RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Editorial Others

5 Pengajaran Daripada Setahun Sebagai Pusat Penyelidikan Bebas

Meraikan ulangtahun pertama The Centre. Terima kasih semua atas segala sokongan dan galakan anda!

By Editorial Team30 July 2020


Read English Version

Tanggal 30 Julai tahun lalu, The Centre secara maya telah memotong reben pelancaran dan memulakan usaha untuk menjadi pusat penyelidikan yang mengupas pelbagai isu dasar dengan pendekatan sentris. Setahun yang penuh peristiwa telah berlalu, di mana kita senegara menyaksikan pertukaran kerajaan dan pandemik dunia. Namun, pintu (maya) kami masih terbuka dan kami masih berpegang teguh pada matlamat asal kami – dengan penjarakan sosial yang diperlukan.

Dua belas bulan yang begitu menarik, tetapi tidak dapat dinafikan ia juga merupakan satu tahun yang menggalakkan untuk The Centre. Kami dapat melaksanakan beberapa tinjauan yang menghasilkan penemuan berguna, dalam lingkungan batasan-batasan sumber dan data yang biasa dihadapi para penyelidik. Sambutan terhadap hasil kajian, penulisan dan cadangan dasar The Centre juga rata-ratanya memberangsangkan. Antara hari yang tertekan dan penuh stress, ada juga hari yang seronok dan penuh dengan kepuasan kerja.

Oleh itu, kami amat bersyukur untuk segala pengalaman, baik pahit atau manis, sepanjang tahun pertama penubuhan The Centre. Di sini, kami kongsikan 5 pengajaran hasil setahun beroperasi sebagai sebuah pusat penyelidikan bebas.

1: ‘Bagaimana’ adalah soalan yang lebih penting daripada ‘apa’.

Apakah itu sebuah think tank? Soalan ini agak sukar dijawab, lebih-lebih lagi dalam Bahasa Malaysia di mana terjemahan yang tepat lagi memuaskan untuk frasa ini tidak wujud (kami memilih ‘pusat penyelidikan bebas’). Malah, soalan ini sukar dijawab dalam Bahasa Inggeris juga kerana pelbagai jenis organisasi memakai deskripsi think tank untuk menjenamakan pelbagai aktiviti, dari kajian ke kempen advokasi.

Kami cenderung kepada tafsiran On Think Tanks yang mencadangkan bahawa think tank adalah organisasi yang wujud untuk mempengaruhi dasar. Definisi ini mungkin terlalu mudah, tetapi ia membawa kepada soalan yang lebih produktif: bagaimana cara terbaik bagi mempengaruhi dasar?

Mengambil kira sumbangan think tank atau pusat penyelidikan yang lain di Malaysia, tambahan pula latar belakang serta kemahiran pasukan penyelidik The Centre sendiri, kami mengambil keputusan untuk menumpukan usaha kami kepada kajian berbentuk tinjauan atau survei, analisa teks dan tingkah laku, dan kewartawanan mendalam. Kami juga merasakan bahawa sebarang hasil kajian harus diterbitkan dalam bentuk yang mudah dibaca. Oleh itu, kami cuba sejauh mungkin untuk mengolah hasil iringan yang menarik seperti kartun ilustrasi, cebisan Instagram, tinjauan singkat di media sosial, kalkulator online dan banyak lagi.

2: Kepelbagaian adalah sangat penting.

Pasukan penyelidik The Centre sebenarnya agak kecil tetapi terdiri daripada pelbagai gender, bangsa dan haluan politik. Kepelbagaian ini bukanlah satu kebetulan. Untuk memastikan bahawa hasil kajian tidak terlalu memihak kepada sesuatu sudut pandangan, kami cuba menghimpunkan pasukan yang berlainan latar belakang dari hari pertama.

Sebagai contoh: salah satu gambar stok yang kami gunakan untuk karangan mengenai pelanggaran PKP telah menerima kritikan daripada beberapa pembaca yang merasakan bahawa gambar tersebut memperlekehkan orang Melayu. Kebiasaannya, kami agak berhati-hati dalam hal-hal ini tetapi malangnya, ‘pakar-pakar kepekaan budaya’ dalam pasukan kami sibuk dengan tugasan lain pada hari itu. Mereka yang lain pula benar-benar tidak menyedari bahawa gambar itu mampu menaikkan kemarahan sesetengah pembaca. Pokoknya, kepelbagaian itu penting (dan juga pengurusan masa).

3: Adakalanya, menterjemah tidak memadai.

Sejak pengasasan The Centre, salah satu matlamat kami adalah untuk menyediakan lebih banyak hasil kajian dan penulisan dalam Bahasa Malaysia supaya kesedaran dan perbualan tentang soal dasar melangkaui kumpulan-kumpulan yang aktif dalam Bahasa Inggeris. Walaubagaimanapun, penghasilan bahan dalam Bahasa Malaysia, lebih-lebih lagi bila diterjemah daripada Bahasa Inggeris, bukanlah usaha yang mudah.

Boleh dikatakan bahawa kami tidak lagi terkejut atau terguris bila menerima kritikan yang tajam atas mutu penulisan kami dalam Bahasa Malaysia – kami akui, ia wajar! Kata terjemahan rasmi bagi frasa-frasa tertentu, seperti yang terkandung dalam Dewan Bahasa dan Pustaka, adakalanya tidak diketahui atau digunakan dengan meluas (contohnya: bandingkan social protection dengan perlindungan sosial).

Tetapi isu yang lebih penting adalah perbezaan dalam cara fikiran apabila dizahirkan dalam Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Inggeris. Ia bukan sahaja sekadar mencari perkataan yang sesuai, tetapi lebih kepada cara penghayatan dan seni komunikasi dalam bahasa itu sendiri. Seringkali kami terpaksa mengakui bahawa menterjemah dari satu bahasa ke bahasa yang lain tidak memadai dan apa yang diperlukan adalah penulisan semula, dengan mukasurat yang kosong, dalam bahasa yang dikehendaki.

4: Mempengaruhi dasar itu sukar.

Tahniah – setelah bertungkus lumus selama beberapa bulan, kajian anda telah disempurnakan dan laporan anda telah diterbitkan. Malangnya, ini tidak bermakna kerja anda sudah selesai, malah usaha yang sebenar baru bermula. Laporan anda perlu dibaca dan diterima oleh individu-individu yang berkepentingan, dan ini tidak boleh dijamin oleh sesiapa. Meskipun anda bernasib baik dan laporan anda mendapat perhatian pihak-pihak berkepentingan, peristiwa di luar kawalan masih boleh berlaku, seterusnya menggendalakan sebarang kemajuan yang telah tercapai.

Mempengaruhi dasar dan mengejar penambahbaikan adalah acara larian jarak jauh yang memerlukan stamina, kegigihan dan kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang boleh berubah.

5: Mengolah soalan yang bernas adalah amat sukar.

Setiap usaha kajian bermula dengan soalan asas tentang sesuatu masalah atau cabaran yang mahu ditangani. Mengolah soalan asas yang bernas, iaitu soalan yang memahami sifat dan ciri-ciri sesuatu masalah atau cabaran, adalah penting tetapi sukar.

Untuk memahami sesuatu masalah atau cabaran dengan baik, seorang penyelidik perlu mempunyai rasa ingin tahu yang semula jadi, ketekunan dan juga kebolehan untuk menilai sesuatu perkara secara objektif dan tidak berpihak. Seorang penyelidik juga perlu berhati-hati supaya tidak mengejar sesuatu jalan fikiran dengan terlalu mendalam sehingga ‘sesat’ dan matlamat kajian asal dikelirukan.

Oleh sebab itu, mempunyai rakan sekerja yang boleh menyoal dan mencabar jalan fikiran dengan cara yang membina adalah sangat penting (kepelbagaian lagi: rujuk pengajaran nombor 2).


Inilah 5 pengajaran utama bagi kami di The Centre daripada setahun sebagai pusat penyelidikan bebas di Malaysia. Terima kasih kepada semua pembaca atas segala sokongan yang diberikan. Nantikan kajian kami yang akan datang!


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS