RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Editorial Safety Nets

Setelah pengeluaran KWSP, apakah langkah untuk melindungi persaraan rakyat?

Pengubah dasar perlu menawarkan cadangan yang akan menjamin kesejahteraan kewangan bagi semua rakyat Malaysia pada masa hadapan.

By Ooi Kok Hin & Khairil Ahmad29 September 2022


Read English Version

Seperti mana di negara-negara lain, kerajaan Malaysia telah bertungkus-lumus untuk bertindak bagi menangani kegawatan ekonomi yang berpunca daripada penularan wabak COVID-19. Selain daripada beberapa pusingan bantuan tunai langsung dan program-program insentif kewangan, pengeluaran KWSP, yang pada mulanya dilihat sebagai respons sekali sahaja untuk membantu orang ramai mendepani masalah aliran tunai, telah menjadi langkah integral untuk menangani krisis ekonomi tersebut.

Secara keseluruhan, empat pusingan pengeluaran KWSP telah dilaksanakan. Pada setiap pusingan, pakar-pakar – dan juga pihak KWSP sendiri – telah memberi amaran bahawa langkah ini boleh mempercepatkan krisis persaraan di Malaysia. Kebimbangan ini diburukkan lagi oleh kelemahan kerangka keselamatan sosial semasa yang tidak mampu untuk menampung keperluan populasi Malaysia, yang dijangka akan menjadi negara tua dalam masa kurang daripada 9 tahun. 

Persoalannya, apakah cadangan yang boleh pengundi harapkan daripada mereka yang berhasrat untuk mewakili suara rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan datang untuk menangani krisis tersebut? Apakah idea dasar yang boleh orang ramai jangkakan dalam manifesto parti ataupun calon yang bertanding dalam PRU15 yang dapat menjamin alam persaraan bagi jutaan rakyat Malaysia yang telah kehabisan simpanan hari tua mereka?

Kos Pengeluaran KWSP

Pengeluaran KWSP telah menjadi talian hayat bagi ramai rakyat yang telah mengalami masalah aliran tunai. Namun, langkah untuk membenarkan pengeluaran tersebut merupakan keputusan yang belum pernah berlaku sebelum ini. Ini  akan mencetuskan pelbagai kesan jangka panjang. Bagi tiga pusingan pengeluaran yang pertama, Kementerian Kewangan telah melaporkan bahawa separuh (58%) daripada ahli KWSP di bawah umur 55 tahun telah mengeluarkan wang mereka, yang keseluruhannya berjumlah RM101 billion. Kementerian Kewangan juga mendedahkan bahawa 70% ahli KWSP yang berumur 55 dan ke bawah tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk bersara di atas garis kemiskinan. Angka-angka tersebut sudah pasti telah menjadi semakin teruk selepas pelaksanaan pengeluaran pusingan keempat.

Pada peringkat individu, kami menganggarkan bahawa seorang ahli biasa KWSP yang telah mengeluarkan simpanannya pada setiap pusingan (dengan andaian mereka mengeluarkan jumlah maksimum yang dibenarkan pada setiap pusingan) secara kumulatifnya sudah pun mengeluarkan antara RM31,000 ke RM81,000 daripada simpanan mereka (lihat Jadual 1).

Jadual 1: Anggaran pengeluaran KWSP kumulatif setiap ahli 

Untuk perspektif, sehingga Disember 2020, simpanan median ahli-ahli KWSP bawah 55 tahun adalah RM18,785, manakala bagi yang berada di ambang persaraan (kumpulan umur 50-54 tahun), simpanan median mereka adalah RM39,585. Jika kita mengambil anggaran konservatif sekalipun (RM31,000) untuk pengeluaran kumulatif, empat pusingan pengeluaran tersebut telah menghapuskan sekurang-kurangnya 77% simpanan seorang ahli biasa KWSP.

Jika kita andaikan bahawa seorang ahli KWSP memperoleh pendapatan median nasional sebanyak RM2,062 dan menyimpan 10% pendapatan bulanannya, masa yang akan diambil untuk ahli tersebut mengisi kembali simpanan persaraannya ke paras sebelum 2020 adalah 13 tahun. Bagi pekerja yang berpendapatan gaji minimum (RM1,500), masa yang akan diambil adalah 17 tahun. Inilah sebabnya mereka yang berpendapatan rendah adalah golongan yang  paling terjejas: lebih kecil pendapatan, lebih lama anda harus bekerja untuk menambah semula jumlah simpanan yang telah dikeluarkan.

