Editorial| Legal Reform

Keadilan dan Hukuman Mati

Cadangan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat umum. Di sini kami cuba mencari persefahaman bagi melangkah ke hadapan dalam isu emotif ini.

By Editorial Team | 21 September 2019


Isu Yang Dibelenggu Polarisasi

  • Hukuman mati di Malaysia timbul sebagai topik hangat tahun lalu apabila kerajaan mengumumkan keputusan bagi pemansuhannya selaras dengan janji yang dimuatkan dalam manifesto pilihan raya umum. The Centre merasakan bahawa isu ini adalah amat penting tetapi cukup emotif, dan oleh itu perlu diurus dengan berhemat supaya tidak dibelenggu kemelut polarisasi seperti yang telah berlaku.
  • Latar belakang tentang hukuman mati di Malaysia boleh didapati di primer The Centre yang berkenaan. Secara ringkasnya, undang-undang Malaysia membolehkan hukuman mati bagi 32 jenis kesalahan. Daripada senarai ini, hukuman mati adalah mandatori atau wajib dikenakan bagi 11 jenis kesalahan. Buat masa ini, pelaksanaan hukuman mati telah ditangguhkan buat sementara di bawah moratorium yang diisytiharkan kerajaan pada Oktober 2018.
  • Persoalan dan debat mula timbul apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Liew Vui Keong, ketika sidang Dewan Rakyat pada bulan November 2018, memberikan bayangan bahawa hukuman mati akan dimansuhkan sepenuhnya dan bukan hanya pemansuhan hukuman mati mandatori. Beliau menyatakan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memansuhkan kesemua peruntukan hukuman mati melibatkan 32 kesalahan dan akan digantikan dengan hukuman penjara minimum 30 tahun.
  • Sejurus selepas itu, kenyataan tersebut dinafikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menyatakan kerajaan masih sedang mempertimbang pemansuhan hukuman mati. Akhirnya pada bulan Mac 2019, kerajaan memaklumkan bahawa hanya terma mandatori sahaja akan digugurkan dalam pindaan rang undang-undang kelak. Pada masa penulisan ini, pindaan rang undang-undang yang berkaitan belum lagi dibawa ke Parlimen oleh pihak kerajaan.
  • Percanggahan antara kenyataan-kenyataan ini seolah-olah mencerminkan reaksi daripada kalangan rakyat. Dua ‘kem’ tegar telah timbul iaitu kumpulan yang menyokong pengekalan hukuman mati (termasuk hukuman mati mandatori) dan kumpulan yang membantah hukuman mati sama sekali.
  • Antara mereka yang menyokong pengekalan hukuman mati adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menyatakan hukuman mati mandatori perlu dilaksanakan bagi kes serius yang jelas boleh merosakkan ketenteraman awam dan masyarakat. Bagi Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) Dr Zaharuddin Abd Rahman, beliau berpendapat bahawa kewujudan kes-kes melampau lagi zalim menyebabkan hukuman mati masih perlu dikekalkan.
  • Individu lain yang turut menyokong hukuman mati dikekalkan adalah ahli keluarga kepada mangsa kes-kes pembunuhan termasuk Richard Morais, Rita Sosilawati dan Wong Hie Huong. Sebagai ahli keluarga mereka merasakan bahawa mereka berhak mendapat keadilan dalam bentuk pembalasan ini.
  • Kebanyakan suara yang menyokong pemansuhan hukuman mati datang dari kumpulan aktivis dan hak asasi manusia seperti bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Dato’ Ambiga Sreenevasan dan George Varughese, Pengarah Eksekutif Amnesty Internasional Malaysia Shamini Darshni dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM). Selain daripada persoalan tentang hak untuk mengambil nyawa seseorang insan, mereka berhujah bahawa hukuman mati tidak menawarkan ruang untuk pemulihan serta tidak boleh diperbetulkan jika terjadi kesilapan penguatkuasaan atau kehakiman. Ada juga yang mempersoalkan jika hukuman mati benar-benar berkesan sebagai pencegah atau deterrent kepada jenayah.
  • Dalam soal pemansuhan hukuman mati, The Centre menyokong dasar untuk memansuhkan hukuman mati mandatori. Kami berpegang bahawa setiap kesalahan mempunyai sebab-sebab dan ciri-ciri tersendiri dan penjatuhan hukuman perlu mengambil kira semua fakta kes termasuklah butiran pesalah, seperti usia, kematangan, tahap pendidikan, pendapatan, rekod jenayah, kesihatan mental dan lain-lain. Menjatuhkan hukuman mati secara automatik tanpa pertimbangan fakta kes oleh para hakim tidak semestinya bersamaan dengan keadilan. Dan bagi pengetahuan umum, cadangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori sebenarnya sudah lama dalam pertimbangan.
  • Walaubagaimanapun, kami menyoal pengumuman awal Menteri JPM Datuk Liew Vui Keong untuk memansuhkan hukuman mati sepenuhnya. Tanpa usaha untuk memahami nilai-nilai masyarakat umum dan persediaan untuk menjawab pelbagai persoalan, isu ini pasti dibelenggu kemelut polarisasi. Akhirnya, kerajaan akan terpaksa mengambil jalan mudah dan maksud asal tidak dapat dipenuhi – bak kata pepatah, air besar, sampan tak hanyut.
  • Bagi isu pemansuhan hukuman mati sepenuhnya, The Centre ingin mencadang pendekatan yang lebih berperingkat. Sebagai intipati pendekatan ini, kami mencadangkan tiga usaha seperti berikut.


Satu: Kaji Semula Kesesuaian Hukuman Mati Dengan Setiap Peruntukan

  • Perkataan keadilan membayangkan bahawa sesuatu keputusan itu kena pada tempatnya. Jika konsep keadilan dalam undang-undang perlu menimbang antara pembalasan, pencegahan dan pemulihan, kita wajar bertanya sama ada hukuman mati seperti yang diperuntukkan hari ini adalah setimpal dengan kesalahan-kesalahan tersebut.

Menimbang antara pembalasan, pencegahan dan pemulihan, kita wajar bertanya: adakah hukuman mati seperti peruntukan hari ini setimpal dengan kesalahan-kesalahan tersebut?

  • Sudah tentu, telah berlaku kes-kes serius yang benar-benar mengejutkan. Sebagai contoh, pada bulan November 2018 Malaysia dihadapkan berita kematian seorang bayi perempuan berusia 11 bulan akibat didera secara fizikal dan seksual. Reaksi terhadap kes ini begitu dahsyat hinggakan peguam dan juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor YB Ramkarpal Singh yang sebelum ini aktif memperjuangkan pemansuhan hukuman mati mandatori telah menggesa kerajaan mengekalkan hukuman mati bagi kes-kes tertentu.
  • Tetapi hakikatnya, kebanyakan daripada mereka yang telah dijatuhkan hukuman mati adalah untuk kesalahan berkaitan dadah. Mereka juga dari golongan berpendapatan rendah. Menurut wakil kumpulan peguam yang kami temuramah, lebih 75% banduan akhir atau mereka yang menunggu hukuman mati adalah pesalah dadah. Daripada maklumat mereka, 42% daripada keseluruhan banduan akhir adalah pekerja kolar biru manakala 34% lagi sama ada tidak bekerja atau tidak mempunyai pekerjaan tetap (sumber tidak rasmi).
  • Menurut peguam-peguam tersebut, golongan ini rata-ratanya tidak mengetahui hak mereka dalam penahanan dan juga tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat peguam yang pakar dan mahir. Peranan mereka dalam kesalahan yang bersabit juga menimbulkan persoalan tentang kesesuaian hukuman kerana kebanyakannya adalah keldai dadah yang telah dipergunakan. Jarang sekali kita mendengar raja dadah atau kingpin ditahan dan dijatuhkan hukuman mati.


Shahrul Izani Suparman
▪ 2003: Ditahan polis dengan 622 gram dadah jenis kanabis dalam bakul motosikalnya. Usia 19 tahun.
▪ Dituduh atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah yang membawa hukuman mati mandatori
▪ 2009: Mahkamah dengan rasmi menjatuhkan hukuman mati ke atasnya. Usia 24 tahun.
▪ 2017: Sultan Selangor memberi pengampunan kepadanya. Usia 33 tahun.

  • Bagi kes-kes seperti ini, adakah hukuman mati hukuman yang paling sesuai, setimpal dan adil? Pada masa yang sama, adakah ruang untuk pemulihan dan kemaafan, terutamanya bagi golongan yang naif seperti belia atau yang berpendidikan rendah? Usaha rasmi bagi membincang dan mengkaji semula kesesuaian hukuman mati bagi kesalahan yang diperuntukkan hari ini perlu dibuka, supaya undang-undang tidak dilihat seolah-olah hanya terpakai kepada golongan rakyat bawahan.
  • Jika hasil daripada usaha kajisemula ini membawa kepada pemansuhan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan tertentu, kami berharap bahawa keputusan tersebut juga terpakai ke atas banduan akhir yang masih menunggu hukuman mati. Ketika Akta Dadah Berbahaya dipinda bagi memansuhkan hukuman mati mandatori, pindaan tersebut tidak mengambil kira mereka yang telah dijatuhkan hukuman. Pesalah-pesalah tersebut masih tetap perlu menjalani hukuman mati.


Dua: Perhalusi Tatacara Penjatuhan Hukuman

  • Usaha untuk mengkaji semula kesesuaian hukuman mati dengan kesalahan-kesalahan tertentu menimbulkan satu persoalan: bagaimanakah harus sesuatu hukuman dijatuhkan? Patutkah hukuman mati digantikan dengan hukuman lain secara automatik, atau patutkah budi bicara dan pertimbangan para hakim diberi lebih ruang dalam menjatuhkan hukuman?
  • Sebagai contoh, cadangan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori telah disusuli dengan beberapa cadangan yang membolehkan hakim memilih antara menjatuhkan hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara 30 tahun tanpa parol. Tetapi jika peruntukan undang-undang ditulis dengan ketat, para hakim masih perlu menjatuhkan hukuman mati berdasarkan isu teknikal seperti jumlah berat dadah pada masa tangkapan. Pertimbangan lain seperti latar belakang kes, profail pesalah ataupun tempoh tahanan reman tidak akan diambil kira.
  • Kami kembali kepada konsep keadilan dalam undang-undang yang cuba mengimbang antara pembalasan, pencegahan dan pemulihan. Kami berpendapat bahawa adalah amat sukar untuk mencapai ketiga-tiga matlamat ini tanpa pertimbangan setiap kes atas ciri-cirinya yang tersendiri. Justeru, kami menyokong dasar yang memberi lebih ruang kepada hakim atau panel hakim untuk menilai situasi dan fakta penting kes bagi menjatuhkan hukuman.
  • Kami tidak menentang adanya garis panduan kadar hukuman minima, tetapi garis panduan tidak akan dapat menjangkakan setiap senario. Sedikit sebanyak budi bicara dan pertimbangan hakim masih perlu bagi memastikan hukuman adalah setimpal dengan fakta kes.


Tiga: Tinjau Pandangan Rakyat Supaya Lebih Tepat

  • Susulan daripada pengumuman kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati, beberapa portal berita telah menjalankan tinjauan am tentang pandangan rakyat terhadap hukuman mati di Malaysia.
  • Sebagai contoh, tinjauan ringkas yang dijalankan oleh Berita Harian Online, Harian Metro dan the New Straits Times Online mendapati bahawa sejumlah 82% daripada 22,000 responden tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati. 82% merupakan majoriti yang sangat jelas. Tetapi adakah pendapat ini benar-benar mencakupi pandangan serta pemahaman rakyat tentang hukuman mati?


Seorang lelaki Malaysia berusia 21 tahun ditahan oleh pihak Kastam di KLIA. Didapati 150 gram ganja tersembunyi di dalam beg yang dibawanya. Lelaki tersebut tidak dapat membuktikan bahawa beliau telah diminta untuk menolong membawa beg tersebut. Lelaki tersebut tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini. Jumlah berat dadah yang dijumpai boleh disabitkan dengan jenayah mengedar dadah yang boleh dihukum mati.

Adakah lelaki tersebut patut dihukum mati?


Seorang suri rumah yang didera teruk secara fizikal dan mental oleh suaminya sepanjang 5 tahun berumahtangga telah meletakkan racun di dalam makanan suaminya. Tindakannya itu menyebabkan suaminya mati. Suri rumah tersebut didapati bersalah atas kesalahan membunuh.

Adakah wanita tersebut patut dihukum mati?


Seorang remaja berusia 18 tahun dari keluarga miskin telah menembak mati seorang pengedar dadah. Remaja tersebut yang tidak mempunyai rekod jenayah menyatakan bahawa dia telah diberi senjata dan diarah menembak mati pengedar dadah tersebut oleh seseorang yang dipercayai dan telah dijanjikan sedikit upah.

Adakah remaja tersebut patut dihukum mati?

  • Pendeknya, bentuk soalan tentang hukuman mati adalah penting supaya isu yang kompleks ini tidak terlalu dipermudahkan dan menjadi mangsa polarisasi. Apabila keadaan ini berlaku, sebarang usaha penambahbaikan menjadi rumit dan tertangguh-tangguh.
  • Dalam isu yang menyentuh soal keadilan, pertembungan nilai moral dan agama tidak akan dapat dielakkan. Tetapi ini tidak bermakna yang persetujuan tidak boleh dicapai. Sebagai contoh, agak sukar bagi seseorang yang beragama Islam untuk menolak kewujudan hukuman mati sama sekali kerana dalam ajaran dan sistem perundangan Islam, hukuman mati ada diperuntukkan. Tetapi dalam ajaran Islam juga, bukan senang untuk hukuman mati dijatuhkan. Konsep kemaafan dan pampasan kepada keluarga mangsa juga ada dalam sistem perundangan Islam sebagai pengganti hukuman mati.
  • Kerajaan yang prihatin dan hati-hati tentunya tidak mahu menentang nilai moral atau agama majoriti rakyat. Tetapi pastikan bahawa tinjauan yang mewakili nilai-nilai tersebut adalah cukup menyeluruh. Isu hukuman mati bukanlah satu isu hitam putih dan rakyat perlu diberi peluang untuk memahami realitinya.


Tetap Ada, Tidak Semestinya Guna

  • Yang jelas, perdebatan tentang hukuman mati tidak akan bergerak ke arah persetujuan jika ia berkisar atas soal nilai-nilai siapa yang benar dan boleh dipakai; inilah kemelut polarisasi. Seseorang yang lebih liberal tidak akan bersetuju dengan hukuman yang mengambil nyawa insan manakala seseorang yang lebih konservatif akan berpegang pada prinsip hutang darah dibayar darah.
  • Persetujuan juga tidak akan tercapai jika perdebatan berkisar kepada keberkesanan hukuman mati untuk mencegah jenayah (deterrent to crime). Bukti kukuh dalam perkara ini belum lagi didapati. Sebagai contoh, antara 10 negara dengan jumlah kes pembunuhan paling tinggi di dunia, 4 daripadanya telah memansuhkan hukuman mati sepenuhnya manakala 3 buah negara masih melaksanakan hukuman mati. Di kalangan 10 negara paling selamat di dunia, 8 daripadanya telah memansuhkan hukuman mati. Jelas, tahap jenayah mempunyai pelbagai penyebab dan tidak hanya bergantung kepada pelaksanaan hukuman mati.
  • Untuk bergerak ke arah persetujuan dalam perkara yang cukup emotif ini, kami mencadangkan pendekatan yang lebih berpada-pada bagi isu pemansuhan hukuman mati. Untuk menangani keadaan di mana hukuman mati tidak setimpal dengan kesalahan atau fakta kes, kami mencadangkan kajian semula bagi setiap peruntukan hukuman mati hari ini. Kajian semula ini patut juga merangkumi tatacara penjatuhan hukuman supaya sebarang garis panduan hukuman minima diimbangi pertimbangan para hakim.
  • Akhirnya, kami juga mencadangkan agar usaha meninjau dan meningkatkan fahaman rakyat dilaksanakan oleh pihak penggerak dasar supaya pandangan tentang hukuman mati lebih daripada sekadar hitam-putih atau ya-tidak. Kami percaya dengan usaha ini, lebih banyak pemikiran berhaluan tengah lagi adil akan dicapai tentang bila dan bagaimana hukuman mati patut dilaksanakan.
  • Adakah ini akan memuaskan kumpulan yang berpandangan agak liberal atau agak konservatif? Mungkin tidak. Tetapi jika pendekatan pertengahan ini mampu mengurangkan hukuman mati yang tidak setimpal dengan kesalahan atau fakta kes, terutamanya bagi golongan yang mudah dipergunakan seperti yang muda, berpendapatan rendah atau kurang pendidikan, ia tetap langkah ke arah penambahbaikan dan keadilan.

Email us your views or suggestions at editorial@centre.my.