Primer| Economic Management

Belanjawan 101

Belanjawan 2020 akan dibentangkan pada 11 Oktober ini. Ketahui latarbelakang dan konsep utama belanjawan negara

By Editorial Team | 6 October 2019


Mengapakah belanjawan perlu dibentangkan?

  • Belanjawan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2020 atau Belanjawan 2020 dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2019.
  • Belanjawan merupakan cadangan atau anggaran penggunaan sejumlah wang kerajaan bagi menampung kos operasi dan aktiviti kerajaan serta peruntukan bagi tujuan pembangunan.
  • Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 100, Perkara 67 dan Perkara 68, kerajaan akan membentangkan belanjawan tahunan di Dewan Rakyat sebelum dibahas dan diluluskan oleh Dewan yang sama.
  • Selepas lulus di Dewan Rakyat, belanjawan ini akan dibahaskan pula di Dewan Negara. Walau bagaimanapun, sekiranya Dewan Negara tidak meluluskannya, belanjawan ini masih boleh dibawa mengadap untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong, melainkan terdapat arahan daripada speaker Dewan Rakyat untuk membuat apa-apa pindaan ke atas belanjawan tersebut.
  • Belanjawan dibuat secara tahunan, namun rangka kepada isi kandungan belanjawan akan merujuk kepada pelan jangka masa panjang negara iaitu Rancangan Malaysia yang diumumkan setiap lima tahun sekali. Ketika ini, Malaysia berada di dalam fasa Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) iaitu bagi tempoh 2016-2020. Belanjawan 2020 merupakan belanjawan terakhir bagi tempoh RMK-11.
  • Walaupun satu penggal RMK selama lima tahun, pelan serta sasaran asal RMK akan dikaji setiap separuh penggal untuk menilai semula kebolehcapaian sasaran yang ditetapkan. Bagi RMK-11, Kajian Separuh Penggal (KSP) telah diumumkan pada tahun 2018 untuk menggantikan sasaran awal atau memasukkan sasaran baru.


Mengapakah belanjawan penting dan apakah bentuk belanjawan kerajaan?

  • Pembentangan belanjawan merupakan peristiwa penting memandangkan ianya memberi bayangan tentang kedudukan kewangan dan hala tuju ekonomi sesebuah negara yang akan menjadi petunjuk kepada pelabur serta pemain korporat.
  • Antara petunjuk penting yang diumumkan kerajaan di dalam setiap pembentangan belanjawan adalah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau istilah Inggerisnya Gross Domestic Product (GDP). KDNK merujuk kepada saiz ekonomi sesebuah negara yang dikira menerusi jumlah keseluruhan nilai pengeluaran barangan dan perkhidmatan.
  • Peningkatan jumlah KDNK menandakan ekonomi bertumbuh manakala jumlah KDNK yang berkurangan menandakan ekonomi menguncup. Nilai KDNK Malaysia pada tahun 2018 adalah RM1.4 trilion dan menerusi RMK-11, kerajaan meletakkan sasaran pertumbuhan KDNK pada paras 5% hingga 6% bagi tempoh 2016 hingga 2020.
  • Belanjawan yang dibentangkan boleh diklasifikasikan sama ada belanjawan defisit, belanjawan seimbang atau belanjawan lebihan.

Belanjawan Defisit – Jumlah perbelanjaan kerajaan adalah melebihi jumlah hasil.
Belanjawan Seimbang – Jumlah perbelanjaan kerajaan adalah bersamaan jumlah hasil.
Belanjawan Lebihan – Jumlah hasil adalah lebih berbanding jumlah perbelanjaan.

  • Untuk rekod, antara tahun 1970 hingga 2019 (50 kali tahun belanjawan), kerajaan telah mencapai belanjawan lebihan sebanyak 5 kali iaitu pada tahun 1993, 1994, 1995, 1996 dan 1997. Selebihnya adalah belanjawan defisit.
  • Jadi, apakah bentuk belanjawan kerajaan bagi tahun 2020? Kerajaan telah meletakkan sasaran defisit fiskal seperti yang dinyatakan di dalam pelan asal RMK-11 pada kadar 0.6% berbanding KDNK. Ia telah dipinda pada KSP RMK-11 kepada sasaran baru iaitu 3.0% berbanding KDNK. Defisit fiskal berlaku apabila wang hasil kerajaan tidak mencukupi bagi menampung tuntutan perbelanjaan.
  • Secara tidak langsung, ini memberi gambaran bahawa Belanjawan 2020 yang akan diumumkan tidak lama lagi merupakan suatu belanjawan defisit.
  • Belanjawan kerajaan yang diumumkan adalah berdasarkan unjuran semasa. Namun, keadaan ekonomi dan kewangan sering kali tidak menentu dan boleh berubah pada bila-bila masa atas pelbagai sebab sama ada di peringkat domestik atau global.
  • Justeru itu, belanjawan kerajaan dibuat dalam bentuk anggaran boleh ubah serta tidak bersifat muktamad. Ianya terbahagi kepada dua komponen utama iaitu anggaran hasil Persekutuan dan anggaran perbelanjaan Persekutuan.


Bagaimanakah kerajaan mendapatkan hasil?

  • Kerajaan menerima pendapatan daripada pelbagai sumber setiap tahun. Segala pendapatan ini akan dianggap sebagai hasil kerajaan.
  • Hasil ini dijana sama ada daripada kutipan cukai daripada aktiviti ekonomi, keuntungan atau laba daripada aktiviti pelaburan kerajaan, bayaran atau fi daripada produk atau perkhidmatan yang disediakan jabatan-jabatan kerajaan, kutipan caj lesen dan permit, denda atau saman.
  • Hasil pendapatan kerajaan ini pula seterusnya akan digunakan bagi menampung aktiviti pengurusan dan operasi kerajaan dan projek-projek pembangunan negara.
  • Untuk penerangan yang lebih mendalam tentang hasil kerajaan, ikuti primer kami tentang hasil kerajaan di sini.

Bagaimanakah wang kerajaan dibelanjakan?

  • Perbelanjaan kerajaan terbahagi kepada dua komponen utama iaitu perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan. Perbelaanjaan kerajaan merangkumi peruntukan yang diperlukan bagi tujuan operasi dan aktiviti jabatan-jabatan kerajaan serta pembiayaan projek pembangunan yang dilaksanakan.
  • Sepanjang rekod pembentangan belanjawan negara, jumlah peruntukan bagi perbelanjaan mengurus adalah sentiasa melebihi peruntukan perbelanjaan pembangunan.
  • Apakah corak perbelanjaan kerajaan? Fahami lanjut tentang perkara ini menerusi primer kami.


Mengapakah kerajaan perlu berhutang dan apakah bentuk hutang tersebut?

  • Belanjawan defisit memerlukan kerajaan untuk membuat pinjaman bagi menampung kekurangan hasil untuk membiayai pelaksanaan perancangan yang telah dibentangkan di dalam belanjawan. Hutang kerajaan pula terbahagi kepada dua kategori iaitu hutang domestik dan hutang luar negeri.
  • Walaupun kerajaan boleh menerbitkan hutang, namun kesemua instrumen hutang kerajaan (domestik atau luar negeri) mempunyai had yang berbeza mengikut beberapa undang-undang yang ditetapkan.
  • Selain itu, bagi memastikan pengurusan hutang negara berada dalam keadaan terurus dan terkawal, amalan pentadbiran kerajaan juga menetapkan agar siling keseluruhan jumlah hutang negara dihadkan kepada 55% berbanding KDNK.
  • Kerajaan juga telah menetapkan bahawa semua pinjaman yang hendak dibuat mestilah terhad kepada perbelanjaan pembangunan sahaja. Bagi mencapai perkara ini, kerajaan perlu memastikan baki akaun semasa negara sentiasa mempunyai lebihan untuk membolehkan perbelanjaan mengurus dibiayai oleh hasil.
  • Untuk rekod, sehingga suku kedua 2019, jumlah hutang kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM799.1 bilion. Ketahui lebih lanjut tentang hutang kerajaan menerusi primer kami di sini.

Soalan peminat dasar dan rakyat

Ramai pakar ekonomi meramalkan ekonomi dunia bakal mengalami kegawatan. Apakah bentuk belanjawan yang paling baik untuk mengurangkan impak kegawatan kepada rakyat?

Apakah dasar-dasar yang mahu kita lihat dalam belanjawan-belanjawan yang akan datang yang boleh membantu rakyat menangani cabaran 
artificial intelligence dan yang seumpamanya di tempat kerja?

Email us your views or suggestions at editorial@centre.my.