Kekusutan dasar yang serupa juga dialami oleh negara lain

Dasar pengaksesan awal kepada simpanan persaraan untuk menangani kesan COVID bukanlah unik kepada Malaysia sahaja. Beberapa negara lain juga telah melaksanakannya untuk mengatasi kejutan ekonomi yang berpunca daripada pandemik tersebut, termasuklah Australia, Amerika Syarikat, Chile, Peru, Afrika Selatan, dan Portugal.

Meskipun terdapat kelainan dari segi penggubalan dasar pengeluaran awal wang persaraan negara-negara tersebut, kesan buruk akibat langkah tersebut telah diamarankan oleh pengkritik. Kesan-kesan tersebut termasuklah kekurangan jaminan hari tua, penurunan faedah bagi anuiti daripada pelaburan yang dilakukan melalui dana persaraan, dan ketidaksamaan persaraan. Kajian yang telah dijalankan pada 1-2 tahun yang lalu di beberapa negara tersebut, yang menjelaskan akibat daripada pengurangan pramatang simpanan persaraan orang ramai, boleh dijadikan petunjuk bagi isu-isu yang bakal mendatang di Malaysia jika langkah-langkah yang sesuai tidak diambil untuk membendung impak pengeluaran KWSP.

Di Australia, di mana dua pusingan pengeluaran tabung pengambilan (superannuation) sehingga AUS20,000 telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2020, sebuah kajian mendapati bahawa pengeluar mengambil masa kurang daripada seminggu untuk mempertimbangkan keputusan mereka dan tidak faham sepenuhnya kesan jangka panjang pilihan mereka. Kesalahannya terletak pada proses pengeluaran yang mudah (sama seperti di Malaysia) yang telah meringankan beban fizikal dan mental dalam membuat keputusan, yang membawa kepada anjakan minda yang besar dari segi pengertian orang ramai tentang akses awal kepada simpanan hari tua – apa yang hampir mustahil sebelum ini sekarang dilihat mendapat restu kerajaan. Jika gelagat pemimpin politik yang telah menggesa dan seterusnya mengambil kredit bagi kelulusan untuk pusingan keempat pengeluaran KWSP yang lalu diambil sebagai kayu pengukur sentimen semasa, para pembuat dasar berdepan dengan cabaran yang besar untuk menangani tanda-tanda penormalan pengeluaran pramatang simpanan hari tua untuk menghadapi krisis ekonomi pada masa hadapan.

Sementara itu, di Chile, di mana tiga pusingan pengeluaran awal wang pencen telah dibenarkan oleh kerajaan, penyelidik menganggarkan bahawa bagi satu keluaran sebanyak 10%, setiap dolar yang dikeluarkan secara pramatang membawa kepada kerugian sebanyak 1.59 dolar dalam bentuk simpanan persaraan masa depan dan mengurangkan faedah pencen bulanan sebanyak 7.26%. Mereka berhujah bahawa akses awal kepada simpanan persaraan meningkatkan ketidakcukupan pendapatan serta ketidaksamaan dalam persaraan, dan bahawa perbelanjaan kerajaan akan perlu ditingkatkan untuk mengatasi kesan-kesan tersebut ke atas para pesara. Di Malaysia, kebimbangan yang serupa juga timbul, bilamana kumpulan B40 dan M40 telah mencatatkan tahap pengeluaran yang lebih tinggi berbanding kumpulan T20. Ini menunjukkan bahawa kesejahteraan kewangan pasca persaraaan kumpulan B40 dan M40 adalah lebih berisiko daripada kumpulan T20.

Keperluan menjangka dan memitigasi krisis persaraan

Melalui iktibar daripada negara-negara lain, kami telah membincangkan di atas beberapa akibat pengeluaran awal KWSP yang mungkin berlaku di Malaysia. Tentu sekali ada lebih banyak, dan kerana itulah kami percaya bahawa sudah tiba masanya untuk suatu perbincangan yang serius diadakan tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk memitigasikan akibat-akibat tersebut. Memandangkan PRU15 sudah hampir tiba, perbincangan ini haruslah dipacu oleh mereka yang berhasrat untuk mentadbir negara ini.

Bagi menyumbang kepada (dan mungkin juga membantu memulakan) wacana ini, kami tawarkan lima cadangan yang luas sebagai santapan fikiran mereka:

Cadangan 1: Penyesuaian kepada tenaga kerja yang semakin tua

Memandangkan kita sedang beralih ke arah menjadi negara tua, pertimbangkan cara yang sesuai untuk menyokong dan memberi insentif kepada pekerja untuk memanjangkan kehidupan bekerja mereka. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuklah pengaturan persaraan berperingkat, persaraan fleksibel berbanding persaraan secara kronologikal semata-mata, dan juga kerangka bagi laluan sihat ke arah persaraan. Instrumen-instrumen dasar sebegini bukan hanya perlu memudahkan kehidupan bekerja yang lebih panjang, tetapi harus juga memberi faedah kepada kehidupan persaraan bila tiba masanya.

Cadangan 2: Kukuhkan kerangka perlindungan sosial

Bagi memastikan semua rakyat akan dilindungi daripada kejutan ekonomi di masa hadapan, parti-parti politik perlu mencadangkan langkah-langkah untuk meluaskan perlindungan sosial di Malaysia. Ini memerlukan pelaburan dan perbelanjaan dalam infrastruktur dan perkhidmatan sosial, termasuk khidmat penjagaan, perumahan warga emas, kesihatan, dan sokongan kerjaya untuk membentuk masyarakat mesra usia. Kita juga perlu meluaskan sistem perlindungan bagi mereka yang bekerja sendiri dan dalam kerjaya tidak formal.

Cadangan 3: Pantau impak pengeluaran awal dengan dekat

Parti-parti politik harus mencadangkan mekanisme untuk memantau dan meneliti impak jangka panjang pengurangan simpanan persaraan. Sebagai contoh, kajian tentang sama ada mereka yang mengeluarkan simpanan telah mula untuk mengisi semula akaun persaraan mereka dan pemantauan longitudinal kesejahteraan kewangan ahli-ahli KWSP di bawah jumlah minimum simpanan tertentu patut dijalankan. Kerajaan, melalui Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), boleh juga berkolaborasi dengan ahli-ahli akademik, badan-badan pemikir, dan golongan penyelidik untuk menjalankan kajian tentang hal ini. Peruntukan dana, geran, dan akses kepada pangkalan data seperti PDPS dan maklumat tentang keahlian KWSP amatlah dialu-alukan untuk mencapai objektif ini.

Cadangan 4: Galakkan agihan simpanan persaraan secara berperingkat

Seiring dengan melindungi simpanan orang ramai daripada digunakan untuk tujuan selain persaraan, parti-parti politik boleh juga mempertimbangkan untuk menyokong agihan simpanan persaraan secara berperingkat. Namun begitu, mekanisme langkah ini haruslah adil kepada semua ahli KWSP. Memandangkan 71% ahli KWSP yang berumur 55-60 tahun telah memilih pengeluaran secara sekaligus ataupun lump-sum setelah bersara dan 50% telah menghabiskan simpanan mereka dalam masa lima tahun, masanya mungkin sudah sesuai untuk menginsentifkan pengeluaran berperingkat.

Cadangan 5: Sokong sistem pencen sosial untuk golongan yang memerlukan

Berbanding KWSP yang merupakan skim simpanan persaraan persendirian yang berasaskan caruman yang ditentukan, pencen sosial adalah faedah kadar rata (sama ada bersasar atau universal) yang dibiayai melalui pendapatan awam. Parti-parti politik boleh menggunakan instrumen ini untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan menjamin pendapatan minimum bagi golongan warga emas. Satu cara untuk melaksanakan idea ini di Malaysia adalah melalui perluasan liputan perlindungan skim Bantuan Warga Emas, yang menyediakan bayaran bulanan sebanyak RM500 kepada warga emas yang hidup di bawah garis kemiskinan. Keberkesanan sistem pencen sosial dalam mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan tahap kesihatan warga emas dapat dilihat di China, Vietnam, dan Filipina.

Kesimpulan

Menurut KWSP, hanya 3% ahlinya mampu untuk bersara. Oleh itu, buat masa ini terdapat banyak ketidaktentuan tentang jaminan kewangan jangka panjang alam persaraan rakyat Malaysia. Kefahaman tentang punca-punca asas jurang antara simpanan persaraan dan jaminan persaraan adalah penting untuk menggubal dasar bagi masa hadapan. Kami percaya kefahaman tersebut dan cadangan dasar jangka panjang akan melonjakkan mereka yang bercita-cita untuk dipilih dalam pilihan raya ke barisan hadapan wacana politik Malaysia, di ketika kita membuat persediaan ke arah PRU15.

* Versi asal artikel ini telah diterbitkan dalam Bahasa Inggeris dalam edisi 18 – 24 Julai 2022 The Edge Malaysia Weekly.

Emel pandangan atau cadangan anda ke editorial@centre.my.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS