Primer| Social Protection

Gaji Minima & Gaji Wajar

Memahami isu dan kepentingannya

Memahami perbezaan antara kedua-dua konsep ini.

By Editorial Team | 28 July 2019


Apakah gaji minima dan gaji wajar?


Gaji Minima

  • Gaji minima adalah gaji paling rendah yang boleh dibayar kepada pekerja sepenuh masa mengikut undang-undang. Gaji minima ditetapkan melalui beberapa akta termasuk Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, Perintah Gaji Minimum 2012 dan Akta Kerja 1955.
  • Kadar gaji minima dikaji dan dibincang oleh Majlis Perundingan Gaji Negara yang dianggotai oleh wakil kerajaan, majikan, pekerja dan anggota lain. Selepas rundingan antara anggota, Majlis ini mengesyorkan kadar gaji minima kepada Kementerian Sumber Manusia. Jika dipersetujui, kadar tersebut diwartakan untuk perlaksanaan.


Gaji Kehidupan Wajar

  • Gaji kehidupan wajar, atau ‘living wage’, lebih merupakan suatu aspirasi, iaitu kadar gaji minima yang patut dibayar untuk membolehkan seseorang untuk bukan sahaja memenuhi keperluan asas tetapi boleh menjalankan kehidupan yang wajar dan bermaruah, dan tidak dikekang bebanan kewangan yang serius. Rata-ratanya mereka yang menyokong gaji kehidupan wajar mengesyorkan bahawa selain keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal, keperluan lain seperti kos kesihatan, pengangkutan dan juga tampungan kecemasan harus diambil kira juga.
  • Kebanyakan negara mempunyai undang-undang yang mensyaratkan gaji minima, tetapi pelaksanaan gaji kehidupan wajar setakat ini lebih tertakluk atas budi bicara pihak majikan. Organisasi seperti Living Wage Foundation di United Kingdom dan Asia Floor Wage di Asia ada melancarkan kempen-kempen gaji kehidupan wajar dan mencadangkan kadar yang sesuai bagi pertimbangan majikan. Namun, mereka tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk memastikan semua majikan membayar gaji kehidupan wajar.


Mengapa isu ini penting?

  • Gaji minima pada asalnya dilaksanakan untuk mengelakkan eksploitasi pekerja. Dengan penilaian semula konsep ‘pembangunan’ dan ‘mutu kehidupan’ di kalangan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, asas dasar gaji minima kian dibahas dan diteliti semula. Pertanyaan pokok mengenai gaji minima hari ini ialah: apakah sebenarnya tujuan gaji minima dan bagaimanakah harus ia ditetapkan?
  • Jika tujuan gaji minima adalah untuk menampung keperluan paling asas kehidupan, erti ‘keperluan asas’ dalam era hari ini perlu dibincang dan ditetapkan*. Jika tujuan gaji minima adalah untuk membolehkan pekerja menikmati mutu kehidupan yang bermakna atau bermaruah, seperti yang dicadang penyokong gaji kehidupan wajar, erti ‘kehidupan bermakna’ juga harus dibahaskan. 
  • Sudah pasti, kedua-dua konsep ‘keperluan asas’ dan ‘kehidupan bermakna’ adalah subjektif; apa ertinya pada saya mungkin tidak sama dengan ertinya pada anda. Tetapi kata sepakat tentang isu ini boleh dan perlu diusahakan. 

*Respons kepada Belanjawanku menunjukkan keperluan untuk mencari persetujuan tentang isu ini.


Apakah kedudukan dan pandangan utama tentang isu ini?

  • Namun begitu, cadangan menetapkan gaji mengikut sektor mungkin tidak memadai kerana ia mengabaikan kadar kos kehidupan mengikut tempat. Perbelanjaan seperti kos makanan, sewa dan cukai pintu berbeza mengikut tempat, jadi penyelesaian mungkin terletak dalam menetapkan gaji minima mengikut sektor dan juga kawasan. 
  • Dari sudut pekerja pula, kenaikan gaji minimum sebanyak RM100 ini tidak memadai. Walaupun Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut kenaikan itu sebagai langkah positif, mereka berasa amaun tersebut masih di takuk yang terlalu rendah. 

Soalan rakyat dan peminat dasar

Apakah sebenarnya tujuan gaji minima dan bagaimanakah harus ia ditetapkan?

Kalau gaji minima tidak dapat dinaikkan ke tahap gaji kehidupan wajar kerana isu keuntungan perniagaan dan sebagainya, apakah peranan Kerajaan? Patutkah penetapan kadar Bantuan Sara Hidup diteliti semula?

Meskipun tahap kemahiran kian meningkat, tidak semua pekerjaan akan bergaji besar. Oleh itu, patutkah gaji minima ditetapkan berdasarkan produktiviti?

Mengapa graduan sahaja patut mendapat gaji kehidupan wajar?

Setakat manakah penggunaan pekerja asing yang dibayar gaji murah mempengaruhi pola gaji negara dan tahap gaji minima?


Email us your views or suggestions at editorial@centre.my.