerja ditambah dengan caruman daripada pihak majikan.
  • Untuk merangkumi mereka yang bekerja sendiri, sejak 2017 kerajaan telah memperkenalkan ‘Self-Employment Social Security Scheme‘ (SEEIS) bagi pemandu teksi, e-hailing dan bas yang bekerja sepenuh masa atau separuh masa. Dalam Belanjawan 2020, kerajaan telah memperluaskan skop SEEIS kepada pekerja sektor pertanian, perikanan, usahawan dan kesenian.  
  • Isu utama: Nilai potongan gaji yang kecil untuk caruman PERKESO membuatkan ia mudah dilupakan – para pencarum perlu diingatkan tentang hak mereka. Selain itu, skim pencaruman secara sukarela bagi mereka yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi dan e-hailing tidak mendapat sambutan yang menggalakkan [paywall], sungguhpun nilai carumannya tidak begitu tinggi.


Pemberhentian Pekerjaan

  • Skim Insurans Pekerjaan (EIS) di bawah PERKESO yang berkuat kuasa pada Januari 2019 bertujuan menyediakan pendapatan sementara buat pekerja yang diberhentikan oleh majikan. Nilai siling bagi pendapatan sementara ini ditetapkan pada RM4,000 sebulan.
  • Para majikan dan pekerja dikehendaki mencarum masing-masing sebanyak 0.2% daripada gaji bulanan pekerja kepada skim berkenaan. Skim itu juga meliputi insentif tunai dalam bentuk elaun bagi menggalakkan para pencarum mendapatkan kemahiran baru dan kembali bekerja.
  • Isu utama: Secara amnya penerimaan terhadap skim ini baik, namun terdapat perdebatan tentang sama ada kes-kes Akta Perhubungan Perusahaan atau penerima skim VSS layak atau tidak untuk termasuk dalam skim ini.


Melangkah ke Hadapan?

  • KWSP dan PERKESO dengan bantuan beberapa agensi dan kementerian dipertanggungjawabkan untuk merangka pelan induk bagi memperbaiki sistem perlindungan sosial negara. Isu ini cukup kompleks dan tidak boleh dipandang ringan; kami menanti hasilnya kelak.



Beberapa soalan daripada pemerhati dasar dan rakyat biasa:

Apakah taraf hidup minima yang boleh diterima masyarakat umum?

Bagaimanakah jumlah BSH ditentukan? Bagaimana patut BSH disasarkan?


Memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk bersara, mungkinkah satu Gaji/Pencen Asas Kebangsaan (Universal Basic Income or Pension) adalah penyelesaian?  

Mengapakah kita masih belum melaksanakan skim insurans kesihatan kebangsaan? Apakah cabarannya?

Patutkah kita mempunyai pelbagai subsidi untuk petrol, bahan makanan dan sebagainya atau adakah lebih baik memberi bantuan wang yang secukupnya secara terus kepada isi rumah?


Ada pandangan atau cadangan tentang topik ini? Emel kami di editorial@centre.my.