RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Editorial Societal Contracts

Bilakah Penggunaan Hukuman Mati akan Diubah di Malaysia?

Kami bincangkan persoalan reformasi penghukuman yang telah lama tertangguh di negara ini.

By Jia Vern Tham26 April 2022


Read English Version

Hukuman mati sekali lagi menjadi tumpuan perbincangan awam pada akhir tahun lepas setelah video Hairun Jalmani tular di media sosial. Berusia 55 tahun, ibu tunggal kepada sembilan anak itu telah dijatuhkan hukuman mati di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya berikutan sabitan kesalahan pada tahun 2018. Hairun, yang menyatakan bahawa dia tetap tidak bersalah, telah dijumpai oleh polis di dalam sebuah bilik bersama 113.9g metamfetamin – jumlah yang bersamaan kurang daripada satu cawan.

Video tangisan Hairun setelah dijatuhkan hukuman yang telah dikongsi secara meluas itu telah mencetuskan semula gesaan supaya hukuman mati dimansuhkan di Malaysia. Namun begitu kes Hairun bukanlah sesuatu yang baru. Sehingga September 2021, lebih daripada 1,300 orang sedang menunggu untuk menjalani hukuman mati. Kira-kira 75% daripada mereka telah didapati bersalah di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya. Sebahagian besar daripada mereka adalah penagih, keldai dadah atau penjual kecil-kecilan dan bukannya dalang di sebalik pengedaran dadah secara besar-besaran.

Untuk perspektif, seseorang hanya perlu memiliki atau ditemui berada berdekatan dengan 50g metamfetamin (atau syabu) untuk dibicarakan sebagai pengedar dadah serius dan disabitkan dengan hukuman mati.

Penulisan yang mempersoalkan keberkesanan undang-undang dadah yang ketat di Malaysia dan kesannya yang tidak proporsional ke atas golongan yang rentan telah banyak disajikan untuk bacaan masyarakat. Oleh itu, desakan untuk memansuhkan hukuman mati boleh difahami. Ia bagaimanapun menimbulkan perbezaan pendapat yang ketara. Setelah Hairun dijatuhkan hukuman, suara-suara yang memanggil ke arah pemansuhan hukuman mati daripada tokoh-tokoh awam seperti Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah ditentang oleh pelbagai kumpulan, daripada warga maya kepada tokoh-tokoh lain.

Perbezaan pandangan berkenaan hukuman mati ini tidaklah memeranjatkan. Tinjauan-tinjauan oleh media atas talian sebelum ini secara relatifnya telah menunjukkan tahap sokongan yang tinggi untuk mengekalkan hukuman mati; malah tinjauan sampel representatif (Semenanjung Malaysia) yang kami jalankan pada tahun 2019 mendapati bahawa majoriti kecil rakyat Malaysia, iaitu 60%, berpendapat bahawa hukuman mati adalah suatu keperluan. Kebanyakan daripada mereka percaya bahawa hukuman mati mempunyai kesan mencegah.

Walau bagaimanapun, kajian yang sama juga menunjukkan bahawa sokongan terhadap hukuman mati jatuh secara mendadak bergantung kepada jenis-jenis kesalahan yang dilakukan dan juga adanya faktor-faktor mitigasi. Bagi kesalahan pengedaran dadah kecil-kecilan, hanya 38% daripada responden representatif kajian menyokong hukuman mati.

Peratusan sokongan terhadap hukuman mati terus jatuh kepada 15% responden bilamana terdapat ketiadaan niat atau pengetahuan di pihak pelaku. Sokongan terhadap hukuman mati juga rendah bilamana terdapat keadaan-keadaan mitigasi, contohnya umur atau jantina – hanya 14% daripada responden kajian kami menyokong hukuman mati bagi kes seorang remaja yang dijumpai dengan 600g kanabis.

Pokoknya, pemansuhan hukuman mati secara mutlak adalah suatu saranan yang sukar untuk diterima buat masa ini. Ianya sangat mempolarisasikan, seperti yang dapat dilihat setiap kali isu ini timbul. Walau bagaimanapun, kajian kami berkenaan pendapat rakyat Malaysia tentang hukuman mati menunjukkan bahawa reformasi penghukuman boleh membawa impak yang lebih besar. Terdapat kemahuan di kalangan rakyat Malaysia untuk sekurang-kurangnya memansuhkan hukuman mati mandatori: bahkan, daripada 60% responden kami yang berpendapat bahawa hukuman mati adalah suatu keperluan dalam masyarakat, hanya 1% menyokong hukuman mati mandatori bagi semua senario kes tertentu yang kami timbulkan kepada mereka.

Namun, sekalipun reformasi penghukuman dilaksanakan, isu-isu yang lain tetap timbul. Sebagai contoh, limitasi atas pelaksanaan hukuman mati ke atas mereka yang datang dari kumpulan-kumpulan rentan masih kekurangan di Malaysia. Pada masa ini, hanya pesalah yang (i) di bawah umur 18 tahun, (ii) mengandung, atau (iii) mempunyai anak kecil dikecualikan dari hukuman mati. Masih belum ada larangan yang jelas berkenaan pelaksanaan hukuman mati ke atas pesalah yang mengalami isu kesihatan mental atau yang telah lanjut umur di Malaysia – bertentangan dengan syor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Undang-undang dadah yang ketat di Malaysia juga kurang mengambil kira faktor-faktor mitigasi seperti pengetahuan pelaku tentang jenayah yang dilakukan dan realiti sosioekonomi mereka yang dituduh. Walaupun pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya pada tahun 2017 telah memperuntukkan budi bicara mahkamah dalam menjatuhkan hukuman mati (dengan beberapa syarat), mereka yang tidak mengetahui bahawa kandungan yang dibawa mereka berisi dadah dan mereka yang rentan berkemungkinan dipertanggungjawabkan pada tingkat yang sama dengan mereka yang menjual dadah dengan niat jenayah. Kajian oleh Monash University dan Anti-Death Penalty Asian Network (ADPAN) pada awal tahun lepas telah menunjukkan bahawa hanya 4 daripada 38 orang yang yang didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah di Malaysia antara Mac 2018 dan Oktober 2020 tidak dijatuhkan hukuman mati disebabkan penggunaan pindaan tersebut oleh mahkamah.

Sementara itu, fokus pada pelaku-pelaku ‘ikan bilis’ masih berterusan. Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada tahun lepas telah mencadangkan untuk mengurangkan berat ambang bagi kesalahan pengedaran dadah. Cadangan ini telah mendapat sokongan daripada pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, yang telah menyarankan agar ia dibentangkan di Dewan Rakyat secepat mungkin. Jika diluluskan, cadangan ini berpotensi untuk menyebabkan hukuman mati digunakan dengan lebih meluas, melainkan reformasi penghukuman dilaksanakan.

Namun begitu, kedua-dua kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional telah menyatakan niat untuk menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara minimum bagi kesalahan pengedaran dadah di Malaysia. Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainudin juga telah mengumumkan pada tahun lepas bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan penggunaan ganja perubatan – suatu pandangan yang mungkin telah disebabkan oleh bantahan awam terhadap kes ‘Dr. Ganja’ dan lain-lain yang seumpamanya.

Di sebalik mesej-mesej yang bercanggah, terdapat tanda-tanda bahawa para penggubal dasar telah bersedia untuk perubahan. Persoalannya adalah, berapa ramai lagi seperti Hairun yang perlu menunggu sehingga perubahan-perubahan yang telah lama tertangguh ini dilaksanakan?


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS