RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Primer Safety Nets

Cabaran Industri Perikanan Abad Ke-21

Apakah keadaan semasa sektor perikanan laut di Malaysia? Fahami kategori-kategori nelayan dan cabaran-cabaran yang mereka hadapi.

By Azmadi Samsuddin7 February 2020


Apakah kedudukan semasa sektor perikanan di Malaysia?

Tahukah anda bahawa Malaysia adalah antara sepuluh negara pemakan ikan terbesar di dunia? Sejak tahun 2010, Malaysia juga telah mencapai lebihan tahap sara diri bekalan ikan. Ini bermakna, jumlah hasil tangkapan ikan di Malaysia mampu memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Namun begitu, Malaysia masih lagi perlu bergantung kepada bekalan ikan import dari negara lain seperti Thailand, China dan Vietnam bagi beberapa spesis yang mendapat permintaan tinggi dari kalangan penduduk tempatan.

Sektor perikanan di Malaysia menyumbang sebanyak 0.9% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2018 atau bersamaan RM12.39 bilion (2017: RM12.33 bilion) (dimana 0.6% adalah dari sektor perikanan laut). Walaupun sumbangan sektor perikanan kepada KDNK kelihatan kecil, namun sektor ini merupakan nadi penting pekerjaan dan pendapatan bagi lebih 100,000 orang di Malaysia, terutamanya perikanan laut.

Berapakah jumlah nelayan di Malaysia?

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), jumlah keseluruhan nelayan dan awak-awak (pekerja di atas vesel nelayan) di Malaysia pada tahun 2017 adalah sebanyak 130,645 orang, yang mana 94,568 orang adalah nelayan tempatan manakala 36,077 orang lagi adalah nelayan warganegara asing.

Tidak semua daripada mereka ini merupakan nelayan sepenuh masa, atau menjadikan aktiviti tangkapan ikan sebagai sumber pendapatan utama mereka. Anggaran jumlah nelayan sepenuh masa di Malaysia sekitar 37,000 orang (berdasarkan penerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) yang memerlukan syarat nelayan sepenuh masa dan perlu turun ke laut minimum 120 hari setahun).

Nelayan yang beroperasi dikategorikan mengikut jenis vesel dan zon tangkapan yang dibenarkan. Terdapat empat kategori nelayan iaitu nelayan Zon A iaitu nelayan pesisir pantai, nelayan Zon B, nelayan Zon C dan nelayan Zon C2.

Jarak operasi vesel ini adalah seperti berikut:

Mengikut Laporan Risikan Pasaran Tahunan 2017 yang dikeluarkan oleh LKIM, taburan vesel yang beroperasi di seluruh negara adalah sebanyak 34,670. Jumlah vesel zon A (petrol) adalah 23,918 buah, vesel zon A (diesel) berjumlah 4,763 buah, zon B (3,327 buah), zon C (2,250 buah) dan zon C2 (412 buah).

Taburan vesel mengikut negeri pula adalah seperti berikut:

Berapakah jumlah hasil pendaratan dan pendapatan nelayan?

Pendapatan nelayan berkadar terus dengan hasil pendaratan yang mereka perolehi. Menurut statistik terkini dari DOF, jumlah pendaratan ikan pada tahun 2017 adalah sebanyak 1.465 juta tan metrik (TM) iaitu sebanyak 723.55 ribu TM di kawasan Pantai Barat, 401.9 ribu TM di Pantai Timur, 158.9 ribu TM di Sarawak, 162.3 ribu di Sabah dan 18.4 ribu di W.P Labuan.

Tidak semua pendaratan ini diisytiharkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Bagi jumlah pendaratan ikan yang diisytiharkan kepada LKIM pula adalah sebanyak 851,217 tan metrik (TM) dengan nilai RM2.52 bilion sepanjang tahun 2017. Pecahan jumlah pendaratan mengikut zon adalah seperti carta pai di bawah:

Berdasarkan jumlah pengisytiharan ini, vesel Zon A (Petrol) menerima purata pendapatan bulanan sebanyak RM2,346 manakalan vesel Zon A (Diesel) adalah RM3,148. Bagi vesel Zon B pula, pendapatan bulanan mereka adalah RM14,026, Zon C (RM33,960) dan Zon C2 (RM38,388).

Pendaratan mengikut spesis pula melihatkan ikan baja membentuk 14.5% daripada keseluruhan pendaratan, diikuti ikan gelama (4.9%) dan ikan conor (4.8%). Pendaratan ikan baja yang banyak tidak membantu industri perikanan negara (perbincangan selanjutnya di segmen cabaran nelayan di bawah).

Ikan baja adalah ikan kecil atau anak ikan (belum mencapai saiz boleh dijual) yang tidak mempunyai nilai walaupun adalah spesis bernilai tinggi dan komersil.

Bagaimanakah kerajaan membantu golongan nelayan?

Kerajaan telah memperkenalkan beberapa program bantuan secara terus bagi membantu meningkatkan pendapatan para nelayan iaitu:

Selain daripada bantuan secara terus kepada nelayan, kerajaan juga telah memperkenalkan beberapa bentuk bantuan serta program lain antaranya;

  • Pinjaman Dana Nelayan bagi tujuan penambahbaikan kapasiti dan sosioekonomi nelayan,
  • Skim Insurans Nelayan bagi tujuan perlindungan daripada kejadian yang tidak diingini atau kemalangan melibatkan nelayan, serta;
  • Skim Bantuan Bencana Alam Dan Kebajikan Nelayan yang bertujuan memberi bantuan dan sumbangan segera dalam bentuk tunai yang menghadapi musibah disebabkan bencana alam atau kejadian luar jangka seperti kebakaran.

Walaupun pelbagai bentuk bantuan serta insentif kerajaan disalurkan kepada nelayan, namun golongan nelayan masih lagi sukar untuk keluar daripada masalah kesempitan hidup. Secara tidak langsung, perkara ini memberi bayangan bahawa masalah kehidupan yang dihadapi oleh nelayan adalah sangat kompleks dan begitu rumit untuk dirungkaikan.

Apakah cabaran yang dihadapi oleh nelayan?

Nelayan terutamanya nelayan zon A seringkali dikaitkan sebagai kumpulan masyarakat yang menghadapi kesempitan hidup disebabkan ketidak tentuan pendapatan mereka. Pendapatan nelayan ditentukan oleh jumlah hasil tangkapan serta keadaan naik turun harga pasaran.

Pencerobohan nelayan asing dan zon larangan

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia pada bulan Oktober 2018 telah menyatakan bahawa sejumlah 128 buah bot nelayan asing telah ditahan sepanjang tahun 2019. Disebabkan pencerobohan nelayan asing ini, Malaysia dilaporkan kehilangan hasil berjumlah RM5 bilion setahun.

Pencerobohan nelayan haram sama ada nelayan asing mahupun vesel yang melanggar peraturan zon larangan ini telah menjejaskan pendapatan nelayan tempatan terutamanya nelayan kecil kerana vesel yang digunakan oleh nelayan haram ini mempunyai kapasiti yang besar serta menggunakan peralatan tangkapan yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

Penggunaan pukat tunda

Penggunaan pukat tunda adalah dibenarkan dan telah menyumbang kepada 46% daripada jumlah pendaratan ikan di Malaysia. Walau bagaimanapun, penggunaan pukat tunda sama ada di kawasan yang dibenarkan atau dilarang akan menyebabkan kesemua hidupan laut yang dilalui pukat berkenaan masuk ke dalam pukat tersebut. Ini dibuktikan apabila 60% daripada keseluruhan hasil yang ditangkap menerusi pukat tunda adalah ikan baja.Tangkapan ikan baja yang belum mencapai saiz matang ini boleh menjejaskan stok bekalan ikan pada masa hadapan.

Penguatkuasaan yang tidak cekap juga menyaksikan banyak vesel yang menggunakan pukat tunda memasuki zon larangan yang menjejaskan hasil tangkapan nelayan kecil.

Arus pembangunan

Kegiatan mengorek pasir dan penambakan pesisir pantai bagi tujuan pembangunan menambah masalah kepada pendapatan nelayan. Aktiviti pembangunan yang tidak mampan ini akan menyebabkan ekosistem lautan rosak dan tidak lagi menjadi kawasan tumpuan hidupan laut.

Banyak projek pembangunan di beberapa tempat di seluruh negara telah mendapat bantahan oleh golongan nelayan pada tahun 2019 disebabkan projek-projek tersebut akan menjejaskan pendapatan mereka antaranya Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR), projek Lingkaran Luar Butterworth (LLB), dan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) Melaka.

Manipulasi orang tengah

Kehadiran orang tengah menjadi dilema kepada para nelayan terutamanya nelayan kecil memandangkan orang tengah seringkali memanipulasi harga pembelian. Sebagai contoh, orang tengah akan menawarkan harga pembelian secara terus yang lebih tinggi kepada nelayan berbanding harga yang ditawarkan oleh peraih berlesen yang menyebabkan mereka tidak mengisytiharkan hasil yang didaratkan kepada LKIM.

Masalah mula wujud apabila nelayan yang tidak mengisytiharkan hasil tangkapan kepada LKIM ini boleh hilang kelayakan bagi mendapatkan bantuan atau insentif yang disediakan oleh kerajaan seperti elaun sara hidup dan insentif hasil tangkapan.

Soalan Dari Peminat Dasar
Apakah langkah-langkah yang munasabah untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh nelayan, terutama nelayan Zon A?

Bagi kawasan-kawasan di mana hasil pendaratan / tangkapan adalah rendah, bagaimanakah kerajaan boleh membantu para nelayan untuk meningkatkan hasil pendapatan mereka? Adakah memadai dengan elaun sara hidup?


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS