Primer| Economic Management

Belanjawan 101: Hutang Kerajaan

Kerajaan dibenarkan berhutang untuk menampung perbelanjaan pembangunan. Ketahui konsep dan kepentingan hutang negara.

By Editorial Team | 6 October 2019


Apakah hutang kerajaan?

  • Kerajaan Persekutuan memerlukan dana kewangan bagi menampung perbelanjaan kos operasi dan aktiviti kerajaan serta peruntukan tertentu bagi tujuan pembangunan. Dana kewangan ini pula diperolehi menerusi kutipan hasil yang dikutip setiap tahun.
  • Walaubagaimanapun, dalam keadaan semasa, kutipan hasil adalah tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan kerajaan, dan kerajaan perlu mendapatkan dana tambahan menerusi pinjaman yang diperolehi menerusi terbitan hutang.
  • Setiap instrumen hutang kerajaan yang diterbitkan adalah dalam bentuk pelaburan yang digunakan oleh pelabur sama ada di dalam atau luar negara untuk mendapatkan pulangan pada masa hadapan.
  • Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 hanya membenarkan pinjaman kerajaan dilakukan bagi tujuan perbelanjaan pembangunan sahaja. Oleh sebab itu, kerajaan akan sentiasa memastikan baki akaun semasa negara yang merekod aliran keluar masuk wang kerajaan sentiasa mempunyai lebihan. Ini adalah untuk memastikan perbelanjaan mengurus dapat dibiayai oleh hasil.


Apakah jenis-jenis hutang?

  • Terdapat dua kategori hutang kerajaan iaitu hutang domestik dan hutang luar negeri. Hutang domestik merupakan hutang yang diterbitkan di dalam negara dalam Ringgit Malaysia. Hutang luar negeri pula merupakan pinjaman yang dibuat oleh kerajaan daripada institusi kewangan di luar negara.
  • Bagi hutang domestik, instrumen yang diterbitkan adalah bagi tempoh masa pendek iaitu bayaran semula dalam tempoh satu tahun serta tempoh masa sederhana dan panjang iaitu bayaran semula dalam tempoh lebih dua tahun.

Bagi instrumen jangka masa pendek, instrumen yang diterbitkan adalah Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan mempunyai had siling RM10 bilion pada satu-satu masa.

Bagi instrumen hutang domestik jangka masa sederhana dan panjang, kerajaan menerbitkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) serta Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

Bagi hutang jangka masa panjang, kerajaan menetapkan had siling 55% berbanding KDNK bagi kombinasi instrumen hutang ini.

  • Hutang luar negeri merupakan dana yang diperolehi daripada institusi kewangan luar negara yang diterbitkan dalam bentuk bon atau kemudahan pinjaman dengan had siling RM35 bilion. Contoh hutang luar negeri adalah Bon Samurai yang diperolehi Malaysia daripada negara Jepun dengan jumlah sebanyak RM7.3 bilion.
  • Walaupun kesemua instrumen hutang kerajaan ini mempunyai had-had yang berbeza di bawah peruntukan akta-akta yang berkaitan, namun kerajaan menerusi amalan pentadbiran bagi pengurusan hutang telah menetapkan agar had maksimum jumlah keseluruhan hutang negara dihadkan kepada 55% berbanding KDNK.
  • Untuk rekod, sehingga suku kedua 2019, jumlah keseluruhan hutang kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM799.1 bilion.
  • Graf berikut menunjuk perbezaan komponen hutang kerajaan Malaysia kepada entiti domestik dan luar negeri. Hutang domestik adalah sentiasa melebihi hutang luar negeri.


Bagaimanakah kerajaan membayar semula hutang?

  • Kaedah pembayaran hutang oleh kerajaan adalah berbeza dengan bayaran pinjaman yang dibuat oleh rakyat. Misalannya, bagi seseorang yang membuat pinjaman sewa beli kereta, bayaran ansuran bulanan telah mengambil kira bayaran hutang prinsipal (pokok) dan bayaran faedah.
  • Tetapi bagi hutang kerajaan, kerajaan hanya perlu membayar faedah (atau dipanggil bayaran khidmat hutang) sahaja sepanjang tempoh bayaran balik manakala bayaran prinsipal hanya akan dibuat setelah tempoh jangka masa hutang tamat.

Had siling bayaran khidmat hutang ditetapkan kerajaan pada jumlah 15% daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus.

  • Pasti ada yang tertanya bagaimana kerajaan mampu membayar sekali gus jumlah prinsipal apabila jangka masa hutang tamat. Pada akhir tempoh hutang ini tamat, kerajaan akan sekali lagi menerbitkan hutang baru untuk melangsaikan hutang lama dan proses membayar faedah akan diteruskan sekali lagi. Proses ini dipanggil ‘rollover’.
  • Menerusi proses rollover ini, jumlah mutlak hutang kerajaan pastinya akan bertambah dan bagi memastikan tahap hutang negara adalah terkawal, kerajaan perlu memastikan ekonomi negara terus bertumbuh dan berkembang. Oleh sebab ini, jumlah hutang negara tidak boleh dilihat dari sudut jumlah mutlak (absolute amount) sebaliknya diukur menerusi perbandingan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merupakan indikator penting dalam mengukur pertumbuhan negara.


Apakah rating kredit dan fungsinya?

  • Sebahagian daripada kita pastinya pernah mendengar tentang rating kredit antarabangsa yang dikeluarkan oleh agensi penarafan seperti Fitch, Moody’s dan S&P.
  • Rating kredit merupakan gred untuk menilai tahap kemampuan kerajaan untuk membayar balik hutang atau komitmen yang ditanggung. Penilaian ini adalah sangat penting terutamanya kepada pelabur dalam membuat penilaian sebelum mereka membuat keputusan untuk melabur ke dalam sesebuah negara.
  • Sudah tentu pelabur tidak mahu melabur di dalam instrumen hutang kerajaan sekiranya negara tersebut mempunyai rating yang rendah kerana ini mungkin menyebabkan mereka mengalami kerugian. Risiko kerugian yang tinggi boleh menyebabkan hutang yang diterbitkan tidak dilanggan oleh pelabur, dan akibatnya sukar untuk kerajaan mendapatkan modal atau dana bagi membiayai projek pembangunan yang dirancang.
  • Agensi penarafan menggunakan skala A sehingga D bagi menentukan gred sesebuah negara. Gred A dinilai sebagai positif serta berisiko rendah manakala gred D pula menunjukkan ianya adalah negatif dan berisiko tinggi. Untuk beberapa tempoh yang lalu sehingga kini kedudukan rating kredit Malaysia berada dalam kedudukan yang baik dan stabil iaitu A- seperti yang dikeluarkan oleh Fitch dan S&P serta A3 oleh Moody’s.


Apakah risiko hutang kepada kerajaan?

  • Setiap hutang pastinya mempunyai risiko. Namun begitu, risiko hutang antara kerajaan dengan individu adalah berbeza. Sekiranya hutang tidak dikawal dengan baik, kerajaan mungkin berhadapan risiko kebankrapan yang mengundang kepada krisis kedaulatan (sovereign default) seperti yang berlaku kepada negara Greece atau berlakunya krisis ekonomi seperti hiperinflasi di Zimbabwe.
  • Bagi memastikan perkara yang sama tidak berlaku kepada Malaysia, beberapa akta dan undang-undang telah digubal bagi memastikan hutang kerajaan sentiasa terkawal dan berada dalam situasi yang mampu dibayar. Antara mekanisma ini ialah penetapan had siling hutang. Selain itu, sekitar 97% hutang kerajaan adalah dalam denominasi Ringgit tidak memungkinkan Malaysia berhadapan dengan krisis kedaulatan yang menyebabkan negara dikawal oleh negara atau entiti asing.


Had Hutang Kerajaan

Had hutang merupakan arahan dasar Kerajaan, di mana kerajaan menentukan batasan hutang yang boleh di pinjam oleh Kerajaan Persekutuan.

Had hutang akan menghalang sesebuah negara daripada terus meminjam, supaya negara akan mempunyai nisbah pinjaman dan pendapatan yang sihat serta mampu membayar balik hutang tersebut. Contohnya di negara Greece, di mana kejatuhan ekonomi dan krisis hutang yang dihadapi oleh mereka bertunas daripada ketidakupayaan mereka untuk bayar hutang kepada Kesatuan Eropah (EU).

Negara-negara lain yang telah gagal dalam pembayaran balik pinjaman mereka sejak 2000-an termasuk Ecuador (6 bulan), Paraguay (18 bulan), Argentina (54 bulan), Indonesia (6 Bulan), dan Pakistan (11 bulan).

  • Hutang kerajaan juga hanya dibenarkan bagi tujuan pembangunan sahaja. Oleh sebab itu, sekiranya hutang yang dibuat adalah bertujuan untuk merancakkan ekonomi tempatan menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi yang akan memberi pulangan dalam jangka masa panjang sama ada dalam bentuk keuntungan wang tunai atau perkara lain seperti mewujudkan peluang pekerjaan, menambah kepakaran serta produktiviti rakyat atau tahap penyampaian perkhidmatan kerajaan, hutang kerajaan bukanlah sesuatu yang buruk.

Soalan peminat dasar dan rakyat

Perlukah kerajaan menjalankan dasar austerity untuk menangani masalah hutang negara yang meningkat? Apakah yang boleh kita pelajari dari negara-negara lain yang pernah menjalankan dasar ini?

Apakah naratif yang sesuai yang perlu datang dari kerajaan untuk tidak menyebabkan panik atau ketidakyakinan pelabur apabila negara mengalami krisis hutang negara?


Pautan Lain:

What happens when a country goes bust (The Economist)
A FAQ on Malaysian government debt (Economics Malaysia)
What is in Malaysia’s RM1.09 tril debt? (The Edge Markets)
Istilah laporan ekonomi (Menteri Kewangan Malaysia)
3 Reasons Why Countries Devalue Their Currency (Investopedia)

Email us your views or suggestions at editorial@centre.my.