RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Research Safety Nets

Adakah Program Latihan Semula Boleh Dicapai Oleh Semua Lapisan Masyarakat?

Kami mempersoalkan isu akses kepada program latihan semula serta beberapa persoalan berkaitan dalam satu kajian mengenai aspirasi golongan pekerja tidak formal tanpa ijazah, terutamanya pekerja ‘gig’.

By Edwin Goh & Nelleita Omar8 January 2021


Program latihan semula, (reskilling),  peningkatan kemahiran (Upskilling) dan silang kemahiran (Cross-skilling) menjadi kata kunci dalam perbincangan dasar sejak kebelakangan ini. Belanjawan 2021 baru-baru ini  telah menekankan kepentingan latihan kemahiran dengan pengumuman peruntukan berjumlah lebih dari RM19 bilion untuk pelbagai program yang  disediakan oleh pelbagai agensi, dari MDEC hingga PUNB.

Peruntukkan ini cukup lumayan, tetapi adakah peruntukan untuk program latihan mencukupi? Kajian terbaru kami mendapati penyediaan kursus dan program latihan perlu dilengkapi dengan langkah-langkah tambahan yang memudahkan orang ramai mengaksesnya. 

Dalam artikel bergambar di bawah, kami paparkan bagaimana latar belakang dan kedudukan sosio-ekonomi seseorang merupakan salah satu faktor utama yang menentukan sama ada mereka boleh mengakses program-program ini atau tidak.

Kenali Aiman*

*Watak fiksyen Aiman  diilhamkan hasil temuramah dengan pekerja tidak formal tanpa ijazah serta penemuan kajian kami. 

Aiman adalah seorang pekerja kilang di Selangor berusia 28 tahun. Kelulusan tertinggi beliau ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pendapatan bulanannya sebanyak RM1,800. Jumlah pendapatan ini tidak mencukupi untuk menanggung keluarga beliau. Isteri Aiman merupakan seorang suri rumah tangga dan menjaga kedua-dua anak mereka, kerana mereka tidak mampu menampung kos penjagaan anak sekiranya dia turut bekerja. 

Untuk memperolehi pendapatan tambahan demi memenuhi keperluan keluarga, Aiman juga bekerja sebagai penghantar makanan di luar waktu kerja di kilang. Beliau biasanya pulang ke rumah larut malam, dan hanya tidur selama beberapa jam sahaja sebelum bangun untuk bekerja di kilang keesokan harinya.

Hasil jualan barangan kilang di mana Aiman bekerja tidak stabil dan terkesan dengan pandemik COVID-19. Akibatnya, syif bekerja Aiman telah dikurangkan. Ini tidaklah mengejutkan Aiman – beliau tahu bahawa kilang tersebut memang telah merancang untuk menggantikan beberapa tugas manual dengan mesin. 

Untuk menggantikan sumber pendapatan yang berkurangan, Aiman mula menumpukan perhatian dan meluangkan masa yang lebih banyak kepada kerja gig. Ini tidak mudah – pekerja gig semakin bertambah kebelakangan ini  (termasuk mereka yang mempunyai ijazah dan berpendidikan tinggi) dan Aiman perlu bersaing dengan mereka serta bekerja lebih lama untuk memperoleh pendapatan yang mencukupi.

Aiman sedar bahawa dia tidak boleh bekerja di kilang dan membuat kerja gig selama-lamanya. Beliau ada membaca tentang program latihan semula tetapi berasa program-program tersebut hanya untuk mereka yang boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, mahir menggunakan komputer dan boleh belajar secara online. Kalaupun ada program yang sesuai untuk dirinya, Aiman tidak tahu bagaimana untuk mencari program-program itu: ada maklumat tentang program dan kursus  tersebut tetapi tiada bimbingan untuk membantu Aiman mencari program yang sesuai dengan kemahiran, kepakaran dan aspirasi beliau. Ahli keluarga dan kawan-kawan Aiman juga tidak dapat membantu.

Aiman inginkan kehidupan yang lebih senang dan sempurna untuk keluarganya tetapi beliau tidak mampu merancang terlalu jauh: memastikan beliau mampu menyara keluarganya dalam masa terdekat lebih penting.  Banyak juga persoalan yang bermain di benak fikiran beliau: sekiranya dia mengambil masa untuk menghadiri kursus sekarang – apakah dijamin beliau akan mendapat pekerjaan yang lebih baik setelah tamat latihan? Adakah beliau mampu membayar yuran program latihan itu? Bagaimana pula dengan keluarganya – siapa akan menyara mereka ketika Aiman berkursus? 

Sehingga soalan-soalan ini terjawab, Aiman akan terus melakukan pekerjaan bergaji rendah seperti sekarang. 

Memahami cabaran-cabaran yang dihadapi

Malaysia mempunyai ekosistem pembangunan kemahiran yang luas dengan pelbagai pilihan program dan peluang bantuan kewangan. Namun, bagi pekerja berlatar belakang seperti Aiman, ‘meluas’ tidak semestinya bermaksud ia mudah dicapai. Terdapat beberapa cabaran yang menghalang beliau mengakses peluang yang ada.


Risiko dan kos melepas yang tinggi

Meluangkan masa untuk menjalani latihan kemahiran bermakna mereka perlu mengurangkan waktu kerja dan sekaligus, menjejaskan pendapatan mereka. Walaupun program-program ini mungkin fleksibel dari segi masa, tetapi pengurangan pendapatan yang sedikit pun akan menjejaskan pekerja bergaji rendah, terutamanya apabila mereka mempunyai simpanan yang sedikit. Juga, tidak semua pekerja tidak formal layak mendapat elaun latihan (huraian lebih lanjut di bawah).

Ketidakpastian tentang jaminan pekerjaan setelah tamat latihan juga merupakan faktor penghalang. Tidak semua program menawarkan penempatan pekerjaan atau mempunyai rekod yang baik dalam membantu perkembangan usahawan mikro. Memang tiada program yang boleh memberi jaminan penempatan pekerjaan atau kejayaan seratus peratus, tetapi risiko yang ditanggung lebih tinggi bagi mereka yang berpendapatan rendah dengan wang simpanan yang terhad.

Salah satu faktor utama untuk untuk membolehkan pekerja mengakses program latihan kemahiran semula adalah gantian pendapatan. 88% responden kajian mahukan elaun latihan untuk menggantikan pendapatan yang hilang semasa program berlangsung. Jaminan penempatan pekerjaan juga penting; 87% responden mengatakan bahawa mempunyai peluang pekerjaan yang dijamin adalah penting atau sangat penting bagi mereka ketika mempertimbangkan untuk mengikuti apa-apa program latihan kemahiran.


Kelayakan terhad untuk pilihan dana

Bukan semua pekerja tidak rasmi layak mengakses dana yang disediakan. Pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) hanya diberikan untuk program sepenuh masa yang diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Bagi dana HRDF pula, hanya pekerja di bawah syarikat yang berdaftar dengan HRDF dapat mengakses dana ini, tertakluk kepada persetujuan majikan mereka. Subsidi dan elaun latihan kemahiran yang diberikan oleh Pusat EIS hanya disediakan untuk penyumbang EIS. Oleh yang demikian, sebilangan besar pekerja tidak formal tidak akan dapat mengakses sumber dana latihan yang ditawarkan pada ketika ini.

Dalam kajian terkini kami, 58% daripada pekerja tanpa ijazah yang mengambil bahagian dalam latihan peningkatan kemahiran atau latihan kemahiran semula telah membayar kos latihan mereka sendiri, manakala 19% dibiayai oleh agensi kerajaan dan 14% dibiayai oleh majikan mereka.


Ekosistem yang mengelirukan

Sebahagian besar keupayaan untuk mengakses peluang latihan kemahiran semula bergantung kepada kebolehan seseorang itu ‘mengemudi’ maklumat yang ada untuk mendapatkan program yang paling sesuai dengan keperluan dan minat mereka. Pekerja yang mahir digital dan mahir berbahasa Inggeris mempunyai kelebihan dalam hal ini. Mereka yang tidak begitu arif mencari program perlu mengharungi cabaran-cabarannya tersendiri, seperti memahami berbagai laman web, portal pendaftaran yang berbeza dan sebagainya.

Kajian kami mendapati bahawa 78% responden berminat atau sangat berminat untuk meningkatkan kemahiran mereka tetapi hanya 30% yang mengikuti program latihan kemahiran sebelum ini. Lebih daripada separuh responden mengatakan bahawa mereka tidak mengikuti program latihan kemahiran semula kerana mereka tidak tahu di mana atau bagaimana mengakses program tersebut. Melalui temu ramah dengan responden, kami mendapati bahawa golongan bukan siswazah dari keluarga berpendapatan sederhana dan berpendidikan tinggi lebih selesa dan mahir dalam mencari peluang latihan semula secara dalam talian.


Panduan kerjaya dan sokongan modal sosial yang lemah

Kebanyakan pekerja tanpa ijazah tidak pernah mendapatkan khidmat kaunseling atau perkhidmatan bimbingan  dan panduan kerjaya sebelum ini. Ini berbeza dengan mereka yang datang dari keluarga berpendapatan tinggi mahupun graduan. Bagi mereka yang tidak berijazah, modal sosial mereka – seperti ahli keluarga atau rakan sebaya – kurang mampu menghubungkan mereka dengan peluang pekerjaan, latihan atau bimbingan yang baik.

Hanya 30% responden dalam kajian kami terdiri daripada pekerja tanpa ijazah yang pernah menerima kaunseling kerjaya manakala lebih dari dua pertiga mengatakan mereka ingin menerima nasihat dan bimbingan kerjaya professional.


Kekurangan perhatian terhadap keperluan dan minat pelbagai segmen pekerja

Selaras dengan wawasan negara kerah ekonomi digital, khususnya pasca wabak pandemik COVID-19, program latihan semula yang tertumpu kepada kemahiran digital menjadi keutamaan penggubal dasar. Kemahiran digital seperti pemasaran digital dan pengaturcaraan mungkin menarik minat sebahagian dari pekerja tanpa ijazah (juga untuk pemegang ijazah) tetapi ramai dari mereka mungkin menghadapi kesukaran dalam menggunakan kemahiran ini untuk menjana pendapatan. Program latihan ini juga mungkin tidak sesuai dengan mereka yang kekok dengan pembelajaran dalam talian dan kurang mahir berbahasa Inggeris.

Dua pertiga responden kajian mengatakan bahawa mereka ingin menjadi ‘bos mereka sendiri’, sama ada untuk menjadi pekerja bebas atau memulakan perniagaan kecil. 71% responden menyatakan program perantisan adalah pilihan pembelajaran mereka, dengan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar pilihan utama mereka.

Kesimpulannya

Jurang ketidaksamarataan antara masyarakat akan menjadi makin teruk dalam era digital. Bagi memastikan mobiliti sosial terjamin untuk setiap lapisan masyarakat, penggubal dasar harus memastikan keputusan yang dibuat menjamin akses kepada peluang latihan semula meliputi semua lapisan masyarakat. 

Mereka perlu cakna dengan kos melepas, kemampuan untuk belajar, minat dan kemahiran bahasa setiap kumpulan demografi yang disasar, supaya program latihan dapat dibentuk  sejajar dengan keperluan mereka yang akan menjalani latihan semula ini, dan dapat dicapai oleh golongan yang paling memerlukannya. Hanya menyediakan program latihan tidak mencukupi: penyediaan maklumat yang teratur dan mudah dicapai, pilihan kursus yang bersesuaian, bantuan kewangan yang lebih jelas dan terbuka serta bimbingan yang mencukupi juga perlu disediakan. 


Hantarkan padangan atau cadangan anda kepada kami di editorial@centre.my


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

For general inquiries, please write to us at info@centre.my.

For job and internship applications, please write to us at careers@centre.my.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS