Research| Social Protection

Pekerjaan Gig: Faedah Sepenuh Masa untuk Kerja Sepenuh Masa?

Bahagian 2: Pandangan pekerja gig tentang perlindungan sosial

Apakah tahap perlindungan sosial yang pekerja ‘gig’ mahukan – terutamanya mereka yang bekerja ‘gig’ seolah-olah sepenuh masa? Kami mencungkil persoalan ini menerusi kaji selidik ulung kami tentang pekerja ‘gig’.

By Edwin Goh | 28 January 2020


Dalam Bahagian 1 kaji selidik pekerja gig yang kami terbitkan akhir tahun lalu, kami meneliti komitmen masa pekerja gig terhadap pekerjaan gig mereka bagi memahami peranan dan kepentingan pekerjaan gig hari ini. Hasilnya, kami menemui dua realiti: hampir 50% daripada responden kajian menganggap pekerjaan gig sebagai kerja sampingan, manakala lebih 50% daripada responden melihat atau menjadikan pekerjaan gig sebagai pekerjaan utama. Ternyata, bagi separuh pekerja gig dalam kajian kami, pekerjaan gig bukan sekadar pekerjaan sambilan tetapi sumber mata pencarian utama.

Namun, pekerja gig kekurangan akses kepada perlindungan sosial. Sebagi contoh, caruman KWSP diwajibkan hanya untuk pekerja formal atau rasmi. Dalam dunia ekonomi gig, pekerja gig diistilah sebagai ‘rakan’ atau kontraktor bebas dan bukan pekerja.

Namun, keperluan perlindungan sosial bagi pekerja gig akan menjadi semakin diperlukan dengan pertambahan pekerjaan gig dan platform gig – termasuk yang terbaru sekali iaitu perkhidmatan e-hailing motosikal.

Kerajaan kini sedang merangka undang-undang baharu bagi menakrifkan semula status pekerjaan pekerja gig supaya dapat melindungi kebajikan mereka. Seiring dengan itu, kami melancarkan kajian yang cuba memahami kadar penyertaan pekerja gig dalam skim-skim perlindungan sosial dan tahap permintaan mereka terhadap skim-skim tersebut.

Untuk maklumat lanjut tentang kaedah kajian, sila rujuk Bahagian 1.


Tahap perlindungan bagi menghadapi kesukaran kewangan

Adakah pekerja gig mempunyai simpanan bagi tujuan kecemasan atau persaraan? Adakah mereka mempunyai insuran yang secukupnya?

Berdasarkan kaji selidik kami, 59% responden tidak mempunyai simpanan untuk kecemasan dan 59% tidak mempunyai tabungan untuk umur tua atau persaraan – satu jumlah yang cukup signifikan. Daripada segi perlindungan insurans, 76% daripada pekerja gig tidak mempunyai insurans kehilangan pekerjaan, 57% tidak mempunyai insurans kesihatan peribadi dan 37%* tidak mempunyai insurans kecederaan atau kemalangan di tempat kerja (Rajah 1). Lebih membimbangkan, 22% atau hampir satu per lima daripada responden tidak mempunyai apa-apa bentuk simpanan atau perlindungan sosial.

*Satu jumlah yang agak rendah berbanding yang lain, mungkin kerana pemandu e-hailing diwajibkan mempunyai insurans kemalangan atau kecederaan di tempat kerja sebagai syarat mendapatkan lesen PSV.


Rajah 1: Penyertaan dalam skim perlindungan sosial

Dalam Bahagian 1 kaji selidik ini, kami mengkategorikan pekerja gig sebagai ‘sepenuh masa’ ‘separuh masa’ atau ‘sambilan’ berdasarkan jumlah masa bekerja mereka. Merujuk kepada kategori-kategori ini, kami mendapati hanya 44% daripada pekerja gig ‘sepenuh masa’ dan 42% daripada pekerja gig ‘separuh masa’ mempunyai perlindungan sosial yang lengkap*. 60% daripada pekerja gig ‘sambilan’ – peratusan yang tinggi – mempunyai perlindungan sosial lengkap (Rajah 2) kerana ramai dalam kategori ini mempunyai pekerjaan tetap dengan faedah-faedah pekerja rasmi yang berkaitan.

*Perlindungan sosial lengkap ditakrifkan sebagai memiliki tabungan kecemasan, tabungan persaraan, insuran kesihatan, insuran kehilangan pekerjaan, dan insuran kemalangan atau kecederaan di tempat kerja.


Rajah 2: Perlindungan sosial berdasarkan jenis pekerja gig


Apakah faedah yang pekerja gig mahukan?

Apabila diminta untuk memilih di antara senarai faedah-faedah pekerja, faedah yang menjadi pilihan ramai adalah subsidi kos menjalankan pekerjaan gig seperti petrol dan subsidi telefon. Gaji minima juga pilihan utama (Rajah 3). Tidak menghairankan, faedah yang mampu meningkatkan jumlah gaji bersih lebih mendapat permintaan berbanding faedah yang memberikan perlindungan untuk masa hadapan.

Simpanan persaraan dan insurans kemalangan di tempat kerja menjadi pilihan yang kedua. Peluang atau latihan bagi kemajuan kerjaya adalah yang paling kurang diminati, mencerminkan harapan yang tipis terhadap perkembangan kerjaya dalam pekerjaan gig.


Rajah 3: Jenis perlindungan sosial dan manfaat yang diingini


Rela pendapatan dipotong supaya dapat perlindungan sosial?

Sedikit mengejutkan, kami dapati bahawa majoriti daripada pekerja gig dalam kajian bersedia jika platform gig mereka melakukan potongan ke atas pendapatan sebagai caruman untuk pelbagai jenis perlindungan sosial (Rajah 4).

Lebih daripada dua pertiga responden menjawab bahawa mereka bersedia* pendapatan mereka dipotong untuk membayar insurans kecederaan di tempat kerja (77%), simpanan persaraan (72%) dan insurans kehilangan pekerjaan (69%). Majoriti yang kecil, namun lebih daripada separuh yang dikaji bersedia untuk dipotong pendapatan demi simpanan kecemasan (66%) dan insurans kesihatan (64%) (Rajah 4).

*Responden yang ‘bersedia’ adalah mereka yang menjawab ‘ya’ atau ‘bergantung kepada jumlah’ kepada soalan yang diajukan (Rajah 4).


Rajah 4: Kesediaan pendapatan dipotong demi perlindungan sosial


Berapakah jumlah potongan yang disanggupkan?

Kami menerima respons yang pelbagai terhadap soalan terbuka ini. Secara umumnya, majoriti daripada responden iaitu 64% bersedia mengasingkan RM200 ke bawah untuk manfaat insurans dan simpanan. Jumlah pertengahan atau median yang sanggup disumbang atau dicarumkan adalah RM100 sebulan. 15% daripada pekerja gig sanggup mengasingkan tidak lebih daripada RM25, 19% sanggup memotong RM25 – RM99 sementara 30% sanggup memotong antara RM100 – RM199. Sejumlah kecil tapi tetap signifikan, sebanyak 37%, sanggup mengasingkan RM200 ke atas untuk simpanan dan insurans (Rajah 5).


Rajah 5: Jumlah yang sanggup dipotong pekerja gig setiap bulan untuk pelbagai faedah dan perlindungan sosial


Wajarkah platform gig turut mencarum?

Menurut sebilangan besar responden: ya. Kajian kami mendapati sebahagian besar daripada pekerja gig mahukan platform gig mereka untuk mencarum kepada sebahagian daripada perlindungan sosial buat mereka yang bekerja jumlah masa menyamai pekerja sepenuh masa (Rajah 6).


Rajah 6: Kewajaran platform gig turret mencarum untuk pekerja gig ‘sepenuh masa’

Adakah jawapan ini diberi berikutan tanggapan bahawa platform gig adalah majikan tidak rasmi? Oleh kerana platform gig mengawal penetapan kadar dan juga penggantungan atau pemberhentian pekerja gig, platform gig mungkin dilihat sebagai majikan yang agak berkuasa dan bukan ‘rakan perniagaan’ semata-mata.


Jumlah tanggungan di rumah

Sebagai penutup, kami bertanya responden kajian tentang bilangan tanggungan mereka. Lebih daripada 60% pekerja gig dalam kajian kami mempunyai tiga atau lebih orang tanggungan (Rajah 7).


Rajah 7: Bilangan tanggungan berdasarkan jenis pekerja gig


Halatuju Dasar Masa Kini

Hari ini, perlindungan sosial pekerja gig adalah secara sukarela, seperti skim simpanan persaraan sukarela i-Saraan. Satu-satunya bentuk perlindungan sosial yang diwajibkan adalah insurans kemalangan atau kecederaan di tempat kerja bagi pemandu e-hailing sebagai sebahagian syarat memiliki lesen PSV.

Berdasarkan situasi semasa ini, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mencari penyelesaian jangka panjang kepada isu-isu berkaitan ekonomi gig. Kerajaan juga bercadang untuk mengetengahkan perlindungan pekerja untuk pekerja gig dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) bagi memastikan perlindungan sosial yang lebih baik.


Pertimbangan Dasar

Tahun ini bakal menyaksikan pengenalan perkhidmatan tunggang e-hailing atau perkongsian motosikal menerusi platform Dego Ride, Grab Bike dan Gojek. Susulan itu, penganalisis menjangkakan penyertaan ribuan pekerja gig baru.

Walaupun kami ragui keupayaan pekerjaan gig untuk meningkatkan mobiliti sosial, tidak dapat dinafikan bahawa pekerjaan gig membolehkan penyaraan hidup, terutamanya bagi mereka yang kurang kelulusan akademik dan pilihan kerjaya. Walaubagaimanapun, seperti ditunjukkan hasil kaji selidik kami, pekerjaan gig tidak memudahkan penyertaan dalam skim-skim perlindungan sosial meskipun adanya kesanggupan di kalangan pekerja gig untuk mengenepikan sebahagian daripada pendapatan mereka sebagai simpanan atau insurans.

Justeru, apakah langkah-langkah yang perlu diambil? Pada pandangan kami, skim sukarela bukanlah langkah yang paling berkesan bagi memastikan pekerja gig mempunyai perlindungan sosial.

Usaha meningkatkan tahap celik kewangan adalah baik. Namun, lumrah manusia adalah untuk cenderung kepada kepuasan sekarang, sekiranya diberikan pilihan. Oleh itu, penyertaan secara automatis dalam skim potongan gaji (dengan pilihan untuk opt out bagi mereka yang sudah memiliki skim perlindungan sendiri) adalah lebih efektif. Tambahan pula, sistem penyertaan secara automatis lebih mudah dilaksanakan menerusi platform gig, dengan infrastruktur data yang tersedia.

Namun, persoalan yang lebih besar adalah sama ada platform gig dan perniagaan lain yang menggaji ramai pekerja tidak rasmi, perlu menyumbang kepada perlindungan sosial ‘pekerja’ merangkap ‘rakan kongsi’ mereka?

Bagi menjamin prinsip keadilan dan untuk mengelakkan eksploitasi buruh, kami berpendapat bahawa pekerja gig yang bekerja sepenuh masa (atau lebih) pada setiap minggu wajar menerima caruman perlindungan sosial daripada platform gig mereka.

Mengira jumlah caruman mungkin rumit memandangkan siapa yang bekerja secara ‘sepenuh masa’ bertukar-tukar sepanjang masa. Namun, ia tidak mustahil. Dengan data yang sudah sedia dikumpul oleh platform gig, jumlah caruman boleh bersifat dinamik, dikira berdasarkan purata jam bekerja setiap minggu atau bulan melangkaui waktu minima yang dipersetujui serta syarat-syarat lain.

Undang-undang baharu berkaitan pekerja gig yang sedang dirangka boleh mengungkapkan takrifan baharu ini, yang mencerminkan pasaran buruh yang semakin dibanjiri pekerja gig, pekerja kontrak dan pekerja sambilan. Lanskap baharu ini turut menuntut perubahan dasar perlindungan sosial.

Sistem hari ini bergantung kepada majikan sebagai satu saluran agihan perlindungan sosial. Anda berkemungkinan besar mempunyai caruman KWSP dan PERKESO jika anda didaftarkan oleh sebuah syarikat sebagai pekerja mereka. Malaysia perlu beralih kepada perlindungan sosial secara individu, yang dibuat dari peringkat awal umur lagi, tanpa mengira status pekerjaan. Akaun perlindungan individu begini bukan sahaja memudahkan cara potongan atau caruman kepada pelan simpanan dan insurans apabila (atau jika) seseorang itu mula bekerja, ia juga akan membantu kerajaan untuk menyalurkan bantuan secara lebih tepat dan memperbaiki kutipan cukai.


Kesimpulan

Kebangkitan ekonomi gig merubah pemahaman konvensional tentang pekerjaan dan bentuk sumbangan atau bayaran majikan kepada pekerja ‘tidak rasmi’. Kelebihan pekerjaan gig seperti masa bekerja yang fleksibel juga bermakna ketidaktentuan pekerjaan dan pendapatan yang tidak stabil.

Tidak sukar kita bayangkan masa depan di mana kebanyakan orang memilih untuk bekerja secara tidak rasmi atau secara kontrak. Pihak yang menggajikan mereka wajar mempunyai tanggungjawab yang jelas dan adil terhadap kebajikan pekerja bagi mencerminkan sumbangan tenaga. Pada masa yang sama, pekerja-pekerja juga perlu disokong dalam menguruskan keperluan kewangan masa kini dan masa depan mereka dengan cara yang mengiktiraf lumrah dan tabiat manusia.

Emel pandangan atau cadangan anda ke editorial@centre.my.