RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Research Safety Nets

Generasi Berhutang, Bahagian 3

Daripada Pinjaman Pendidikan kepada Akaun Pembelajaran Sepanjang Hayat

Untuk mengurangkan kebergantungan pada pinjaman pendidikan, kami cadangkan kita beralih kepada kaedah pembiayaan yang berasaskan pembelajaran berterusan.

By Ooi Kok Hin, Khairil Ahmad & Nelleita Omar4 March 2022


Read English Version

Dalam Bahagian 1 siri penyelidikan ini, kami menggariskan masalah-masalah pokok tentang hutang pinjaman pendidikan di Malaysia. Untuk menampung usaha pengkorporatan universiti awam dan perkembangan pesat universiti swasta, pinjaman pendidikan diperkenalkan untuk membiayai kos pendidikan tinggi serentak dengan perkembangan bilangan pelajar. Sejak penubuhan PTPTN pada 1997, sebanyak RM62.5 bilion pinjaman pendidikan telah dikeluarkan kepada 3.5 juta peminjam. Keadaan ini mungkin munasabah sekiranya negara dan masyarakat mendapat pulangan positif secara meluas daripada pendidikan tinggi. Walau bagaimanapun, mobiliti sosial tidak direalisasikan secara sekata. Dalam erti kata yang lain, ramai peminjam tidak mendapat pekerjaan dan pendapatan yang setimpal dengan pendidikan mereka.

Dalam Bahagian 2, kami mengemukakan tiga dasar progresif untuk menangani isu berkaitan dengan hutang pinjaman pendidikan yang tertunggak pada masa ini: penghapusan pinjaman atau pengampunan hutang pendidikan secara bersasar, pembayaran balik berasaskan pendapatan, dan pengawasan yang lebih meluas terhadap operasi dan pembiayaan PTPTN. Mengkategorikan para peminjam mengikut keupayaan mereka untuk membayar balik merupakan tonggak utama cadangan-cadangan ini.

Dalam bahagian ketiga ini, kami melontarkan beberapa idea untuk memperbaharui cara rakyat Malaysia membiayai pendidikan tinggi mereka. Antara intipati penting dalam perbincangan ini adalah perlunya kita menyedari bahawa landskap pendidikan tinggi kini kian berubah, dan ijazah tradisional bukan lagi satu-satunya jalan untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Satu lagi aspek penting pembaharuan ini adalah perubahan yang diperlukan dalam struktur institusi, atau bagaimana untuk menyemak semula kaedah pembiayaan pendidikan. Selanjutnya, idea pembaharuan kami turut melibatkan cadangan untuk menyediakan langkah pembiayaan pendidikan yang lebih adil untuk keluarga yang kurang berkemampuan supaya kebergantungan meluas kita pada pinjaman pendidikan dapat dikurangkan.

Dalam artikel-artikel sebelum ini, kami telah soroti laporan media mengenai graduan dan anak muda Malaysia yang terperangkap dalam pekerjaan bergaji rendah selepas mengumpul hutang pendidikan yang besar untuk membiayai pengajian tinggi mereka. Ini konsisten dengan survei yang kami jalankan dari Ogos hingga September 2021. Satu pertiga daripada responden kami berkata pendidikan mereka tidak berbaloi dengan hutang pendidikan yang ditanggung. 59% berkata hutang pinjaman pendidikan menyumbang kepada tekanan kewangan manakala 57% berkata hutang pinjaman pendidikan menyumbang kepada kelewatan membeli rumah. 77% daripada responden bersetuju bahawa anak muda tidak sepatutnya perlu berhutang untuk mencapai pendidikan tinggi, dan majoriti yang lebih besar, 82% berpendapat bahawa tidak wajar golongan miskin perlu berhutang.


Beban hutang pinjaman pendidikan mendapat perhatian dalam Bajet 2022, di mana diskaun pembayaran balik telah diumumkan. Walaupun ia adalah petanda positif bahawa kerajaan memberi perhatian kepada isu pinjaman pendidikan, diskaun yang ditawarkan lebih bermanfaat untuk peminjam yang mempunyai kemampuan untuk membuat penyelesaian pinjaman yang besar atau untuk peminjam yang mampu membuat potongan gaji berjadual. Secara ringkasnya, ia memanfaatkan peminjam yang sudah pun mempunyai kemampuan kewangan. Diskaun-diskaun tersebut – yang sebenarnya diulang daripada pengumuman sebuah Belanjawan yang terdahulu – mencerminkan corak pemikiran dasar yang telah lama wujud tentang pinjaman pendidikan tinggi. Kami berpendapat bahawa sudah tiba masanya corak pemikiran ini dipertimbangkan semula secocok dengan perkembangan semasa.

Daripada ijazah tradisional kepada TVET dan mikrokredential

Antara pertimbangan utama dalam cadangan kami ialah trend pendidikan yang semakin beralih daripada program ijazah tradisional. Di Amerika dan UK, para pelajar dan ibu bapa sudah mula mempersoalkan pengajian ijazah tradisional dan sama ada kos untuk mengikutinya masih lagi berbaloi. Pandemik COVID-19 mungkin hanya akan mempercepatkan perkembangan ini dan menjadi punca kepada penurunan mendadak pendaftaran pelajar akhir-akhir ini.

Malaysia secara beransur-ansur bakal menghadapi keadaan yang sama. COVID-19 telah memburukkan, tetapi tidak menyebabkan, trend pengangguran siswazah dan gaji rendah siswazah. Pengangguran siswazah meningkat 22.5% kepada 202,400 pada 2020 daripada 165,200 pada 2019. Lebih merisaukan, nampaknya tren ini telah menaik sejak sekurang-kurangnya empat tahun lepas: pengangguran siswazah berjumlah 162,000 pada 2018, meningkat daripada 154,900 pada 2017. Ia juga memberi kesan yang signifikan kepada siswazah Bumiputera yang menghadapi kadar pengangguran yang agak tinggi.

Di samping kadar pengangguran, siswazah turut berhadapan dengan masalah gaji rendah;  survei oleh Kementerian Pengajian Tinggi telah mendapati bahawa terdapat siswazah yang memperoleh gaji serendah RM1,000-1,500 sebulan. Bandingkan hasil ini dengan masa dan komitmen kewangan program ijazah yang biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk diselesaikan. Program diploma tidaklah jauh lebih singkat – ia mengambil masa kira-kira 24-36 bulan untuk disiapkan dan lebih lama lagi jika dilakukan secara sambilan.

Mengambil kira situasi tukar-ganti dasar (policy trade-off) ini, penggubal dasar harus melakar semula corak pemikiran dasar yang memihak kepada ijazah akademik tradisional. Menuntut ilmu melalui ijazah adalah matlamat yang patut dipuji, tetapi adakah ijazah tradisional masih pilihan yang tepat untuk semua pelajar lepasan sekolah? Jawapannya adalah tidak, jika kita mengambil iktibar daripada pengalaman negara maju. Ramai lepasan sekolah mungkin boleh mendapat lebih manfaat – dan menjimatkan banyak masa dan wang – dengan mendaftar dalam latihan teknikal, program perantisan ‘belajar sambil bekerja’, kursus jangka pendek, skim kemahiran semula, kursus kelayakan mikro (mikrokredential), pembelajaran sepanjang hayat atau gabungan pilihan-pilihan ini.

Selain daripada pertimbangan kewangan, peralihan daripada ijazah tradisional juga didorong oleh perubahan landskap pekerjaan. Lepasan sekolah hari ini boleh membina portfolio mereka untuk bekerja sendiri ataupun bekerja bebas (freelance) berbanding dengan mendaftar di kolej untuk membina resume mereka untuk pekerjaan sepenuh masa.

Pemerhati dasar pendidikan Malaysia telah lama mengagumi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara lain seperti Sweden dan Jerman, di mana sistem TVET melatih pelajar untuk pelbagai bidang pekerjaan. Kadar pekerjaan bagi mereka yang mempunyai ijazah vokasional di negara-negara ini hampir sama tinggi dengan pemegang ijazah sarjana muda.

Kebolehpasaran graduan TVET juga tinggi di Malaysia, di mana ia mencapai kadar 98% dalam beberapa tahun kebelakangan. Ini jelas merupakan prestasi yang lebih baik daripada rakan-rakan mereka yang memegang ijazah. Pada tahun 2020, Pengarah Bahagian TVET, Azman Adnan dari Kementerian Pengajian Tinggi berkata bahawa kolej vokasional adalah penyedia terbesar pekerja berkemahiran di negara ini dan bahawa TVET adalah penyelesaian kepada ketidakpadanan kemahiran (skills mismatch) dan isu pengangguran siswazah.

TVET lebih murah, lebih pendek dan lebih dekat dengan keperluan industri. Walaubagaimanapun, tumpuan dasar dan peruntukan sumber pada TVET masih belum mencapai tahap yang diterima oleh sistem ijazah tradisional.

Namu begitu, terdapat beberapa usaha untuk mendorong perkembangan TVET dalam beberapa tahun ini. Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan bercadang untuk mengukuhkan program-program TVET dengan menaik taraf ekosistem industri, menambah baik akreditasi, mewujudkan sistem penarafan institusi TVET, dan mempromosikan platform berpusat yang menunjukkan data mengenai tawaran pekerjaan. Di bawah Bajet 2021, kerajaan telah memperuntukkan RM60 juta untuk Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), skim latihan yang berasaskan kompetensi dan berorientasikan industri. Elaun SLDN juga dinaikkan daripada RM600 kepada RM1,000 bagi menggalakkan lebih ramai peserta daripada isi rumah B40. Peruntukan keseluruhan untuk TVET juga telah meningkat daripada RM6 bilion dalam Bajet 2021 kepada RM6.6 bilion dalam Bajet 2022, sekali gus mencerminkan peningkatan penekanan kerajaan pada TVET.

Walau bagaimanapun, banyak lagi perlu dilakukan. Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendapati program TVET yang dibiayai kerajaan secara keseluruhannya tidak mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-11, malah sekadar menghasilkan separuh daripada jumlah graduan yang diunjurkan. Pendaftaran juga makin menurun dari 2016 hingga 2020, sungguhpun pandemik COVID-19 pastinya merupakan faktor penyumbang memandangkan banyak program TVET memerlukan latihan bersemuka.

Fragmentasi program dan pentadbiran TVET turut menjadi masalah. Institusi TVET dibiayai oleh kerajaan melalui enam kementerian, dan masalah pemecahan ini telah dibangkitkan sebelum ini dan keperluan untuk penyelarasan yang lebih baik telah diakui oleh kedua-dua kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. Selain dari isu ‘penyelarasan’, rombakan besar dalam tadbir urus, perancangan dasar dan jaminan kualiti masih belum dilaksanakan walaupun keperluan berbuat demikian telah dibangkitkan beberapa kali, termasuk oleh Ahli Parlimen Nurul Izzah Anwar yang pernah berkhidmat sebagai pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET.

Untuk mengangkat kepentingan TVET dan letak duduknya supaya setaraf dengan program ijazah dan institusi tradisional, kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan struktur. Di Singapura dan Vietnam, hanya satu entiti menyelia sistem TVET negara masing-masing. Malahan dalam kes Vietnam, terdapat undang-undang khusus mengenai pendidikan vokasional, yang membolehkan kerajaan Vietnam melabur dengan secara substansial dalam TVET serta menggalakkan penyertaan sektor swasta melalui insentif percukaian, kredit, tanah, dan latihan para pendidik.

Walaupun mempunyai populasi yang jauh lebih kecil dan hanya lapan institusi TVET, Singapura mempunyai lebih 113,000 enrolmen pelajar TVET, angka yang setanding dengan jumlah enrolmen di politeknik dan kolej komuniti di Malaysia. Ini selaras dengan tinjauan KRI yang mendapati kurang daripada 10% belia di Malaysia mendaftar di politeknik TVET (tidak termasuk pusat latihan kemahiran) selepas pendidikan menengah.

Selain daripada TVET, kita juga harus memberi penekanan dan sumber kepada kursus latihan semula dan peningkatan kemahiran jangka pendek. Ini termasuklah apa yang dipanggil kelayakan mikro (mikrokredential). Berbanding dengan ijazah tradisional dan sijil TVET, kursus mikrokredential adalah lebih pendek, lebih fleksibel, dan lebih tertumpu pada kemahiran atau topik tertentu. Ia boleh ditawarkan dalam talian, secara bersemuka, atau melalui gabungan kedua-duanya.

Di Malaysia, naratif dasar sekitar pembangunan kemahiran dan mikrokredential telah disasarkan terutamanya kepada golongan dewasa yang bekerja. Pembiayaan adalah terikat dengan agensi seperti Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Skim Insurans Pekerjaan di bawah PERKESO, dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Seperti mana TVET perlu diperluaskan, naratif dasar untuk pembangunan kemahiran dan mikrokredential juga harus dikembangkan kepada golongan lepasan sekolah.

Bukan semua pelajar lepasan sekolah pasti tentang apa yang mereka ingin belajar atau kerjaya yang ingin mereka ceburi. Mikrokredential menawarkan peluang untuk menguji minat bidang atau kerjaya tertentu sebelum melabur masa dan komitmen kewangan yang besar. Kerajaan boleh memberi insentif untuk menggalakkan tren ini. Contohnya, program SGUnited Skills di Singapura bukan sahaja menawarkan akses kepada pelbagai kursus latihan pendek bersubsidi untuk kemahiran dalam permintaan dan baru muncul (in-demand and emerging skills), ia juga menawarkan sokongan nasihat kerjaya dan elaun latihan bulanan sebanyak SGD1,200 sepanjang tempoh kursus untuk membantu menampung perbelanjaan hidup.

Dalam bahagian ini, kami telah menyatakan pendirian kami akan keperluan untuk dasar yang memihak kepada pemilikan ijazah tradisional sekarang beralih kepada pembangunan sistem sokongan dan promosi TVET serta kursus pembangunan kemahiran pendek atau mikrokredential di kalangan pelajar lepasan sekolah. Kami berpendapat bahawa keberhutangan pinjaman pendidikan di kalangan golongan muda sebahagiannya didorong oleh persepsi status dan andaian pulangan positif daripada pemilikan ijazah. Andaian ini perlu dikaji semula bukan sahaja oleh penggubal dasar tetapi juga oleh para majikan. Tenaga kerja muda hari ini berhadapan dengan inflasi ijazah, atau permintaan untuk ijazah sarjana muda dalam pekerjaan yang tidak benar-benar memerlukannya. Peralihan dasar ke arah TVET dan pembangunan kemahiran juga perlu disertakan dengan usaha untuk mengemas kini majikan mengenai penetapan kriteria kelayakan yang lebih relevan dengan keperluan semasa.

Beralih dari model pinjaman kepada subsidi terus untuk pelajar B40

Kerajaan semakin menggalakkan simpanan awal sebagai cara untuk membiayai pengajian tinggi. Ini merupakan langkah yang baik. Walau bagaimanapun, insentif dasar untuk menggalakkan simpanan pendidikan berkemungkinan akan lebih dimanfaatkan oleh keluarga berpendapatan pertengahan ke tinggi yang mampu menyediakan wang untuk tujuan ini. Bagaimana pula dengan isi rumah yang tidak mampu untuk menabung?

Kita harus beralih daripada pendekatan yang meminta keluarga B40 bergantung pada pinjaman pendidikan dan mempertimbangkan kaedah subsidi secara langsung. Pertama sekali, beban hutang pinjaman pendidikan nampaknya memberi kesan yang tidak seimbang kepada peminjam B40. Pengerusi PTPTN, menggunakan rekod badan itu sendiri, menulis bahawa meskipun hanya 55% daripada peminjam PTPTN datang daripada isi rumah B40, seramai 97% daripada peminjam lalai (yang tidak dapat membuat pembayaran balik secara konsisten) adalah daripada kumpulan pendapatan B40.

Kedua, seperti yang kami gariskan dalam Bahagian 1 siri kajian ini, kerajaan dan pembayar cukai sudah pun membiayai sebahagian besar pendidikan peminjam-peminjam PTPTN dengan membayar jurang kadar faedah antara kadar subsidi PTPTN kepada peminjam mereka dan kadar faedah pasaran yang dikenakan terhadap PTPTN atas pinjaman yang mereka ambil dari institusi kewangan. Memansuhkan pendekatan yang agak berpusing-pusing untuk mensubsidi pendidikan seseorang ini – dengan cara menggantikan subsidi faedah yang dibayar kepada institusi kewangan dengan pemberian subsidi tuisyen dan kos sara hidup secara terus untuk lepasan sekolah B40 adalah satu langkah yang lebih wajar dan bijaksana. Ia juga memberi manfaat kepada pengurusan PTPTN kerana ia memberikan sedikit kelegaan daripada menguruskan sebahagian besar peminjam yang berkemungkinan besar menjadi penghutang lalai.

Berapakah kos yang diperlukan untuk melaksanakan cadangan ini? Anggaran kasar kami meletakkan kos subsidi langsung pada 1.3-2 kali ganda lebih tinggi daripada kaedah semasa mensubsidi pinjaman pendidikan dan secara konservatif mengandaikan bahawa semua kursus yang dibiayai adalah untuk program ijazah dan dengan nisbah pelajar IPTS yang agak tinggi. Kos untuk subsidi langsung ini mungkin lebih rendah dengan adanya skim sokongan untuk pelajar IPTA serta peralihan daripada program ijazah tradisional kepada program diploma, TVET dan mikrokredential.

Gratuidad ialah program yuran (tuisyen) percuma bersasar yang dilaksanakan di negara Chile. Polisi ini digubal selepas bertahun-tahun protes mahasiswa terhadap kenaikan yuran dan lambakan hutang pinjaman pendidikan. Gratuidad menyediakan tuisyen percuma kepada pelajar dari 60% isi rumah terbawah. Subsidi tuisyen ditentukan oleh formula yang membahagikan institusi pendidikan kepada kategori mengikut tempoh pentauliahan mereka (sebagai proksi untuk kualiti) dan kemudian menetapkan tuisyen terkawal untuk setiap kumpulan dan setiap program pengajian.

Subsidi yuran pengajian dan kos sara hidup pelajar B40 bukan semestinya hanya datang daripada kerajaan dan pembayar cukai. Syarikat, yayasan persendirian dan individu berkemampuan tinggi juga boleh diberi insentif untuk menyumbang dan menambah kepada subsidi langsung ini. Dalam bahagian seterusnya, kami majukan komponen terakhir dalam cadangan pembaharuan pembiayaan pendidikan kami untuk memudahkan simpanan pendidikan di Malaysia supaya menjadi satu kelaziman sosial.

Daripada skim terputus kepada akaun pembelajaran sepanjang hayat (APSH)

Dewasa ini, seseorang warga Malaysia boleh membuat simpanan pendidikan melalui SSPN-i; memohon pinjaman daripada PTPTN atau PTPK; mencarum kepada HRDF, KWSP (Akaun 2), atau EIS; atau mengenalpasti tawaran agensi yang berbeza-beza dan mengambil kursus bersubsidi daripada MDEC, MARA, TEKUN dan banyak lagi.

Bagaimana jika ada cara yang lebih baik untuk membiayai pendidikan lepasan menengah seseorang sehingga usia tua? Cara yang menampung simpanan awal oleh ibu bapa serta subsidi langsung oleh kerajaan dan caruman atau biasiswa daripada bakal majikan atau dermawan? Kaedah yang mengikat dana tersebut dengan rakyat Malaysia secara individu dan bukannya dengan agensi latihan tertentu?

Menggabungkan kedua-dua pertimbangan di atas, kami mencadangkan akaun pembelajaran sepanjang hayat (APSH) untuk setiap rakyat Malaysia yang diuruskan sebagai dana pelaburan yang serupa dengan KWSP. Akaun tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan pendidikan, termasuk kos sara hidup. Dana itu disediakan secara automatik semasa kelahiran, dan setiap anak yang lahir di Malaysia akan menerima RM100 yang dikreditkan ke APSH mereka semasa pendaftaran kelahiran. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam isi rumah B40 boleh dikreditkan dengan jumlah yang lebih tinggi bergantung pada tahap pendapatan isi rumah.

Akaun ini akan menjadi kaedah utama untuk skim simpanan sukarela yang diberi insentif oleh kerajaan untuk perbelanjaan pendidikan masa depan kanak-kanak itu, sekali gus menggabungkan ciri ADAM50 dan SSPN hari ini. Akaun ini juga akan menjadi tempat deposit untuk sebarang subsidi kerajaan untuk tujuan pendidikan dan latihan kemahiran pada masa hadapan, termasuklah pemberian insentif untuk program kemahiran semula (reskilling), sama seperti program SkillsFuture yang disediakan oleh kerajaan Singapura. Akaun tersebut juga boleh menerima pindahan daripada Akaun 2 KWSP serta deposit oleh agensi kerajaan, yayasan swasta, dermawan, atau bakal majikan untuk menyokong pendidikan pasca menengah, sama ada pinjaman atau biasiswa untuk program ijazah, diploma, TVET, mikrokredential, perantisan dan lain-lain kursus pembelajaran atau peningkatan kemahiran pada masa hadapan.

PTPTN barangkali berada pada kedudukan terbaik untuk mengendalikan urus tadbir dana ini memandangkan mereka telah pun menguruskan SSPN dan merupakan entiti yang bertanggungjawab mempromosikan tabungan pendidikan. Bagaimanapun, PTPTN perlu distruktur semula untuk menambah baik tadbir urusnya dan meluaskan mandatnya. Pelantikan ke dalam lembaga pengarah PTPTN hendaklah sama ketat prosesnya dengan pelantikan ke dalam lembaga pengarah KWSP untuk menjamin lembaga pengarah yang berkelayakan, cekap dan berautonomi. Untuk penyelarasan yang lebih baik, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK dan HRDF boleh digabungkan dengan PTPTN untuk mewujudkan suatu superfund yang berfokus untuk mengurus kewangan bagi pembelajaran sepanjang hayat.

Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelepasan cukai untuk majikan (tamat pada 31 Disember 2021) yang membantu membayar pinjaman pelajar pekerja-pekerja mereka. Sekiranya rakyat Malaysia mempunyai akaun pembelajaran sepanjang hayat individu, insentif sedemikian juga boleh ditawarkan kepada individu dan syarikat yang menyumbang ke dalam akaun tersebut.

Kesimpulan

Melabur sejumlah wang dan masa untuk mendapatkan pengajian tinggi adalah satu keputusan kewangan yang besar. Untuk mengurangkan ketidaksamaan, kita perlu mengakui bahawa keputusan ini lebih berisiko terutamanya untuk segmen masyarakat yang kurang bernasib baik. Siri kajian kami ini telah menunjukkan kesan-kesan baik dan buruk apabila masyarakat bergantung pada pinjaman untuk membiayai pengajian tinggi. Walaupun pinjaman pendidikan telah meningkatkan akses kepada universiti dan kolej, ia memerangkap ramai graduan dalam hutang terutamanya mereka daripada isi rumah B40. Hal ini diburukkan dengan prospek kerjaya dan gaji yang tidak menentu dalam keadaan ekonomi negara yang masih rapuh.

Dengan mengambil kira latar belakang ini, kami menyokong untuk kerajaan mewujudkan subsidi terus dan elaun kos sara hidup untuk lepasan sekolah B40. Program ijazah tradisional (yang agak panjang dan mahal) bukan semestinya laluan yang terbaik untuk semua orang. Malah ia tidak lagi menjamin mobiliti sosial. Alternatif yang kurang diberi penekanan ialah TVET, yang sepatutnya mendapat tumpuan, sokongan dan promosi yang lebih besar. Kursus pembangunan kemahiran pendek atau mikrokredential juga harus digalakkan, bukan sahaja di kalangan orang dewasa yang bekerja tetapi juga di kalangan lepasan sekolah.

Untuk mengurangkan kebergantungan pada pinjaman pendidikan dan menjadikan simpanan pendidikan sebagai satu kelaziman sosial, kami juga mencadangkan agar akaun pembelajaran sepanjang hayat (APSH) diwujudkan secara automatik. Pendaftaran APSH automatik ini (opt out berbanding opt in) akan menjadi kaedah utama untuk skim simpanan sukarela yang diberi insentif oleh kerajaan, serta sebarang insentif tunai atau baucar untuk tujuan pendidikan.

Sebagai penjelasan, kami tidak mempersoalkan nilai pendidikan tinggi. Tetapi kita mesti mempertimbangkan semula cara kita mentakrifkan pendidikan tinggi dan cara kita membiayainya. Melangkah ke hadapan, kita harus merangka dasar untuk meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti (pengetahuan, kemahiran dan latihan teknikal), terutamanya untuk golongan yang kurang berada, tanpa mendorong mereka untuk menanggung hutang yang membebankan.

Cadangan-cadangan dasar kami sama sekali tidak menyeluruh, tetapi ia menawarkan corak pemikiran dasar yang baharu yang berorientasikan masa depan, berpandangan jauh dan lebih murah dalam usaha kerajaan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi. Pandemik COVID-19 telah memustahakkan lagi keperluan untuk menangani ketidaksamaan, dan ini merupakan satu kesempatan untuk merangka dasar pendidikan yang lebih baik, terutamanya bagi mereka dari keluarga berpendapatan rendah. Pada pandangan kami, ini sebaiknya dilakukan dengan memikir semula keseluruhan corak pemikiran dasar berkaitan pinjaman pendidikan, pembiayaan pendidikan tinggi, dan naratif yang memihak kepada ijazah tradisional. Kami membayangkan masa depan yang menyediakan peluang pendidikan pelbagai landasan (dan lebih murah), dan yang menjadikan simpanan pendidikan sebagai satu kelaziman sosial untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat. Mendasari perubahan corak pemikiran dasar ini adalah peringatan kami bahawa tiada lagi solusi satu saiz untuk semua (one size fits all), tetapi sebaliknya dasar-dasar awam kita patut mensasarkan bantuan yang lebih besar kepada mereka yang paling memerlukannya.

E-mel pandangan atau cadangan anda kepada kami di editorial@centre.my.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS